June 21, 2009

Larangan eksploitasi kanak-kanak

Posted in 1 at 11:51 pm by Ahmad Salafi

Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), pada masa ini dianggarkan terdapat lebih 200 juta buruh kanak-kanak yang berumur antara 5 ke 17 tahun menjalankan tugas buruh kasar di seluruh dunia.

Daripada jumlah tersebut didapati 122.3 juta buruh kanak-kanak terdapat di negara Asia-Pasifik, 49.3 juta di tengah dan utara benua Afrika, 5.7 juta di benua Amerika Latin dan selebihnya di lain-lain kawasan.

Kebanyakan buruh kanak-kanak ini bekerja di luar bandar dalam bidang pertanian, perladangan, perindustrian dan lain-lain perkhidmatan.

Menurut sumber Pemantauan Hak Asasi Manusia (Human Rights Watch) pada masa ini terdapat 120 juta kanak-kanak terlibat sepenuh masa menjadi buruh kanak-kanak.

Menurut pemantau itu, tiga suku buruh kanak-kanak bekerja dalam keadaan amat menyedihkan kerana upah yang tidak sepadan, tempat kerja yang kotor, eksploitasi seks, tempoh kerja yang panjang, buruh paksa dan sebagainya.

Laporan pemantau itu juga menyebut bahawa kanak-kanak ini bekerja demi untuk sesuap nasi dan membantu keluarga mereka yang hidup dalam kemiskinan.

Apa yang nyata wujudnya buruh kanak-kanak ini sebenarnya menyentuh hak asasi kanak-kanak. Menurut Konvensyen Hak Asasi Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa kanak-kanak hendaklah dilayan sebagai manusia yang berhak seperti mana orang dewasa.

Maksudnya, mereka berhak untuk bersama dengan ibu bapa mereka, berhak mendapat keperluan asas hariannya, pendidikan, penjagaan kesihatan, hak perlindungan daripada tuduhan kesalahan jenayah dan hak untuk memenuhi keperluan pertumbuhannya.

Persoalan besar timbul ialah apakah pandangan Islam mengenai kedudukan buruh kanak-kanak ini? Islam telah memperuntukan hak asasi tertentu kepada kanak-kanak merangkumi sebelum dan selepas anak dilahirkan.

Persidangan Akademi Fiqh Islam Sedunia ke 12 anjuran Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) di Riyadh Arab Saudi pada 23-28 September 2000 menetapkan bahawa hak asasi kanak-kanak Islam berdasarkan hukum syarak antaranya adalah seperti berikut:

*Menjadi tanggungjawab ibu bapa menjaga anak dalam kandungan daripada sebarang unsur kecederaan.

*Anak dalam kandungan berhak hidup. Oleh itu sebarang pengguguran atau perbuatan yang boleh menggugurkan kandungan tanpa alasan syarak adalah dilarang.

*Setiap anak mempunyai hak dari segi fizikal dan moral. Hak fizikal termasuklah hak pemilikan sesuatu, menerima pesaka dan wasiat, menderma dan menerima kurniaan.

Hak dari segi moral pula ialah mempunyai nama yang baik, mengetahui siapa ibubapanya, mengetahui ahli waris terdekat, bimbingan agama, pendidikan, kemahiran dan latihan sebagai persedian menghadapi hidup masa depan.

*Kanak-kanak yang tidak bernasib baik seperti kanak-kanak kurang upaya atau anak yatim mempunyai hak yang sama seperti kanak-kanak yang lain.

*Kanak-kanak yang berumur dua tahun pertama berhak mendapat penyusuan penuh daripada ibunya.

*Islam melarang ibu bapa dan masyarakat mengeksploitasi kanak-kanak sebagai buruh dalam pertanian, perladangan, perindustrian dan perkhidmatan yang lain.

*Islam menganggap menyalahgunakan hak agama kanak-kanak, membahayakan nyawa kanak-kanak, mengeksploitasi seks kanak-kanak, menyalahguna harta kanak-kanak dan mendera pemikiran kanak-kanak sebagai tindakan yang zalim.

Islam memberi perhatian berat tentang hak asasi kanak-kanak. Allah memerintahkan bapa atau suami yang menceraikan isteri sedang mengandung supaya memberi nafkah secukupnya sehingga anak itu lahir, memberi upah kepada penjaga bayi dan berundinglah sewajarnya untuk menjaga kebajikan bayi itu (at-Talak: 6), melarang membunuh anak-anak kerana takut ditimpa kemiskinan (al-Israk: 31) dan para ibu diperintahkan menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap (al-Baqarah: 233).

Mengulas perkara yang sama tentang hak asasi kanak-kanak ini, Rasulullah SAW bersabda bahawa pada dasarnya anak-anak itu berada dalam keadaan suci tetapi ibu bapalah yang akan mencorakkan status peribadinya (riwayat Bukhari dan Muslim).

Dunia kehidupan kanak-kanak pada dasarnya adalah tempoh paling menyeronokkan kerana ketika itulah mereka dapat bermain-main, berkawan dan menikmati keindahan alam ciptaan Allah.

Pada masa yang sama menjadi kewajipan ibu bapa dan kaum kerabatnya memberi pendidikan dan bimbingan yang sewajarnya sebagai langkah mengukuhkan modal insan bagi mengharungi kehidupan dunia yang penuh mencabar.

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi ketika memberi fatwa dalam Islam online, salah satu hak asasi kanak-kanak ialah mereka berhak menikmati dunia kehidupan kanak-kanak yang penuh dengan warna-warni keseronokan.

Mereka tidak berhak memikul tanggungjawab seperti yang dilakukan orang dewasa kerana ia memberi kesan buruk kepada masa depan mereka.

Kanak-kanak berhak mendapat pendidikan yang secukupnya malah perhatian khusus hendaklah diberikan kepada kanak-kanak supaya pembangunan fizikal dan mental berupaya menjadikannya sebagai manusia yang dihormati.

Menurut al-Qaradawi lagi, adalah haram mengabaikan pendidikan anak-anak tanpa sebab yang dibenarkan. Bagaimana pun seorang kanak-kanak boleh menolong ibu bapa mereka bekerja.

Demikian juga jika ibu bapa yang hidup dalam kemiskinan dan tidak mampu memenuhi keperluan asas, maka Islam mengharuskan kanak-kanak bekerja dengan syarat pekerjaan itu sesuai dengan keupayaannya dan tidak menjejaskan kemampuan fizikal mereka.

Sebagai menghormati hak asasi kanak-kanak, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Berlaku adillah kamu terhadap anak-anak kamu, berlaku adillah terhadap anak-anak kamu, berlaku adillah terhadap anak-anak kamu”. (riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: