June 18, 2009

Wanita mampu bahagia bersendirian

Posted in Islam at 11:04 pm by Ahmad Salafi

Kebanyakan umat Islam di Malaysia masih kurang faham erti dan konsep perkahwinan dalam Islam. Bagi kebanyakan mereka yang tidak didedahkan kepada proses perubahan dunia, dan corak pemikiran yang sempit, sering membuat andaian berdasarkan pengalaman hidup mereka tanpa melihat kepada realiti kehidupan masyarakat secara rasional.

Desas-desus yang mengatakan wanita tidak berkahwin adalah terlalu menderita dan mereka patut berkongsi suami dengan wanita lain merupakan satu andaian yang bermotifkan hawa nafsu. Andaian begini adalah hasil daripada latar belakang kehidupan dan kejahilan mengenai sejarah, sosiobudaya dan tradisi masyarakat jahiliah, dan konsep serta prinsip hidup individu Islam yang berlandaskan kepada konsep perhambaan kepada Allah. Ini adalah dilema umat Islam yang sukar untuk diatasi.

Pemikiran dan sikap kebanyakan lelaki Islam perlu kepada proses reformasi yang agak lama, jika dibandingkan dengan kaum wanita. Sikap dan mentaliti umat Islam yang hidup dalam kongkongan budaya yang terlalu sempit amat sukar untuk menerima hakikat perubahan zaman dan masa. Konsep hidup yang terlalu mirip kepada budaya yang memandang rendah kepada wanita telah menyebabkan kebanyakan lelaki Islam sukar untuk menerima hakikat kebolehan, kecekapan dan kemampuan wanita hidup berdikari.

Lantaran terlalu ghairah dengan keegoan diri sebagai lelaki, mereka menjadi buta melihat kelemahan dan kemusnahan yang diciptakan oleh rakan-rakan lelaki mereka dalam menguruskan soal tanggungjawab terhadap isteri dan ahli keluarga.

Kebanyakan lelaki dalam negara ini gagal melihat kehancuran kaum lelaki akibat daripada kesilapan yang dicipta oleh mereka sendiri. Berapa ramaikah lelaki Islam dalam negara ini begitu prihatin terhadap keruntuhan moral di kalangan kaum lelaki? Lelaki Islam dalam negara ini semakin hari kian luntur kewibawaan mereka akibat daripada kecuaian dalam aspek tanggungjawab, dan memahami konsep hidup sebagai lelaki yang dianggap sebagai pelindung. Peristiwa ramai lelaki membawa virus HIV, dadah dan sebagainya, sudah cukup untuk digambarkan kepada golongan intelek, ulama dan profesional lelaki supaya menilai sesuatu kes itu berdasarkan kepada realiti hidup semasa.

Dalam soal mengendalikan urusan kejatuhan moral kuam lelaki, dan penderitaan hidup pesakit HIV, wanita terlebih dahulu menunjukkan sikap simpati dan pertolongan. Malah pemimpin kepada persatuan untuk membanteraskan HIV atau AIDS adalah wanita. Jika permasalahan yang dilanda oleh kaum lelaki masih tidak mampu diatasi oleh kaum lelaki, maka usah terlalu menunjukkan simpati kepada wanita tidak berkahwin dengan memperkenalkan sistem kehidupan berpoligami. Wanita kurang berkeyakinan bahawa lelaki dapat melakukan keadilan dalam urusan kehidupan wanita.

Wanita lebih selamat dan dihormati jika mereka memilih hidup berdikari daripada menghumban diri ke dalam kancah kerosakan seperti berkahwin dengan lelaki yang mempunyai virus HIV dan penagih dadah. Wanita menjadi lebih tenteram jika mereka menumpukan perhatian kepada persediaan untuk hari akhirat daripada berkongsi hidup dengan lelaki yang telah beristeri, di mana kemampuan nafkah zahir pun tidak mampu untuk disediakan olehnya.

Poligami tidak mempunyai hubung kait dengan konsep membantu wanita yang tidak berkahwin. Ia adalah salah satu cara bagaimana hendak mengawal perasaan jatuh cinta seorang lelaki yang telah berkahwin dengan wanita lain.

Poligami berlaku bukan disebabkan oleh wanita tidak berkahwin. Realiti kehidupan masyarakat masa kini menunjukkan bahawa poligami yang diamalkan oleh kebanyakan lelaki tidak bertepatan dengan ajaran Islam. Mereka lebih tertumpu kepada konsep hidup materialisme dan hawa nafsu.

Kes isteri menuntut cerai dari suami untuk berkahwin dengan lelaki berpangkat dan kaya adalah lumrah hidup masyarakat Islam masa kini. Tidak kesemua kes poligami mempunyai hubung kait dengan wanita tidak berkahwin yang lanjut usia. Alasan yang diberikan kepada wanita dalam bentuk begini, bukan sahaja menunjukkan bahawa mereka memandang rendah kepada wanita, malah ia lebih difahami sebagai perundangan yang lebih memihak kepada lelaki.

Wanita perlu sedar bahawa jika mereka kurang memahami konsep dan prinsip hidup, hak dan tanggungjawab, mereka akan diperalatkan oleh lelaki dalam pelbagai cara sama ada dengan menggunakan slogan Islam dan lain-lain.

Pengorbanan wanita terhadap rumah tangga sebagai pembantu suami mencari nafkah hidup kurang mendapat pengiktirafan daripada kaum lelaki. Wanita menjadi serba salah dalam hidup, dan sentiasa memikirkan keselamatan diri dan masa hadapan mereka.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: