June 21, 2009

Sahut cabaran untuk kurus

Posted in 1 at 11:50 pm by Ahmad Salafi

GEMUK, gempal dan gebu kini menjadi satu lagi masalah yang melingkari masyarakat negara ini tanpa mengira status, peringkat usia, jantina mahu pun aga.

Masalah ini sering dikaitkan dengan faktor pemakanan yang tidak seimbang di samping kurangnya kadar senaman di kalangan mereka.

Malah dalam jangka masa antara 10 hingga 20 tahun akan datang, separuh daripada rakyat negara ini diramalkan bakal berhadapan dengan masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Ramalan itu berdasarkan perangkaan terbaru yang menunjukkan bilangan penduduk dewasa yang memiliki berat badan berlebihan dan obes telah meningkat lebih 10 peratus dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Lebih membimbangkan apabila rakyat di negara ini bakal berhadapan dengan situasi yang sama dengan masyarakat di Amerika Syarikat (AS) apabila dianggarkan 50 hingga 60 peratus penduduk negara tersebut adalah obes.

Baru-baru ini juga, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih satu bilion manusia seluruh dunia mengalami masalah berat badan dan jika berterusan kadar obesiti akan meningkat sehingga 1.5 bilion menjelang 2015.

Malah menerusi kajian Morbiditi dan Kesihatan Kedua 1996 turut mendapati sebanyak 16.6 peratus orang dewasa mengalami berat badan berlebihan dan 4.4 peratus yang lain tergolong dalam kumpulan obes.

Dengan kata lain, risiko pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan komplikasi jantung bakal dihadapi kebanyakan penduduk di negara ini.

Risiko ini juga disedari sebilangan besar masyarakat umum di negara ini. Walaupun mengetahui bahaya yang berlaku suatu ketika nanti, ramai yang masih enggan berbuat sesuatu walaupun sekadar senaman ringkas sahaja.

Bimbang dengan risiko itu, Pergerakan Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Cheras mengadakan inisiatif berbeza apabila menjemput kebanyakan ahli mereka yang ‘berbadan gempal’ dan mempunyai risiko untuk mendapat penyakit kesan daripada obesiti, untuk sama-sama menyertai satu program ala-realiti.

Mengambil konsep program televisyen terkenal seperti The Biggest Loser dari Amerika Syarikat, seramai 32 ahli yang terpilih bakal menjalani Cabaran Slim Fit yang diadakan hampir setiap hari.

Menurut Penyelaras Program, Zurainah Musa, program tersebut bakal berlangsung selam enam bulan dan setiap daripada peserta bakal diberikan senaman intensif dan program kawalan berat badan bagi mendapatkan indeks jisim badan (BMI) yang betul-betul ideal bagi kaum wanita.

”Antara masalah utama wanita di negara ini adalah masalah berat badan dan saya anggarkan majoriti wanita yang telah berkahwin terjebak dengan perkara ini, secara disedari mereka atau tidak.

”Kebanyakan mereka yang menyedari masalah ini juga tidak mengambil sebarang tindakan sebaliknya hanya mengendahkan ia tanpa menghiraukan bahaya yang bakal datang kemudian hari,” katanya ketika ditemui pada salah satu acara tersebut.

Zurainah menjelaskan, program itu bakal menjadi satu definisi baru kepada kaum wanita yang mengalami obesiti untuk merubah gaya hidup dan penampilan diri.

”Majoriti yang menyertai program ini adalah kaum wanita berkerjaya dan berkeluarga, jadi mereka ini tidak sempat untuk menguruskan diri sendiri sehingga mengabaikan aset yang bernilai bagi kaum wanita.

”Justeru, kami mengambil keputusan untuk mengajak mereka yang ‘berisiko’ untuk menyertai program ini dan walaupun masa peserta agak terhad namun kami tetap mahukan peserta komited dengan aturcara yang disertai,” katanya.

Cabaran Slim Fit diadakan selama tiga kali seminggu selama enam bulan dan setiap peserta yang menyertai program itu perlu mengikuti setiap acara yang disediakan termasuklah senamrobik, motivasi serta sesi perbincangan bersama pakar pemakanan dan senaman.

Setiap peserta program juga diambil berat badan asal mereka sebelum program ini bermula. Ini bagi mengetahui perbandingan berat badan asal dengan berat badan yang telah dikurangkan sepanjang menjalani cabaran tersebut.

Malah, bagi menimbulkan rasa komitmen di antara semua mereka, peserta yang gagal mengikuti kelas atau diet yang disediakan bakal disingkirkan.

”Sehingga kini, apa yang saya lihat kesemua mereka begitu komited dengan program ini dan ada di antara mereka benar-benar mempersembahkan hasil yang menakjubkan,” jelasnya.

Pakar kesihatan dan program pelansingan terkenal, Dr. Nano menyumbang RM12,000 bagi setiap peserta yang terlibat. Malah, syarikat jualan langsung Tupperware, turut berkerjasama menaja segala amalan diet kepada para peserta.

Antara peserta, Nazatul Shima Shamsuddin, 27, memberitahu dia menyertai program tersebut sejak April lalu kerana ingin mengubah bentuk fizikalnya yang gempal kepada bentuk tubuh yang lebih menarik.

“Dahulu, saya tidak begitu kisah dengan bentuk tubuh sebegini dan merasakan semuanya akan ok sahaja tapi melihat keadaan umur dan masalah yang akan timbul nanti, saya sedar inilah masa untuk berubah,” katanya.

Dia yang tidak begitu kepingan untuk memilik susuk tubuh yang kurus mahupun menarik perhatian berkata dia menyertai Cabaran Slim Fit kerana ingin sihat dan mempunyai berat badan yang ideal sesuai dengan umurnya.

Norehan Mohamad, 26 pula berkata, dia mencabar diri untuk menurunkan berat badan dengan menyertai program ini.

“Ketika remaja, saya tidak gempal sebegini tetapi setelah usia kian meningkat dewasa, berat badan semakin bertambah walaupun saya menyedari perlu membuat sesuatu.

“Sekarang berkat nasihat dan dorongan kawan-kawan, saya berazam untuk mengurangkan berat badan yang berlebihan,” katanya.

Seorang lagi, Umizah Wanir, 24 pula memberitahu, masalah berat badannya itu begitu merisaukan dan jika tidak diatasi secara ideal, mungkin bakal membawa padah kepadanya.

“Saya masih muda tetapi mempunyai berat badan yang tidak bersesuaian dengan umur, jadi kali ini saya berazam untuk melakukan sesuatu.

“Saya menyahut cabaran ini untuk tampil lebih kurus kerana ia bukan sahaja mampu mengelak pelbagai penyakit malah memberi keyakinan tinggi untuk meneruskan kerja,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: