June 18, 2009

Cari hidup yang berkah

Posted in Islam at 10:52 pm by Ahmad Salafi

BERKAH berasal dari perkataan Arab, Barakah. Perkataan ini sukar dicari pengertian yang tepat dalam bahasa Melayu. Tetapi kelaziman dan kebiasaan kita menggunakan perkataan ini telah menjadikannya seolah-olah ia satu perkataan Melayu.

Dalam Islam, berkah dapat dikatakan satu perkataan agama yang tulen. Perkataan ini tidak pernah didengar oleh manusia kecuali setelah diturunkan wahyu daripada Allah s.w.t. Oleh sebab berkah adalah satu perkataan agama yang tulen maka sudah pasti ia mempunyai hubungan yang rapat dengan agama.

Untuk memperoleh hidup yang berkah maka setiap harta yang diperoleh hasil daripada titik peluh kita itu hendaklah melalui jalan yang diredhai Allah s.w.t. Harta yang diberkati Allah akan terus berkekalan dan mencukupi untuk membiayai hidup walaupun jumlahnya adalah sedikit sekali. Untuk mendapat harta yang diberkati Allah s.w.t. maka setiap usaha yang kita lakukan itu janganlah ditumpukan kepada kepentingan dunia semata-mata. Sebaliknya, kepentingan akhirat juga perlu diutamakan.

Dalam pada itu, satu perkara pokok yang tidak harus kita lupakan ialah manusia perlu hidup.

Hidup seseorang itu tidak akan sempurna apabila ia tidak mempunyai makanan yang mencukupi untuk mengalas perutnya setiap hari; pakaian yang secukupnya untuk menutupi badan (aurat) dan tempat tinggal sebagai tempat untuk berteduh dan tempat melepaskan penat lelah setelah bekerja seharian.

Bagi umat Islam, dalam usaha untuk mendapatkan makanan, pakaian dan tempat tinggal – mendapatkan harta, kita diwajib memperolehnya dengan cara yang halal. Islam melarang keras umatnya mengumpul harta melalui jalan penipuan, peras ugut, pencurian, rompakan atau dengan menjual barang-barang yang diharamkan oleh syarak. Setiap orang yang mengaku dirinya beragama Islam, hendaklah yakin dan percaya bahawa harta yang diperoleh melalui jalan yang tidak diredhai oleh Allah s.w.t. tidak dijamin keberkatannya.

Untuk mendapat keberkatan dari Allah s.w.t. maka apabila kita mengajar biarlah ilmu yang diajar itu boleh dijadikan bekal hingga ke akhirat. Begitulah juga halnya dengan kerja-kerja lain seperti sembahyang, berniaga, berkahwin dan berderma itu biarlah ada berkatnya. Setiap orang yang mengaku dirinya beragama Islam juga tidak akan alpa daripada memohon keberkatan daripada Allah s.w.t.

Kita memohon keberkatan Allah supaya memberikan anak dan isteri yang soleh. Biarlah anak yang diberikan itu anak yang dapat menolong ibu bapa sejak di dunia sampailah ke akhirat. Janganlah hendaknya dikurniakan anak yang boleh menolong ibu bapa di dunia semata-mata. Di akhirat kelak ia menyiksakan.

Begitulah juga halnya dengan harta. Kita juga memerlukan harta yang berkat – harta yang boleh menyenangkan hidup di dunia dan boleh membantu hidup kita dengan mewahnya di akhirat kelak. Dari itu pohonlah agar kita dijauhi daripada mendapat kurniaan harta dan menyusahkan kita di akhirat kelak.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: