June 21, 2009

Memelihara mata sebelum buta

Posted in 1 at 10:39 pm by Ahmad Salafi

SEMPENA sambutan hari bapa hari ini, isu pemeliharaan penglihatan perlu ditekankan terutamanya di kalangan bapa (dan juga ibu) yang menghidap diabetes.

Kajian Mata Kebangsaan 1996 menganggarkan terdapat 63,000 individu buta dan 53,000 orang mengalami rabun teruk di Malaysia.

Antara punca utama masalah ini ialah penyakit diabetes yang boleh memberi kesan sampingan buruk kepada mata.

Penyakit diabetes ialah penyakit sistemik di mana badan tidak dapat mengawal kandungan gula, menyebabkan paras gula dalam darah menjadi terlalu tinggi.

Peningkatan paras gula dalam darah juga memberi kesan terhadap sistem salur darah dan mengakibatkan serangan strok dan jantung, kegagalan buah pinggang serta kerosakan pada mata dikenali sebagai retinopati diabetis.

Kesan

Kesan masalah buta akibat penyakit diabetes sangat besar. Kebanyakan pesakit tergolong dalam peringkat usia yang produktif dan mempunyai tanggungjawab besar menyara hidup serta keluarga masing-masing.

Kehilangan penglihatan pada peringkat ini boleh menyebabkan mereka kehilangan kerja kerana tidak mampu melakukan tugas dengan berkesan. Ini seterusnya akan menjejaskan ekonomi dan dinamik keluarga pesakit.

Impak negatif ini juga secara langsung membantutkan pembangunan dan ekonomi negara, terutamanya dengan kehilangan tenaga kerja di peringkat paling berpotensi dan produktif dalam hidup mereka.

Kerajaan pula terpaksa menanggung kos perubatan dan kebajikan pesakit ini.

Oleh kerana impak negatif ini, kebutaan akibat diabetes perlu dicegah!

Pencegahan boleh dilakukan dengan memastikan pesakit diabetes menjalani pemeriksaan mata secara berkala.

Pengesanan masalah mata di peringkat awal membolehkan doktor mata memberi rawatan sewajarnya mengikut keadaan pesakit.

Pemeriksaan mata

Retinopati diabetis adalah penyebab utama kebutaan baru di negara maju dan membangun.

Kemungkinan seorang pesakit diabetes menjadi buta adalah 25 kali ganda lebih tinggi berbanding individu sihat tetapi boleh dielakkan jika dikesan serta dirawat dari awal.

Sekitar 2006 dan 2007, jumlah pesakit diabetes di negara kita meningkat kepada 14.5 peratus daripada 8.3 pada 1996.

Didapati kadar komplikasi paling lazim akibat diabetes adalah ke atas saraf (58 peratus) dan mata (53 peratus).

Selepas lima tahun seseorang itu disahkan menghidap diabetes, 14 peratus daripada pesakit didapati menghidap retinopati diabetis.

Namun, didapati hanya tiga hingga 20 peratus pesakit diabetes menjalani pemeriksaan mata berkala.

Ini menunjukkan 80 peratus lagi pesakit diabetes yang tidak menjalani pemeriksaan mata berdepan risiko menjadi buta akibat retinopati diabetis.

Tanpa disedari

Kajian Kementerian Kesihatan pada 2002 untuk menyaring kesan penyakit diabetes ke atas mata melalui gambar retina di tujuh buah hospital di tujuh negeri memperoleh keputusan membimbangkan.

Daripada 6,288 pesakit diabetes, 38 peratus (2,138 orang) mengalami retinopati diabetis tanpa disedari.

Jika fakta ini diunjurkan kepada semua pesakit diabetes yang berjumlah hampir 3.7 juta (14.5 peratus daripada 26 juta rakyat Malaysia), bermakna kira-kira 1.4 juta pesakit menghidap retinopati diabetis tanpa disedari kerana tidak menjalani ujian saringan daripada doktor mata.

Fakta ini membimbangkan dan juga menyedihkan kerana pengesanan awal membolehkan kita mencegah kebutaan retinopati diabetes melalui rawatan laser atau pembedahan.

Bagaimanakah keadaan mata pesakit yang mengalami retinopati diabetis? Gambar mata pesakit diabetes menunjukkan contoh pendarahan di dalam retina mata pesakit yang tidak menjaga pemakanan.

Pesakit berkenaan juga menghidap darah tinggi, paras lemak tinggi dalam darah dan dia juga seorang perokok tegar. Semua faktor ini meningkatkan lagi risiko mendapat retinopati diabetis yang teruk.

Gambar tersebut menunjukkan perdarahan pada retina yang berlaku di dalam mata seorang pesakit diabetes yang tidak mengawal gula di dalam darah. Kebocoran lemak di tengah retina menyebabkan gangguan penglihatan.

Komplikasi sampingan

Satu fakta penting yang perlu diketahui pesakit diabetes ialah jika retinopati diabetis berlaku, besar kemungkinan pesakit itu juga mengalami masalah kerosakan buah pinggang yang dipanggil nefropati diabetis.

Ini penyebab utama kegagalan buah pinggang tegar yang memerlukan dialisis seumur hidup.

Oleh itu jika pesakit diabetes didapati menghidap retinopati diabetis, pemeriksaan air kencing perlu dilakukan segera untuk mengesan nefropati diabetis.

Pada peringkat awal, pengambilan ubat dapat mencegah kegagalan buah pinggang tegar.

Kesedaran masyarakat, terutama pesakit diabetes, dan doktor yang merawat mengenai kepentingan penyaringan mata sangat penting.

Menjadi kewajipan pesakit untuk menjalani pemeriksaan mata dan menyebarkan pengetahuan ini kepada pesakit lain supaya lebih ramai menjalani pemeriksaan untuk mengelakkan kehilangan deria penglihatan.

Apa yang perlu dilakukan pesakit? Tentukan mata anda diperiksa pakar mata sekurang-kurangnya sekali setiap tahun.

Kepada pengamal perubatan pula, patuhi jadual pemeriksaan mata pesakit seperti disarankan.

Pesakit diabetes boleh dirujuk untuk pemeriksaan retina di klinik mata atau pusat kesihatan yang ada kemudahan kamera retina.

Kepada pesakit diabetes, ingatlah bahawa:

*kemungkinan anda menjadi buta adalah 25 kali ganda daripada orang sihat

*walaupun anda dapat melihat dengan jelas, tidak bererti tiada kerosakan pada retina mata anda

*kerosakan retina mungkin bererti kerosakan buah pinggang yang boleh dikesan awal dengan ujian air kencing

*kerosakan awal buah pinggang dapat dirawat dan ini turut mencegah berlakunya kegagalan buah pinggang tegar yang memerlukan dialisis yang juga memerlukan belanja besar dan mengganggu kualiti hidup anda

Jika anda menghidap diabetes melebihi lima tahun, di samping mempunyai masalah tekanan darah tinggi, merokok, paras lemak tinggi dalam darah dan kawalan gula darah yang tidak sempurna, risiko mendapat kerosakan retina adalah tinggi.

Jangan berlengah, minta dirujukkan ke klinik mata dengan segera! Bersama kita memelihara penglihatan sebelum mata menjadi buta.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: