June 21, 2009

Kurangkan kelesuan bapa

Posted in 1 at 10:11 pm by Ahmad Salafi

KASIH ibu dibawa ke syurga, kasih bapa sementara ada.” Dalam semua bentuk bahasa, minda dan perilaku, seorang ibu itu sememangnya diletakkan lebih tinggi daripada seorang bapa.

Ini pasti tiada bangkangan dari mana-mana lelaki mahupun wanita yang penah menerima belaian kasih seorang ibu. Namun, tidak pula diabaikan kedudukan bapa, diambil mudah atau tidak dihargai, selagi ada. Walaupun kedudukan ibu yang penuh kasih sayang, lemah lembut dan budi bahasa diutamakan, seorang bapa sebagai penaung dan pemimpin amat penting dalam sebuah keluarga.

Tanpa bapa, bukan sahaja seorang ibu perlu bergantung kepada diri sendiri, anak juga kehilangan bimbingan seorang lelaki dewasa ketika membesar. Pengaruh lelaki dewasa dalam sebuah keluarga juga boleh menentukan hala tuju dan pencapaian anak kelak, yang akan berterusan kepada generasi-generasi berikutnya.

Tegar yang rapuh

Sebagai seorang anak, sejauh mana anda boleh menerima ketiadaan seorang bapa? Sebagai seorang bapa pula, sanggupkah anda meninggalkan keluarga, terutamanya anak-anak?

Memang diperakui terdapat banyak kelemahan di kalangan lelaki, tetapi ini tidak bermakna semua lelaki (bapa) akan sengaja menyerah kalah dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Di sebalik agam ego seorang lelaki, hati seorang bapa sama lembutnya berbanding seorang ibu. Di sebalik keutuhan azam dan pendirian, seorang bapa sebenarnya begitu mudah layu dan binasa.

Dunia sebenarnya kekurangan lelaki dan ini jelas dalam perangkaan kasar beberapa pihak sebelum ini yang mendakwa terdapat antara tujuh hingga 17 wanita bagi setiap lelaki.

“Tidak sejauh itu!” Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari menolak anggaran tersebut tetapi mengakui terdapat lebih ramai wanita berbanding lelaki.

“Kebiasaannya, bilangan lelaki memang lebih sedikit berbanding wanita tetapi ini mengikut negara dan kawasan tertentu.

“Negara seperti China dan India mungkin mempunyai lebih ramai lelaki memandangkan pemilihan jantina oleh ibu bapa,” katanya.

Di China, ini jelas berlaku akibat undang-undang yang menetapkan bilangan anak dalam keluarga sementara di India, ia melibatkan tenaga kerja dan aturan perkahwinan.

“Di India, anak lelaki dapat mengerjakan ladang. Anak perempuan pula perlu memberi hantaran perkahwinan kepada pihak lelaki,” jelas Dr. Abdul Malik.

Faktor-faktor sebegini telah menyebabkan ramai bayi perempuan digugurkan, seterusnya membawa kepada bilangan lelaki yang lebih tinggi. Di Malaysia pula, pemilihan jantina tidak begitu ketara dan boleh dikatakan tiada pemilihan memandangkan pasangan di negara ini tiada kekangan dan gembira menerima apa jua jantina cahaya mata.

“Nisbah lelaki dan wanita di negara ini juga tidak setinggi yang didakwa. Anggaran kasar mungkin terdapat sekitar 980 orang lelaki bagi setiap 1,000 wanita.

“Bagi India dan China pula, mungkin sekitar 1,200 lelaki untuk setiap 1,000 wanita,” dakwanya.

Namun, perbezaan bilangan lelaki dan wanita juga bukan hanya berkait dengan kadar kelahiran. Aktiviti, pekerjaan dan jangka hayat juga memainkan peranan besar dalam menentukan nisbah bilangan ini. Dari sebelum merdeka, kini dan juga anggaran masa depan, jangka hayat lelaki sentiasa di belakang jangka hayat seorang wanita. Buat masa ini, lelaki dijangka dapat hidup sehingga umur 72 tahun sementara wanita melebihi 76 tahun. Menjelang 2020 pula, lelaki dijangka dapat hidup melebihi 75 tahun sementara wanita melebihi 80 tahun.

Secara mudahnya, anda hampir pasti kehilangan bapa sebelum kehilangan ibu, bersesuaian dengan peribahasa ‘kasih bapa sementara ada’.

Mencari maut

Mengapa jangka hayat lelaki lebih pendek, atau dalam konteks ini, nyawa bapa lebih pendek dari ibu?

Kerana leteran? Letih membawa barang isteri membeli belah? Atau mungkin juga patah hati kerana kurang mendapat kasih dan perhatian isteri serta anak-anak?

Bagi sesetengah bapa, ada yang mencari maut sendiri. Rokok menjadi antara punca utama ramai anak kehilangan bapa, ramai isteri kehilangan suami.

“Bronkitis kronik dan kanser paru-paru banyak berlaku di kalangan lelaki di negara ini, kebanyakannya akibat rokok.

“Lelaki juga diancam masalah kanser prostat, kanser testis dan masalah mati pucuk, yang menambahkan tekanan fizikal badan kepada tekanan mental yang sudah membelenggu,” kata Dr. Abdul Malik.

Lelaki juga sebenarnya malas berjumpa doktor berbanding wanita! Ini mendedahkan mereka kepada ancaman bermacam jenis penyakit, kronik atau yang berjangkit.

“Rokok turut membawa kepada serangan jantung, masalah paru-paru, kematian mengejut dan juga kanser!”

Dari segi pekerjaan pula, lebih banyak lelaki diamanahkan dengan pekerjaan berbahaya seperti buruh binaan, polis, tentera, bomba dan pengurusan mesin berat. Dari rokok, jangka hayat hingga ke pekerjaan, risiko maut lebih tinggi pada lelaki. Jika ditambah dengan gaya hidup tidak sihat, semakin pupuslah jantina ini, bersamanya gelaran bapa kepada ramai anak bangsa.

Dr. Abdul Malik bersetuju golongan lelaki juga banyak menghadapi kesukaran hidup, dari tanggungjawab terhadap keluarga hingga ke tanggungjawab terhadap tugas kerja.

“Hidup lelaki tidak kurang kesukarannya. Lelaki (bapa) biasa akan keluar mencari rezeki untuk keluarga.

“Kerja di luar mendedahkan mereka kepada bahaya jangkitan penyakit dan juga kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja,” dakwanya.

Tambahnya, dengan timbunan beban kerja dan memikirkan keperluan keluarga, lelaki begitu mudah mengalami tekanan fizikal dan mental.

Keperluan barangan rumah dan dapur, keperluan anak, keperluan sekolah serta duit belanja anak dan isteri, mungkin juga duit untuk isteri membeli belah.

Semua ini menjadi tanggungjawab lelaki sebagai suami dan bapa untuk menyediakan kemudahan dan perlindungan untuk keluarga. Tinggi tekanannya!

Hargai selagi ada

Semua orang menghadapi tekanan dalam hidup seharian. Ibu, bapa, anak, tidak mengira jantina atau umur.

Namun, tahap dan bentuk tekanan atau stres berbeza mengikut umur, jantina mahupun antara individu.

Para ibu dan wanita mempunyai cara-cara tersendiri melepaskan tekanan di rumah, menjaga anak ataupun tekanan kerja. Membeli-belah, berjalan-jalan, berbual dan sebagainya.

Lelaki, terutamanya golongan bapa pula tidak menghilangkan tekanan dengan cara sama. Cara wanita mungkin hanya menambah tekanan kepada lelaki.

Jika timbunan tekanan bertambah, seseorang itu mungkin mencapai tahap sindrom kelesuan terlampau (burn-out).

“Pada tahap kelesuan maksimum ini, seseorang itu akan kehilangan segala keghairahan hidup termasuklah minat terhadap kerja, rumah dan persekitaran (mahupun orang tersayang).

“Seperti kemurungan, mereka yang kelesuan ini hilang minat kepada hidup seharian. Doktor dan pekerja bidang lain juga boleh mengalaminya,” dedah Dr. Abdul Malik.

Tidak kurang juga yang rendah syahwatnya (libido) dan menghadapi kesukaran untuk hamil akibat sindrom ini! Masalah ini sekurang-kurangnya menjelaskan sedikit dakwaan lelaki tidak berminat kepada urusan rumah tangga.

“Jika lelaki (bapa) tidak pedulikan keluarga, mereka tidak akan pergi bekerja untuk mencari rezeki bagi menyara anak dan isteri,” tegas Dr. Abdul Malik.

Namun, memang terdapat contoh lelaki yang tidak mempedulikan keluarga. Mereka menghabiskan masa dalam keadaan mabuk, menyuruh isteri bekerja dan merampas duit isteri untuk terus membeli arak.

Ini merujuk kepada sebilangan kecil yang kurang waras mindanya!

Jangan kerana nila setitik itu semua lelaki, terutamanya bapa yang telah banyak berkorban untuk keluarga menerima tempias sehingga terpaksa menghabiskan sisa hidup terbiar di hujung pandangan mata.

Cuti-cuti

Legakan tekanan hidup! Stres adalah sesuatu yang perlu untuk kita memajukan diri, tetapi jika tidak dapat dihadapi dan ditangani, tekanan itu pasti memudaratkan.

“Kita tidak mahu menghilangkan semua tekanan kerana ada tekanan yang baik untuk hidup.

“Tapi, jika tekanan berlebihan dapat dikawal, bukan sahaja risiko penyakit dan kematian dapat dikurangkan, malahan dapat mengelakkan masalah mental!”

Tambah Dr. Abdul Malik, kawalan tekanan hidup dapat mengurangkan ketegangan otot, keresahan dan juga meningkatkan kualiti tidur. Tentu ramai yang tidak sedar betapa kualiti tidur menjejaskan mental dan fizikal badan.

Untuk itu, pengurusan masa menjadi faktor utama. Manusia tidak akan mempunyai cukup masa untuk melakukan segala-galanya, tetapi kebanyakan tugas penting dapat diselesaikan jika masa diperuntukkan sewajarnya.

Jika berkejar ke pejabat, hanya akan membuat diri tertekan. Semua gara-gara gagal bangun awal. Lambat, terperangkap kesesakan lalu lintas dan seterusnya menyumpah orang lain hanya menambah lagi tekanan yang dihadapi.

Tetapkan hari untuk kerja, masa untuk tugas rumah dan juga hari untuk cuti. Jika Sabtu dijadikan hari membeli barang keperluan, Ahad pula masa untuk berehat bersama keluarga.

“Perbanyakkan humor (kelucuan) dan gelak tawa dalam hidup. Agama dan kerohanian juga membantu!

“Khusyuk dalam sembahyang dapat mengasingkan minda, fokus kepada Allah, lupakan seketika apa yang berlaku di persekitaran dan merehatkan otak!”

Dr. Abdul Malik menambah, langkah-langkah ketika sembahyang juga menjadi satu senaman yang dapat mengurangkan tekanan mental dan fizikal.

Dalam mengelakkan kelesuan terlampau, apa yang paling sesuai adalah mengambil masa berehat dan bercuti bagi merehatkan badan dan minda, beberapa kali dalam setahun.

“Jangan ambil mudah! Perlu cuti dan rehat dari masa ke semasa. Pergi mana-mana pun tak apa asalkan dapat lupakan kerja atau punca tekanan.

“Melawat keluarga di kampung juga dikira bercuti. Hilangkan stres, anda akan berasa lebih santai dan tenang selepas kembali,” tegas Dr. Abdul Malik.

Walaupun seks mengurangkan tekanan, ianya hanya penyelesaian jangka pendek. Kesan sindrom kelesuan terlampau, syahwat lelaki mahupun wanita semakin rendah, mengurangkan aktiviti seksual. Pengurusan tekanan dengan baik adalah cara paling berkesan bagi mengelakkan kelesuan dalam jangka panjang.

“Dalam keadaan tenang, syahwat lebih tinggi! Pernah pasangan suami isteri yang bekerja tertekan kerana sukar hamil.

“Doktor mereka menasihatkan pasangan itu mengambil cuti panjang dan hasilnya, isteri tadi didapati hamil sekembalinya dari bercuti.”

Dr. Abdul Malik menegaskan begitu pentingnya waktu rehat dan cuti sehinggakan dapat mengubah hidup seseorang. Selain itu, belaian isteri dan bermanja dengan anak-anak juga dapat mengurangkan tekanan dan juga kelesuan seorang bapa.

Selain menggalakkan para bapa berhenti merokok dan mengamalkan gaya hidup sihat, pastikan bapa berehat dan bercuti untuk mengurangkan tekanan.

Bagi seorang bapa, setiap aspek hidup keluarga menjadi keutamaan. Selesa, selamat dan bahagia! Bersama kurangkan kelesuan bapa, menjaga hayatnya selagi ada. Bagi para bapa, menjadi bapa yang disayangi dan dihormati adalah lebih baik daripada yang digeruni.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: