June 22, 2009

Mangsa Taufan Nargis terus sengsara

Posted in 1 at 12:26 pm by Ahmad Salafi


Mangsa Taufan Nargis terpaksa berteduh dalam khemah yang berlantaikan buluh berikutan rumah mereka ranap dilanda ribut.

130,000 penduduk Myanmar terus tagih simpati enam bulan selepas tragedi

TIADA yang menyedihkan apabila terpaksa hidup bersandarkan bantuan orang lain. Namun inilah hakikat terpaksa dilalui bukan seorang tetapi ratusan ribu mangsa Taufan Nargis di Myanmar yang masih terus bergelut dengan penderitaan biarpun selepas enam bulan tragedi berlalu.

Maung Oo adalah antara mereka yang masih menghitung hari bilakah nasibnya akan menemui kebahagiaan. Hampir setiap hari, beliau hanya mampu merenung kosong ke arah sawahnya yang masih ditenggelami air. Hujan sejak beberapa hari lalu menyebabkan harapannya untuk kembali mengerjakan sawah pudar semula.

Beliau sudah jemu hidup dengan bergantung kepada belas ihsan agensi bantuan antarabangsa dan mahu kembali kepada kehidupan sederhana yang dilaluinya sebelum taufan Nargis melanda Myanmar lebih enam bulan lalu.

Beliau sudah rindu untuk kembali menarik kerbau, meranduk lumpur dan menanam padi di sawahnya, namun sehingga kini keadaan belum mengizinkan.

Maung Oo, 51, adalah antara kira-kira 130,000 penduduk yang menjadi mangsa taufan Nargis di Myanmar yang masih bergantung kepada bantuan untuk meneruskan kehidupan, walaupun selepas enam bulan bulan tragedi tsunami berlalu

“Kami menerima bantuan beras dan kacang daripada sebuah badan kebajikan yang dikenali Care Myanmar, minum air hujan dan mendapat ikan dari sungai,” kata Maung Oo, sambil merenung air bah yang mengalir di hadapan pondok buluhnya.

Di sekitar kampung yang terletak 40 kilometer ke selatan Yangon, sawah padi ditenggelami air dan hasilnya tidak dapat dituai, mencetuskan keraguan terhadap kenyataan Pertubuhan Makanan Sedunia (FAO) bahawa 97 peratus kawasan jelapang padi Asia itu kini diusahakan semula.

“Kami tidak sabar menunggu untuk ke sawah semula. Kami benar-benar benci hidup dengan bergantung kepada kebajikan dan ihsan orang lain, walaupun kami tetap berterima kasih dengan bantuan yang diberi,” katanya.

Maung Oo berkata, beliau dan pesawah lain tidak mahu bergantung kepada bantuan semata-mata tetapi keadaan tidak mengizinkan mereka berdikari.

“Kami mungkin terpaksa menunggu empat minggu lagi sebelum mula menanam padi,” katanya.

Cuaca buruk dan hujan lebat di delta itu sejak empat bulan lalu juga menjadi halangan kepada petani untuk kembali ke sawah. Mereka bimbang taufan seperti Nargis akan berulang semula.

“Kami berasa sangat takut setiap kali angin bertiup. Kami sentiasa membawa radio sepanjang masa bagi mendengar maklumat dan laporan cuaca agar boleh bersedia,” kata isteri Maung Oo, Ma Nu.

Seorang lagi petani, Bo Sein, 70, mendakwa benih padi yang disumbangkan kepada mereka untuk menanam semula bercampur jenis dan masak pada masa yang berbeza, akibatnya ia sukar dituai.

“Ini mungkin disebabkan ia datang daripada sumber yang berbeza, namun akibatnya kami tidak akan dapat menuai pada masa yang sama,” katanya.

Sejak Nargis melanda dan menjejaskan kira-kira 2.4 juta penduduk, hampir satu juta penduduk menerima bantuan makanan, sekolah juga sudah dibuka, ladang ternakan dipindahkan dan lebih 1.7 juta penduduk menerima bantuan tempat perlindungan sementara, kata kumpulan penyelaras bantuan.

Bagaimanapun, menurut agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bantuan berterusan dan sokongan jangka panjang tetap diperlukan dan setakat ini hanya 53 peratus daripada kira-kira AS$484 juta (RM1.7 bilion) yang diperlukan berjaya diperoleh.

“Ada kawasan terpencil yang belum dapat dihubungi dan ramai mangsa terus terdedah kepada penyakit berikutan kekurangan air bersih dan tempat tinggal yang sesuai untuk meneruskan kehidupan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Di kawasan yang dilanda tsunami beberapa rumah baru kelihatan dibina di bawah pengawasan tentera junta.

Bagaimanapun, di dalam beberapa kes hanya sekumpulan kecil penduduk terutama mereka yang mempunyai hubungan dengan pemerintah mendapat rumah baru.

“Bukan semua yang memerlukan mendapat rumah dan bukan semua yang mendapat rumah baru adalah yang benar-benar memerlukan,” kata seorang penduduk di perkampungan Latkhitegon di selatan Yangon.

Beliau berkata, lima daripada rumah di perkampungan musnah teruk, tetapi lima lagi hanya mengalami kerosakan kecil, tetapi mereka turut mendapat rumah baru kerana mempunyai hubungan dengan junta.

Bagaimanapun, secara keseluruhannya penduduk masih terasa amat malu kerana terpaksa bergantung kepada bantuan luar dan tidak berdaya melakukan banyak perkara berikutan tragedi yang dialami.

“Kami benar-benar malu hidup dengan ihsan pihak lain. Kami kini terpaksa bergantung kepada bantuan luar mendapatkan beras. Penduduk seperti saya adalah yang paling teruk terjejas. Ia melumpuhkan seluruh kehidupan kami,” kata Maung Tun, seorang buruh.

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: