June 18, 2009

Konsep hidup semula jadi

Posted in Islam at 11:05 pm by Ahmad Salafi

Istilah `semula jadi’ merupakan terjemahan dari perkataan Inggeris nature atau natural. Ada pihak membantah istilah `semula jadi’ kerana menurut mereka seolah-olah perkara yang dirujukkan sedemikian terjadi sendiri. Maknanya tidak ada yang menjadikannya sedangkan semua perkara adalah ciptaan Allah s.w.t.

Mereka mengkritik istilah `semula jadi’ sebagai berbau fahaman atheisme, iaitu menidakkan kewujudan Tuhan. Tetapi apa yang disebut `semula jadi’ tidak bermakna ia tercipta atau terwujud sendiri. Semua perkara kewujudan adalah hasil ciptaan Allah s.w.t termasuk benda-benda `semula jadi’.

Apa yang dikatakan `semula jadi’ merujukkan kepada perkara-perkara atau peristiwa yang berlaku bukan atas perbuatan manusia. Inilah tafsiran `semula jadi’ yang sewajarnya.

Ada pihak pula yang menyifatkan `semula jadi’ sebagai perkara-perkara yang dicipta Tuhan seperti manusia, haiwan dan alam semesta. Anggapan ini kurang tepat kerana ia membawa pemahaman seolah-olah perkara yang dicipta manusia bukan datangnya dari Tuhan. Sedangkan semua kewujudan sama ada dicipta manusia atau `semula jadi’ diwujudkan oleh Allah s.w.t.

Lawan kepada `semula jadi’ ialah `rekaan’ atau `buatan’ manusia. Ini termasuklah istilah artifisial.

Kedua-dua perkara, sama ada `semula jadi’ atau `rekaan’ adalah juga merupakan ciptaan Tuhan. Perbezaannya terletak pada hakikat bahawa `semula jadi’ tidak melibatkan campur tangan manusia sementara `rekaan’ adalah hasil buah fikiran manusia.

Sebagai contoh, satelit. Satelit adalah ciptaan manusia yang merupakan suatu objek yang dilancarkan untuk mengelilingi bumi. Pada awal-awal rekaannya iaitu tahun 1960-an, istilah yang digunakan dalam bahasa Melayu terhadap satelit ialah `bulan rekaan’.

Jadi manusia kini ada dua jenis bulan. Satu bulan semula jadi, dan sebuah lagi ialah `bulan rekaan’ yang dicipta manusia.

Ada orang Islam yang marah dengan perkembangan ini kerana seolah-olah manusia telah mencabar kekuasaan Tuhan dengan berani mencipta `bulan rekaan’ untuk menandingi bulan sebenar.

Tetapi sentimen ini tidak wajar. Manusia mencipta satelit atau `bulan rekaan’ bukan untuk mencabar Tuhan tetapi semata-mata ia merupakan penemuan sains dan rekaan teknologi bagi memudahkan kehidupan manusia.

Walaupun `bulan rekaan’ itu dicipta manusia tetapi ia juga adalah sebahagian daripada ciptaan Allah s.w.t. Manusia mencipta hanya pada peringkat manusia, dan tidak lebih daripada itu. Tuhan adalah Maha Pencipta dan segalanya datang daripada izin-Nya. Maka sama ada `bulan rekaan’ atau bulan `semula jadi’ ia adalah ciptaan Allah s.w.t. termasuklah manusia yang mencipta satelit itu.

Begitu juga dengan penemuan baru dalam bidang perubatan. Manusia hanya menemui fenomena semula jadi, dan ia bukanlah bertujuan mencabar atau menandingi Tuhan. Jadi tidak timbul manusia mahu berlagak menjadi Tuhan atau sebagainya seperti mana yang dituduh oleh golongan yang kurang berfikir mengenai alam semula jadi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: