June 16, 2009

Kecederaan pleksus brakial

Posted in Islam at 10:26 pm by Ahmad Salafi

SERINGKALI kita mendengar kisah bayi yang baru lahir lumpuh sebelah tangannya selepas dilahirkan atau mangsa kemalangan motosikal lumpuh sebelah anggota atasnya. Kemungkinan besar mereka mengalami kecederaan pleksus brakial.

Pleksus brakial merujuk kepada jaringan saraf yang menghubungkan isyarat otak melalui saraf tunjang ke otot yang mengawal fungsi pergerakan di bahu, siku dan tangan. Ia juga berfungsi untuk membawa semua jenis isyarat deria rasa termasuk deria sakit dan sentuhan dari anggota tersebut (tangan hingga bahu) ke saraf tunjang dan seterusnya ke otak.

Punca kecederaan

Pleksus brakial boleh diumpamakan sebagai pendawaian yang menghubungkan suis (otak) ke motor (otot tangan dan lengan). Terdapat dua keadaan di mana kecederaan pleksus brakial boleh berlaku:

*Keadaan pertama khusus kepada bayi, ketika proses kelahiran. Kecederaan yang dialami dinamakan kecederaan pleksus brakial obstetrik (obstetric brachial plexus injury). Ketika proses kelahiran, kadang-kala bahu bayi boleh tersangkut pada tulang pinggul (pelvis) ibu. Ini mengakibatkan kepala bayi tersebut terkeluar dahulu, dan bahu bayi tersebut tersekat di lorong kelahiran.

Pada keadaan ini pleksus brakial mengalami regangan dan seterusnya tercedera atau pada keadaan ekstrem, terputus dari sambungannya di saraf tunjang. Ada beberapa punca bayi tersekat di lorong kelahiran. Punca yang paling kerap adalah bayi yang lahir bersaiz besar iaitu lebih dari 3.5 kilogram.

Punca lain adalah posisi kelahiran bayi yang luar dari kebiasaan seterusnya mengakibatkan bayi mengalami kesulitan ketika kelahiran. Doktor atau bidan kadang-kala terpaksa mengeluarkan bayi dengan segera untuk mengelakkan bayi lemas. Penggunaan alat seperti forseps atau vakum kadang-kala digunakan ketika ini dan dalam proses mengeluarkan bayi tersebut secara tidak sengaja kecederaan pleksus brakial mungkin boleh berlaku.

*Keadaan kedua di mana kecederaan pleksus brakial boleh berlaku adalah akibat kemalangan jalan raya. Di Malaysia, penunggang dan pembonceng motosikal merupakan golongan yang paling ramai yang mengalami kecederaan jenis ini. Bagi golongan ini, mekanisme kecederaan pleksus brakial juga adalah akibat regangan pada kepala dan bahu. Ketika kemalangan, kecederaan berlaku apabila pesakit jatuh selepas terlambung dari kenderaan dengan kepala mencecah tanah dahulu sebelum bahagian badan yang lain.

Kesan kecederaan

Akibat langsung kecederaan pleksus brakial adalah kelumpuhan anggota atas badan yang terlibat. Kelumpuhan pada anggota atas boleh dibahagikan kepada tiga jenis, bergantung kepada berapa teruknya kecederaan:

1. Kelumpuhan Erb (Erb‘s palsy)

*Kelumpuhan Erb adalah di mana hanya pergerakan bahu dan sendi siku sahaja yang lumpuh. Pergerakan pada jari dan sendi pergelangan tangan pula masih terpelihara. Kelumpuhan jenis ini kerap berlaku kepada bayi dan juga sebahagian daripada orang dewasa yang terlibat dengan kemalangan.

2. Kelumpuhan Klumpke (Klumpke‘s palsy)

*Kelumpuhan Klumpke jarang berlaku, ia hanya melibatkan kelumpuhan pada fungsi tangan sahaja, pergerakan di bahu dan siku selalunya tidak terlibat.

3. Kelumpuhan keseluruhan pleksus brakial

*Kelumpuhan keseluruhan pleksus brakial pula menyebabkan kehilangan pergerakan di bahu, sendi siku dan keseluruhan sendi tangan. Kelumpuhan jenis ini paling kerap berlaku kepada mangsa kemalangan motosikal.

Ketiga-tiga kelumpuhan tersebut juga melibatkan kehilangan deria rasa pada anggota terlibat pada kawasan mengikut saraf yang terlibat. Kecederaan pleksus brakial amat membimbangkan kerana walaupun teknologi perubatan bertambah baik, tetapi kecederaan pleksus brakial pada bayi ketika kelahiran masih sukar dielakkan. Bayi tersebut lahir dengan kecacatan sepanjang hayat, jika ia tidak pulih. Bagi golongan dewasa pula, jika dilihat dari statistik kemalangan jalan raya, jumlah kemalangan semakin meningkat dengan majoriti kes melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Ini menyebabkan jumlah kes pesakit dengan kecederaan pleksus brakial di hospital negara ini terus meningkat.

Kebanyakan mereka juga berada pada umur yang produktif dan perlu menyara keluarga dan menyumbang bakti kepada masyarakat.

Perawatan

Dari segi perawatan, majoriti bayi yang mengalami kecederaan pleksus brakial obstetrik akan mengalami pemulihan secara spontan. Hampir 70 peratus bayi tersebut akan pulih seperti sedia kala tanpa perawatan khusus dalam masa tiga bulan. Rawatan sampingan fisioterapi akan diajar kepada ibu bapa untuk merangsang otot dan mencegah sendi anak yang terbabit daripada menjadi keras atau kejang.

Selebihnya, 15 peratus yang tidak pulih secara spontan memerlukan rawatan yang lebih agresif. Bayi yang terlibat perlu diberi rawatan fisioterapi dan senaman untuk mengoptimumkan pemulihan kanak-kanak terbabit. Jika perlu, pembedahan akan ditawarkan oleh doktor pakar pembedahan tangan dan mikrosurgeri. Kebiasaannya pembedahan tersebut perlu dilakukan sebelum bayi tersebut berumur satu tahun.

Bagi bayi-bayi yang tidak menunjukkan tanda pemulihan selepas tiga hingga enam bulan dari tarikh kelahiran, mereka perlu diberi perhatian teliti oleh doktor. Pembedahan perlu dilakukan pakar terbabit sebelum bayi berumur satu tahun. Berbeza dengan kecederaan pleksus brakial akibat kelahiran, kecederaan pleksus brakial akibat kemalangan kurang mengalami pemulihan secara spontan.

Hanya 10 hingga 30 peratus kes kecederaan akibat kemalangan akan pulih, sama ada secara penuh atau sebahagian sahaja daripada fungsi anggota terbabit. Kebiasaannya doktor pakar bedah ortopedik menunggu tiga bulan untuk memberi peluang saraf-saraf terbabit pulih secara spontan. Jika tiada pemulihan, maka rawatan pembedahan perlu dilakukan. Pesakit akan dirujuk kepada pakar bedah tangan dan mikrosurgeri berhampiran untuk rawatan lanjut.

Pembedahan

Pembedahan yang ditawarkan oleh pakar bedah tangan dan mikrosurgeri, jika pesakit dirujuk awal, adalah pembedahan pemindahan saraf. Pembedahan tersebut memberi keputusan yang terbaik jika dilakukan dalam tempoh tertentu sahaja. Bagi kecederaan pleksus brakial obstetrik, pembedahan biasanya dilakukan ketika umur bayi tersebut antara enam hingga sembilan bulan bagi keputusan yang terbaik.

Jika dilakukan lebih lewat dari satu tahun, keputusan pembedahan tidak memberi faedah lagi. Jika pembedahan diperlukan bagi orang dewasa pula, ia perlu dilakukan sebelum tempoh enam bulan dari tarikh kemalangan untuk keputusan yang terbaik. Faedah pembedahan berkurangan selepas tempoh berkenaan. Jika pesakit dirujuk selepas tempoh satu tahun, pembedahan pemindahan saraf tidak ditawarkan lagi tetapi pembedahan alternatif lain seperti pemindahan otot pula akan ditawarkan.

Saraf yang terputus dari saraf tunjang atau yang hanya tercedera sebenarnya tidak dapat disambung kembali. Pembedahan pemindahan saraf yang dimaksudkan adalah dengan menyambung saraf tambahan lain ke otot yang lumpuh untuk mendapatkan pergerakan yang hilang. Teknik mikrosurgeri (pembedahan menggunakan mikroskop) digunakan untuk tujuan ini.

Saraf tambahan yang dimaksudkan memang telah ada sejak azali dan tidak akan memudaratkan pesakit jika digunakan. Dengan erti kata lain, ‘pendawaian semula’ ke otot yang telah ‘hilang pendawaiannya’ dilakukan.

Mengikut pengalaman peribadi, jika pembedahan dilakukan awal (dalam tempoh yang telah disebut), lebih 90 peratus pesakit akan mendapat semula fungsi anggota lumpuh berkenaan ke tahap yang memuaskan. Perlu diingat juga walaupun pembedahan pemindahan saraf dilakukan awal, tempoh pemulihan ke fungsi yang memuaskan tetap mengambil masa antara dua hingga tiga tahun. Jika pesakit dirujuk lewat, contohnya selepas satu tahun tempoh kecederaan, pembedahan pemindahan saraf tidak lagi boleh di lakukan kerana kelumpuhan pada otot yang terlibat menjadi kekal.

Walaubagaimanapun, pembedahan lain masih ada untuk memberi sedikit pergerakan dan fungsi. Pembedahan pemindahan otot boleh dilakukan, juga dengan menggunakan teknik mikrosurgeri. Keputusan pembedahan pemindahan otot tidak begitu sempurna seperti pemindahan saraf tetapi sekurang-kurangnya ia lebih baik daripada anggota terbabit kekal lumpuh.

Secara kesimpulannya, kecederaan pada pleksus brakial walaupun tidak dapat dielakkan , tetapi masih ada perawatan khusus untuknya. Rujukan awal kepada pakar pembedahan tangan dan mikrosurgeri perlu untuk rawatan yang terbaik dengan keputusan pembedahan yang memberangsangkan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: