June 22, 2009

Barah hidung sukar dikesan

Posted in 1 at 2:33 pm by Ahmad Salafi


Kelenjar leher bengkak antara simptom NPC (gambar kecil).

Penyakit lazim rakyat Malaysia dengan kaum Bidayuh catat kes tertinggi di dunia

APAKAH hidung anda sering berdarah? Jika ya, anda berkemungkinan mengalami masalah barah hidung atau ‘nasopharyngeal carcinoma’ (NPC) yang kerap kali sukar dikesan kerana kedudukannya yang jauh di belakang hidung.

Malah, lazimnya, pesakit hanya dikesan mengidap NPC apabila mendapatkan rawatan akibat masalah kesihatan lain seperti hidung berdarah atau bengkak pada kelenjar di leher. Namun, malang sekali apabila mereka disahkan menghidap NPC pada tahap ketiga.

Pakar Runding Telinga, Hidung dan Tekak Hospital Pantai Ampang, Dr Raymond Tan berkata, barah hidung adalah penyakit yang paling lazim dikesan dihidapi kalangan warga Malaysia.

Malah di peringkat global, kaum Bidayuh yang menjadi antara etnik utama Sarawak, terbukti menjadi bangsa paling tinggi dikesan menghidap barah hidung.

Di Semenanjung Malaysia, mereka yang berketurunan Cina dan Melayu lebih kerap didiagnos dengan barah hidung.

Pemeriksaan menggunakan kamera khas kaedah utama mengesan NPC.

Masyarakat India, bagaimanapun, amat jarang dikesan mengalami masalah ini.

Barah hidung adalah ketumbuhan yang wujud di ‘nasopharynx’ iaitu bahagian yang terletak di belakang hidung dan di atas bahagian belakang tekak.

“Pada peringkat awal, barah hidung memang sukar dikesan kerana bahagian nasopharnyx payah diperiksa. Lebih sukar lagi, simptom penyakit itu juga menyerupai gejala masalah kesihatan lain,” katanya.

Dr Raymond berkata, ada kalanya juga, pesakit percaya hidung yang berdarah disebabkan suhu badan terlalu panas.

Rongga belakang hidung yang diserang barah.

“Ini menyebabkan mereka tidak berjumpa doktor kerana menganggap masalah itu kecil dan boleh sembuh dengan sendiri.”

Bagaimanapun, tegasnya, hidung berdarah hanya satu daripada simptom barah hidung. Lebih membimbangkan, simptom itu ada kalanya menunjukkan barah berkenaan sudah pun berada di tahap akhir.

Di negara Asia Tenggara, NPC mencatatkan antara lima hingga 15 kes bagi setiap 100,000 penduduk. Manakala di China, terutama di Selatan China, Taiwan dan Hong Kong mencatat 30 kes bagi nisbah jumlah penduduk yang sama.

Jelas Dr Raymond, pada peringkat awal, NPC tidak menyebabkan sebarang simptom. Bagaimanapun apabila barah itu merebak ke tahap seterusnya, beberapa simptom mula kelihatan.

Katanya, ada beberapa faktor risiko yang dikaitkan dengan serangan NPC. Antaranya jantina. Lelaki berhadapan dengan risiko NPC dua kali ganda lebih tinggi berbanding wanita. Manakala orang Asia dan Utara Afrika lebih banyak dikesan menghidap NPC.

“Satu lagi faktor risiko yang dikaitkan dengan NPC adalah makanan yang diawet dengan kandungan garam yang tinggi, misalnya ikan, itik atau sayur-sayuran,”katanya.

Selain itu virus Epstein-Barr, virus paling biasa ditemui pada manusia dan hidup di sekitar hidung. Virus ini dikaitkan dengan beberapa jenis barah.

Jelas Dr Raymond, barah NPC tahap satu bermaksud, barah masih berada dalam hidung. Barah NPC tahap dua dan tiga, ketumbuhan semakin besar dan sudah merebak ke bahagian. NPC tahap akhir, barah masuk jauh ke paru paru, tulang atau hati.

“Kerana simptom awal NPC kerap dianggap masalah biasa, kebanyakan pesakit datang ketika sudah berada di tahap kedua dan ketiga,” katanya.

Mengikut statistik, hampir 54 peratus dikesan dengan NPC selepas mendapatkan rawatan bengkak di leher, 25 peratus ketika berlaku pendarahan pada hidung, 18 peratus kerana masalah kurang pendengaran pada sebelah telinga, 13 peratus kerana menjadi juling dan 12 peratus terasa telinga berdengung.

INFO: Simptom NPC

Simptom awal
1. Hidung berdarah, bukan pendarahan yang teruk tetapi kesan darah.
2. Salah satu telinga berdengung.
3. Salah satu hidung tersumbat dan tidak boleh bernafas dengan betul.

Simptom lewat
1. Bengkak pada leher.
2. Mata juling – barah sudah memasuki bawah otak dan menyerang saraf otak yang mengawal pergerakan mata.
3) Sakit kepala yang kronik.
4) Sakit pada tulang kaki atau belakang (tahap empat).Rawatan

1) Radiasi – memusnahkan sel barah dengan cepat. Namun ada kesan sampingan yang bersifat sementara, misalnya hilang pendengaran, mulut yang kering atau sukar menelan.

2) Kemoterapi – bertindak memusnahkan sel dengan pantas tetapi seperti diketahui ia juga mungkin memusnahkan sel yang sihat berdekatan sel yang terjejas. Kemoterapi bertindak merawat NPC dengan tiga cara, digunakan bersama-sama terapi radiasi, digunakan selepas terapi radiasi atau sebelum terapi radiasi.

3) Pembedahan – bukan rawatan yang kerap dipilih untuk menangani NPC. Bergantung pada keadaan pesakit, doktor akan menilai rawatan terbaik dengan peratusan untuk pulih yang memihak kepada pesakit.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: