June 21, 2009

Kikis fobia derma organ

Posted in 1 at 11:48 pm by Ahmad Salafi

ISLAM membawa mesej universal dengan cinta, kasih sayang dan mengambil berat terhadap semua penghuni dunia ini. Oleh sebab itu, kita diharuskan menderma organ kepada mereka yang memerlukan. Pendermaan ini tidak terhad kepada sesama Muslim malah ia juga boleh dilakukan kepada yang bukan Islam.

Namun, jika terdapat Muslim dan bukan Muslim yang kedua-duanya memerlukan derma organ atau darah, Muslim tersebut mestilah diberi keutamaan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. (at-Taubah: 71)

Adalah amat terpuji bagi seorang yang dapat menderma organnya kepada orang tertentu, atau untuk pembangunan seperti bank yang khusus untuk tujuan tersebut (seperti bank darah dan bank tisu).

Menyedari hal ini, Pusat Terapi Sel Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Cheras, Kuala Lumpur mengadakan Forum Umum ke-2 bertajuk ‘Mengupas Isu Mengenai Konsep Penderma Sel Stem dari Aspek Perubatan, Agama dan Hak Asasi Manusia’.

Tiga ahli panel dijemput bagi membincangkan tajuk tersebut. Mereka ialah Pakar Perunding Kanan Hematologi PPUM, Prof. Dr. S. Fadilah Abdul Wahid, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Datuk S. Siva Subramaniam dan Pengarah Eksekutif Yayasan Ilmuwan, Shaikh Mohd. Saifuddeen Shaikh Mohd. Salleh.

Dr. S. Fadilah berkata, mereka yang ingin menderma sel stem perlu menjalani pemeriksaan terperinci termasuk ujian darah dan kebenaran secara bertulis.

Katanya, penderma juga mesti berumur 16 tahun dan ke atas, tidak mengalami penyakit serius, tidak menghidap viral hepatitis yang akut dan bebas HIV dan Aids.

“Mereka yang mengandung, sedang menjalani rawatan dan selepas menjalani pembedahan atau menghidap selesema perlu menunggu enam bulan sebelum boleh menderma,” katanya.

Siva pula berkata, setiap manusia berhak mencapai taraf hidup yang memuaskan dari segi kesihatan termasuk perubatan.

Malah, katanya, mengikut Perkara 3 Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia menyebut, setiap manusia itu berhak pada nyawanya.

“Dengan kata lain, menderma organ atau sel stem ini adalah usaha murni dan patut disokong kerana ia membantu mereka yang memerlukan.

“Namun, mana-mana projek hanya akan berjaya kalau mendapat sokongan penderma dan penerimanya,” jelas beliau.

Seorang lagi ahli panel, Shaikh Saifuddeen berkata, secara umum memang tidak ada nas khusus berkaitan pendermaan sel stem.

Bagaimanapun, katanya, Islam menyuruh umatnya berusaha memelihara lima perkara sebagai mana digariskan dalam maqasid syariah.

Perkara-perkara itu adalah yang melibatkan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.

“Justeru, para fuqaha membuat ijtihad dengan mengguna pakai kaedah fiqh iaitu keutamaan mengatasi darurat,” katanya.

Menurut Shaikh Saifuddeen, umat Islam disuruh berusaha mencari penawar apabila diserang penyakit sekali gus membuktikan dalam Islam tidak ada istilah putus asa.

“Mengambil kira bahawa menderma darah dan susu itu harus maka ulama mengambil qias ini bahawa menderma sel stem juga adalah harus.

“Bagaimanapun, ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi sebagai mana yang disebutkan oleh Dr. Qaradawi di atas,” tegasnya.

Dalam satu lagi program Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2009 anjuran Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Taman Shamelin, Cheras, Kuala Lumpur turut diadakan ceramah yang hampir sama.

Ceramah bertajuk ‘Pendermaan Organ: Berbudi Selepas Tiada’ itu disampaikan oleh Ketua Koordinator Pusat Sumber Transplan Nasional, Datin Dr. Fadhilah Zowyah Lela Yasmin Mansor.

Katanya, permintaan untuk mendapatkan pemindahan organ adalah tinggi di Malaysia di mana setakat ini terdapat 5,000 pesakit yang menunggu untuk menerima transplan buah pinggang.

Demikian juga dengan bilangan pesakit jantung di mana terdapat 85 orang yang masih menunggu untuk mendapat jantung baru.

“Dalam tempoh menunggu itu, 37 orang meninggal dunia dan kebanyakan penderma adalah dari status kadaverik (selepas mati),” katanya.

Bagaimanapun, menurut Dr. Yasmin, masalah utama adalah mendapatkan penderma organ. Statistik penderma bagi tahun 2008 ialah 26 orang manakala bagi tahun 2009 setakat ini hanya sembilan penderma.

Ini menyebabkan pesakit terpaksa membeli ginjal dari India dan China iaitu daripada penderma yang masih hidup.

“Bagaimanapun, sekarang kita tidak boleh lagi membeli organ dari China,” katanya.

Dr. Yasmin berkata, setiap organ yang didermakan akan dipastikan tidak ada pembaziran padanya.

“Kalau jantung penderma rosak, kita akan gunakan injapnya. Pendek kata, setiap organ yang masih elok akan kita gunakan,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia agar mendaftar sebagai penderma untuk membantu menyelamatkan nyawa orang lain.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: