June 22, 2009

Anak paus mati tercekik sampah

Posted in 1 at 12:28 pm by Ahmad Salafi


Ikan paus malang kembali terdampar setelah cuba diselamatkan kakitangan Jabatan Perikanan, nelayan dan pihak bomba.

PENEMUAN seekor anak ikan paus betina spesies Bryde’s Whale yang terdampar di beting pasir Kuala Nenasi, Pekan, baru-baru ini menggemparkan semua pihak kerana mamalia berkenaan dianggap asing di negara ini.

Mamalia berwarna hitam dengan ukuran kira-kira 10 meter panjang dan berat lebih tiga tan metrik itu, dipercayai tersesat sebelum ditemui seorang nelayan.

Ikan paus berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian muncung dan badan dipercayai tersesat daripada kumpulan antara dua hingga tiga ekor.

Nelayan, Saman Muhamad, 42, yang menemui ikan paus berkenaan berkata, dia terkejut melihat satu objek besar terdampar pada beting pasir kira-kira 7.30 pagi ketika hendak turun ke laut.

“Saya sangkakan kayu balak berwarna hitam yang hanyut, tetapi sebaik mendekatinya, saya dapati ikan paus itu masih bernyawa.

“Ketika ditemui, paras air sungai hanya setakat sirip ikan berkenaan tetapi disebabkan saiznya yang besar, ikan itu tidak mampu bergerak ke laut,” katanya.

Katanya, ketika ditemui ikan paus itu masih kuat apabila sentiasa cuba berenang dan bergerak menggunakan ekornya, tetapi disebabkan air cetek di kawasan berkenaan, mamalia itu tidak mampu bergerak.

Saman berkata, dia bersama lebih 15 nelayan dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Pekan dan kakitangan Jabatan Perikanan Daerah berjaya menolak ikan paus berkenaan ke laut pada kira-kira jam 11 malam.

Bagaimanapun, mamalia berkenaan sekali lagi ditemui terdampar di atas pasir di Kuala Nenasi dan mati ketika operasi menyelamat dilakukan.

Pegawai Penyelidik Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) di Rantau Abang, Terengganu, Mohd Lazim Mohd Saif pula berkata, siasatan awal punca kematian mendapati saluran usus ikan paus berkenaan tersumbat.

Katanya, plastik sampah, segumpal tali nylon dan penutup botol ditemui dalam usus mamalia berkenaan yang dipercayai menyumbat saluran ususnya.

“Ikan paus itu mengalami masalah kesihatan agak serius menyebabkan ia lemah dan tidak dapat berenang ke laut walaupun selepas operasi menyelamat dilakukan.

“Ia kembali semula ke Kuala Nenasi selepas dibawa arus deras air pasang sebelum ditemui terdampar di pantai,” katanya.

Beliau berkata, ikan paus itu tidak dapat membezakan antara hidupan laut dengan plastik sehingga menyebabkannya memakan bahan buangan itu.

Selain ikan paus, kes hidupan laut makan plastik yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab turut dilaporkan berlaku kepada haiwan laut lain seperti penyu dan dugong.

Mohd Lazim berkata, kecederaan pada bahagian muncung ikan paus berkenaan dipercayai terlanggar batu karang terutama selepas terpisah daripada kumpulannya akibat tersesat.

Katanya, dia bersama empat pegawai Makmal Veterinar Kuantan melakukan pembedahan selain mengambil contoh beberapa bahagian ikan paus berkenaan untuk tujuan analisis.

Mamalia berkenaan ditanam di kawasan pantai Kuala Nenasi dengan diawasi polis Nenasi dan penduduk setempat bagi mengelak berlakunya kecurian.

Katanya, selepas dua bulan ditanam, Tumec akan mengambil rangka ikan paus berkenaan untuk kajian selain untuk pameran.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: