June 22, 2009

Bangga jadi ‘penjaga tali hayat’

Posted in 1 at 12:18 pm by Ahmad Salafi


Mohamad Din (kanan) dan Shariff di terowong bekas lombong.

Kegemilangan aktiviti perlombongan di Sungai Lembing buat bekas pekerja bangga kerana menjadi sebahagian daripada sejarah gemilang

MESKIPUN sesetengah pihak menganggap peranan penjaga atau pengawal lif kecil dan berwatak sokongan atau pembantu, tetapi di era kegemilangan industri perlombongan bijih timah Sungai Lembing, Pahang, mereka layak digelar ‘penjaga tali hayat’.

Mohamadd Din Ibrahim, 63, Mohamad Sharif Mohamad, 60, dan Abdul Latif Ngah, 55, adalah antara bekas penjaga tali hayat di lombong Sungai Lembing yang masih hidup dan kini menetap di bandar berkenaan yang mereka anggap sebagai bandar kecil bertamadun.

Bagi mereka, kegemilangan yang dicipta hasil aktiviti perlombongan membuatkan mereka bangga kerana menjadi sebahagian daripada sejarah negara dan dunia walaupun kini semuanya tinggal kenangan.

Lebih menarik, mereka yang cuma berpendidikan rendah belajar bagaimana menggunakan teknologi yang boleh dianggap canggih pada ketika itu dan sudah digunakan sejak lebih 100 tahun lalu.

Mohamadd Din yang berasal dari Sungai Lembing mula bekerja di situ pada 1965 ketika berusia 19 tahun. Kerjanya sebagai pemandu Q (lif) selama 21 tahun memberi pengalaman, ilmu baru bagaimana pentingnya bekerja pada tahap disiplin tinggi.

Lif pekerja lombong Sungai Lembing.

“Kami banyak belajar soal pengurusan contohnya, kami cuma dibenarkan bekerja satu syif (lima jam) sehari bertujuan memastikan kami sentiasa dalam keadaan cergas, sihat dan tidak cuai. Sedikit kecuaian akan membawa maut kerana lif yang dikawal membawa pekerja ke dalam lombong,” katanya.

Tugasnya dilihat cukup mudah menaikkan dan menurunkan barang atau pekerja ke dalam lombong tetapi ia sebenarnya cukup sukar. Peranannya ialah memastikan lif itu sampai ke tingkat yang dikehendaki hanya berdasarkan kod loceng khas.

Satu contoh mudah ialah kod 3,10, 2 yang membawa maksud ada orang di dalam lif yang perlu diturunkan ke tingkat 10 dan bersedia diturunkan. Kod 3 mewakili orang, 10 bermaksud tingkat dan 2 pula menunjukkan sedia turun.

Bagi kod 4,10,2, ia mewakili barang di dalam lif yang perlu dinaikkan ke tingkat 10 kerana kod 1 bermaksud naik. Kod tambahan iaitu 8 bermaksud kerja menaik atau menurunkan sudah selesai.

“Jika kami tidak mendengar kod loceng dengan jelas, pemandu Q tidak akan menggerakkan lif, kerana kami perlu pastikan maklumat itu tepat. Ia membabitkan soal keselamatan.

“Jika ada pekerja yang sengaja bergurau dengan menekan kod sembarangan, kami tidak akan melayan dan mereka akan tersangkut kerana lif tidak akan bergerak. Sepanjang saya bekerja, belum pernah ada yang bermain-main dengan kod loceng,” katanya.

Lif yang membawa pelombong ke kolong bawah tanah memuatkan maksimum lapan orang pada satu masa yang terpaksa berdiri tegak dan berhimpit. Lif bersaiz 6 kaki persegi itu dilitupi penghadang atau pagar setinggi paras pinggang lelaki dewasa.

Ketika memulakan kerja, Din cuma diberikan tugas sebagai penyapu minyak pada kabel lif selama lima tahun sebelum dinaikkan pangkat sebagai pemandu Q. Dengan bayaran gaji RM4.49 sehari dan gaji terakhir RM18.60 sehari, beliau cukup berbangga kerana ia lebih daripada mencukupi pada ketika itu.

“Kami menerima bonus dua bulan gaji setiap tahun, kemudahan air, elektrik disediakan percuma 24 jam sehari. Tempat lain tak dapat kemudahan ini. Kerja di sini langsung tidak tertekan sebab British sudah susun jadual kerja secara sistematik,” katanya.

Rakannya, Mohamad Sharif pula bertindak sebagai pemandu Q Besar yang berada di puncak bukit iaitu mengawasi semua laluan ke terowong termasuk lif yang dikawal Mohamadd Din. Q Besar dikhaskan untuk mengangkut bijih timah keluar dari kolong sebelum dihantar ke kilang.

Kini, rumahnya dijadikan mini muzium menyimpan pelbagai koleksi berkaitan lombong Sungai Lembing termasuk sebuah mini lokomotif, serbuk bijih timah, kasut pelombong, kerusi pegawai, beberapa batu uji kaji geoglogi yang digunakan untuk mengkaji tahap matang bijih di lombong baru.

Mengimbas kenangan lalu, tegasnya, walaupun sibuk bekerja selama dua syif sehari, beliau aktif bersukan di kompleks sukan khas untuk buruh.

“Saya sempat beraksi untuk mewakili Pahang. Ketika ini kami di sini sangat aktif, kami bukan hanya bekerja tetapi digalakkan bersukan yang berpangkalan di rumah kelab buruh. British sudah sediakan semuanya, sukan dan rekreasi bagi memastikan kami tidak tertekan ketika bekerja.

“Pada zaman itu, saya adalah rakan sepasukan dengan Datuk Jamal Nasir (Pengurus Bola Sepak Pahang) dan Tajuddin Noor (Jurulatih),” katanya.

Sabariah Ismail, 69, pula adalah satu-satunya anak perempuan Melayu yang diterima bekerja sebagai jururawat di hospital khas kendalian British ketika beliau berusia 17 tahun. Walaupun tidak menerima latihan khas sebagai jururawat, kebolehannya bertutur Bahasa Inggeris dengan baik membolehkannya layak ke jawatan itu.

“Sangat seronok bekerja di hospital itu. Kebersihannya cukup dijaga, kemas dan saya diajar asas kejururawatan oleh Dr Freeman hinggakan saya mampu jalankan tugas menjahit luka dan pemindahan darah.

“Hanya saya seorang perempuan Melayu yang bekerja di situ, rakan lain semuanya berbangsa Cina. Menerima gaji RM60 sebulan hinggalah kepada RM1,000 cukup besar. Dulu, di sini, sangat meriah, sentiasa ada pergerakan sebab pekerja lombong bekerja mengikut syif,” katanya kini yang mengusahakan kedai makan berhampiran Muzium Sungai Lembing.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: