June 22, 2009

Bahaya meningitis

Posted in 1 at 1:37 pm by Ahmad Salafi


SEBAHAGIAN 14 pelatih akademi JPJ menerima rawatan akibat jangkitan meningitis.

Lima hingga 10 peratus masyarakat jadi pembawa kuman

KEJADIAN 354 pelatih penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di jabatan itu di Tiang Dua, Melaka, dimasukkan ke hospital termasuk seorang maut akibat meningitis, minggu lalu, sememangnya mencetuskan kebimbangan ramai.

Ini disebabkan ramai yang lebih maklum meningitis sebagai masalah terkawal dan hanya dikaitkan sebagai ancaman kepada mereka yang mahu menunaikan ibadat di tanah suci Makkah.

Tidak ramai yang maklum bahawa meningitis itu sebenarnya boleh mengancam nyawa. Apatah lagi jika tidak ditangani, meningitis boleh menyebabkan otak membengkak dan menjadi punca ketidakupayaan fizikal berkekalan, koma atau kematian.

Meningitis itu merujuk masalah radang pada lapisan sekeliling otak dan saraf tunjang. Kerap kalinya ia disebabkan bakteria atau virus dan kadang kala berpunca daripada jangkitan kulat.

Ia boleh berlaku di kalangan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah, remaja antara usia 17 ke 25 tahun serta dewasa berusia lebih 55 tahun.

Namun, meningitis boleh menjadi wabak jika ia berlaku dalam kawasan seperti di asrama atau berek. Ini disebabkan, keadaan tempat itu yang sesak, peredaran udara yang tidak baik serta faktor kedudukan rapat sesama penghuni menyebabkan ia mudah tersebar.

Meningitis boleh berpunca daripada pelbagai sebab. Bagaimanapun, bagi kes wabak meningitis di Akademi JPJ di Melaka, belum diketahui apakah punca sebenar berlakunya wabak itu.

Ini diakui sendiri Pengarah Bahagian Penyakit Berjangkit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Hassan Abdul Rahman yang menyifatkan cubaan untuk mengkulturkan kuman bagi mengenal pasti punca sebenar meningitis itu masih belum membuahkan hasil setakat ini.

Namun, pemberian antibiotik dan penjagaan kebersihan yang baik selain langkah kuarantin yang dilakukan ketika ini membantu mengekang wabak.

“Meningitis boleh disebabkan bakteria atau virus. Namun pecahan bakteria dan virus itu pula pelbagai. Contohnya di kalangan bakal jemaah haji, mereka perlu mendapatkan suntikan pneumokokal mencegah bakteria Neisseria meningitidis dari jenis A,B, C, Y dan W.

“Bagai kanak-kanak pula, mereka mengambil suntikan mencegah meningitis sama ada dengan vaksin pneumokokal atau Hib (haemophilus influenzae type B). Usaha mengenal pasti punca sebenar meningitis itu dapat membantu rawatan,” katanya.

Meningitis yang disebabkan virus jarang mengancam nyawa dan kebanyakan pesakit pulih dengan cepat. Namun meningitis yang berpunca daripada bakteria lebih serius kerana ia boleh disebabkan pelbagai jenis. Mengenal pasti bakteria yang menjadi punca memudahkan rawatan kerana ada sesetengah bakteria boleh ditangani dengan vaksin, misalnya jenis A, B, C, Y dan W.

“Kuman meningitis hanya hidup di dalam tubuh manusia. Sebenarnya antara lima hingga 10 peratus masyarakat di kelilingi kita bertindak sebagai pembawa kuman meningitis. Kuman itu hidup di kerongkong.

“Ini menjadikan ia mudah merebak di asrama atau berek. Bersin atau batuk melantunkan puing-puing yang boleh menjangkiti orang lain. Kuman itu boleh mati jika kawasan asrama itu luas, kebersihannya terjaga selain peredaran cahaya dan udara yang baik. Kuman itu juga mati apabila terkena cahaya mata hari,” katanya.

Dr Hassan berkata, bukan semua mereka yang diserang meningitis menunjukkan simptom. Hampir 25 peratus pesakit tidak menunjukkan sebarang simptom langsung.

Di Malaysia, kes di Akademi JPJ bukan yang pertama. Sebelum ini, kes serupa pernah berlaku di Universiti Putra Malaysia pada 2002. Malah secara purata, kurang 50 kes meningitis setahun, dicatatkan di Malaysia.

Di negara lain seperti Britain, kajian awam mendapati setiap tahun sejumlah 3,000 kes meningitis yang mengancam nyawa, dicatatkan, setiap tahun. Kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak bawah usia lima tahun, remaja 16 ke 19 tahun selain golongan berusia lebih 55 tahun.

Daripada jumlah itu, ratusan pesakit meninggal dunia manakala yang terselamat menjalani hidup tanpa kualit. Misalnya menjadi pekak, buta, kehilangan kaki, mengalami masalah pembelajaran, memori terganggu dan masalah tingkah laku.

INFO: Meningitis dari sudut perubatan.

  • Masalah radang pada meninges, selaput yang melindungi otak dan saraf tunjang. Meninges terdiri daripada tiga membran, yang secara bersama dengan air tulang belakang (cerebrospinal fluid) menutup dan melindungi otak dan saraf tunjang (sistem saraf tengah).
  • Lapisan membran pertama adalah ‘pia mater’ – lapisan paling dalam, ‘Arachnoid mater’ – lapisan tengah dan ‘Dura mater’ – lapisan seakan kulit paling luar dan air tulang belakang.
  • Kuman meningitis sampai ke meninges melalui dua cara, melalui darah atau hubungan terus antara meninges dengan ruang hidung atau kulit.
  • Lazimnya, otak dilindungi secara semula jadi daripada sistem imun tubuh dengan adanya meninges. Ia menjadi penghalang antara saluran darah dan otak. Meninges membantu menghalang sisrem imun menyerang tubuh.
  • Dalam kes penyakit meningitis, apabila bakteria atau organisma lain sampai ke otak, ia terasing daripada sistem imun dan mudah merebak. Apabila tubuh melawan jangkitan, masalah menjadi lebih teruk.
  • Cubaan menentang jangkitan menyebabkan salur darah bocor membenarkan cecair, sel darah putih dan lain-lain partikel menentang jangkitan masuk ke meninges dan otak. Ia menyebabkan otak bengkak, menurunkan aliran darah ke otak menyebabkan simptom bertambah teruk.

Punca

  • Meningitis selalunya disebabkan satu daripada pelbagai jenis bakteria. Punca paling biasa adalah bakteria Streptococcus pneumoniae. Kuman Neisseria meningitidis biasanya menjadi punca wabak meningitis di asrama atau berek. Haemophilus influenzae type B (Hib) pula boleh menjadi punca meningitis di kalangan kanak-kanak juga dewasa.
  • Bakteria meningitis boleh terjadi kerana pelbagai sebab. Selalunya berpunca daripada jangkitan bakteria yang sudah menghuni hidung atau mulut. Ia masuk ke darah dan sampai ke meninges.
  • Meningitis boleh juga disebabkan jangkitan pada otak seperti daripada telinga atau sinus tersebar, selain boleh berpunca daripada komplikasi pembedahan otak, kepala atau tengkuk.

Simptom

  • Demam dan kepanasan
  • Sakit kepala
  • Leher kaku
  • Muntah
  • Keliru
  • Mata yang sensitif pada cahaya
  • Hilang deria rasa, kekuatan atau rasa lemah terutama di muka
  • Sendi bengkak atau sakit di satu atau lebih sendi
  • Ruam yang kelihatan seperti bengkak

Rawatan dan komplikasi

  • Mengambil air tulang belakang mungkin digunakan untuk diagnosis atau menidakkan meningitis sebagai penyakit.
  • Rawatan biasa meningitis adalah antibiotik atau anti virus. Dalam sesetengah situasi, streroid digunakan bagi mencegah komplikasi daripada radang yang terlalu aktif.
  • Meningitis boleh menyebabkan komplikasi serius berpanjangan seperti pekak, epilepsi, hidrocephalus (kepala bengkak air) kemerosotan kognitif terutama jika tidak dirawat segera.

Golongan berisiko

  • Dewasa berusia 60 tahun ke atas
  • Kanak-kanak di bawah usia lima tahun
  • Mereka yang minum arak
  • Pesakit barah terutama yang menjalani kemoterapi
  • Pesakit menerima organ baru dan mengambil ubat tertentu
  • Pesakit diabetes
  • Terdedah pada meningitis (misalnya berada dalam asrama yang sama dengan pesakit meningitis)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: