June 21, 2009

Mendidik remaja pengurusan kewangan bijak

Posted in 1 at 11:45 pm by Ahmad Salafi

BARU-baru ini hangat diperkatakan berkenaan kezaliman para pemberi pinjaman persendirian dalam menuntut kembali pinjaman daripada peminjam mereka. Si pemungut pinjaman sanggup melakukan apa sahaja demi melaksanakan misi mereka hatta sehingga mengancam nyawa si peminjam.

Selain daripada usaha menyediakan alternatif lain untuk mendapatkan pinjaman, khasnya buat mereka yang tidak bepekerjaan tetap, kita juga perlu menyelami isu ini sehingga kepada akar puncanya.

Sekiranya selama ini kita memikirkan kenapa ramai meminjam daripada pihak berkenaan, mungkin kita boleh memfokuskan persoalan kepada mengapa ramai meminjam? Atau mengapa perlu meminjam?

Persoalan mengapa ramai meminjam itu mungkin boleh ditanggapi jawapannya dari sudut situasi sektor pekerjaan yang agak kurang menggalakkan sejak kebelakangan ini akibat kelembapan ekonomi global. Kesannya ramai pekerja diberhentikan disebabkan ada syarikat yang menutup atau menguncupkan operasi.

Kesan tersebut turut menimpa golongan peniaga yang bersandarkan jualan barangan atau perkhidmatan mereka kepada golongan pekerja. Hal ini seterusnya mengurangkan pendapatan golongan peniaga pula.

Walaubagaimanapun wang akan tetap diperlukan demi meneruskan kehidupan. Persoalan makanan, sewa rumah, hutang kenderaan, rawatan kesihatan semuanya memerlukan pembiayaan.

Maka dari mana hendak mendapatkan wang seberapa segera? Pinjaman peribadi daripada pihak bank? Masakan berhasil lulus andai status kewangan tidak stabil. Pinjaman daripada saudara mara atau rakan? Ia bergantung kepada bagaimana pula keadaan kewangan mereka. Tidak semua mempunyai kenalan yang agak mewah.

Oleh itu mahu atau tidak, akan ada yang merujuk kepada peminjam kewangan persendirian walaupun mengetahui risiko faedah yang tinggi serta ancaman keselamatan diri. Seterusnya, kisah-kisah sedih akibat kegagalan membayar pinjaman akan terus terpampang di dada-dada akhbar seperti yang kita maklum sebelum ini.

Bagaimana Penyelesaiannya?

Sebagai penyelesaian jangka pendek ini, penyediaan dana kewangan bagi mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap mungkin mampu membantu golongan tersebut. Namun dari segi pelaksanaannya, pemberian pinjaman tersebut harus mengambil kira faktor peribadi pemohon agar mereka yang benar-benar layak sahaja akan dipilih.

Keduanya, pihak kerajaan turut berusaha merancakkan kembali persekitaran ekonomi negara dengan pelbagai pakej rangsangan yang diumumkan. Kaedah sedemikian telah dilaksanakan oleh negara-negara lain dengan maksud tujuan yang sama.

Melalui usaha tersebut, juga diharapkan agar lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan dapat diwujudkan agar lebih ramai rakyat mempunyai pendapatan sendiri, justeru tidak perlu meminjam untuk menyara kehidupan.

Ketiga, perancangan kewangan yang bijak pada peringkat individu merupakan inisiatif terbaik dalam memastikan kelangsungan status kewangan diri.

Teladani Kisah Nabi Yusuf

Kisah Nabi Yusuf sebagaimana diceritakan dalam al-Quran dalam surah Yusuf ayat 43 hingga 49 ada memberikan panduan tentang bagaimana kita seharusnya mengurus rezeki kita.

Sebagaimana negeri Mesir yang menjadi subur dan mewah dalam tempoh tujuh tahun dan kemudiannya bertukar menjadi kemarau tujuh tahun berikutnya, maka di kala tujuh tahun yang mewah itulah menjadi tempoh waktu mengumpul bekalan buat menghadapi tujuh tahun yang kontang.

Bagi kita pula, ketika dikurniakan kemewahan, sewajarnya kita sentiasa beringat agar tidak boros serta membazir dengan kemewahan tersebut. Kemewahan yang ada mungkin sahaja akan menyusut atau hilang secara tiba-tiba.

Justeru, tugas kita adalah dengan berusaha menggunakan kemewahan yang dimiliki melalui panduan yang disyariatkan serta menyimpan sebahagiannya untuk hari depan.

Menyimpan, Mencarum Demi Hari Depan

Oleh sebab wang menjadi satu bentuk pertukaran yang piawai dan sebagai sandaran nilai sesuatu barangan, maka penyimpanan wang menjadi fokus pengurusan kemewahan pada zaman moden ini berbanding barang makanan atau sebagainya.

Kini terdapat pelbagai instrumen kewangan yang dapat membantu kita mengurus kewangan diri seperti takaful, khairat, wakaf ataupun skim simpanan. Melalui caruman takaful dengan syarat-syarat yang dipersetujui, kita mendapat jaminan bantuan kewangan serta dividen daripada pihak syarikat takaful seandainya menghadapi situasi tidak diduga.

Sebagai contoh, seandainya berlaku kemalangan kepada si pencarum, belanja rawatan perubatannya mungkin dapat ditanggung oleh syarikat takaful, malahan beliau mungkin mendapat pampasan atas kemalangan tersebut.

Hal ini dapat mengurangkan bebanan kewangan beliau atas sebab satu situasi yang tidak terduga hanya dengan sedikit caruman takaful berbanding jika beliau tidak mempunyai sebarang perlindungan takaful.

Juga untuk pelbagai matlamat kewangan yang lain, pelbagai agensi telah ditubuhkan oleh kerajaan dalam membantu rakyat menyimpan demi mencapai matlamat mereka. Umpamanya, Lembaga Tabung Haji memberikan khidmat penyimpanan wang agar umat Islam di negara ini dapat menyimpan wang untuk tujuan menunaikan haji.

Begitu juga dengan Skim Simpanan Pendidikan Nasional yang wajar disertai oleh para ibu bapa dalam usaha menyediakan dana sendiri untuk menyara kos pendidikan anak-anak di peringkat kolej atau universiti.

Hal ini seterusnya dapat mengurangkan kebergantungan masyarakat terhadap pihak kerajaan untuk mendapatkan pinjaman pendidikan anak-anak, dan seterusnya membebaskan anak-anak daripada beban hutang pinjaman pendidikan sejurus mereka tamat pengajian kelak.

Pihak Bank Negara turut menubuhkan satu agensi khas dalam membantu rakyat merencana kewangan mereka yang dinamakan Agensi Kewangan dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Khidmat nasihat yang ditawarkan adalah percuma dan seharusnya dimanfaatkan oleh orang awam tidak sahaja ketika mengalami kesukaran tetapi juga bagi mereka yang mewah demi mencapai pengurusan kewangan yang lebih baik.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: