June 22, 2009

Barah terus mengganas

Posted in 1 at 3:39 pm by Ahmad Salafi

Seorang bagi setiap empat rakyat Malaysia berisiko

BARAH terus menjadi penyebab utama kematian di seluruh dunia. Ketika dunia mengiktiraf 5 Februari sebagai Hari Barah Sedunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberi peringatan yang membimbangkan iaitu 84 juta orang akan menemui ajal akibat barah bagi tempoh 2005 hingga 2015.

Di Malaysia, seorang bagi setiap empat warga Malaysia berdepan risiko diserang barah. Persatuan Barah Kebangsaan meramalkan, menjelang tahun 2020, barah akan menyerang seorang daripada setiap tiga orang jika tiada sebarang tindakan diambil.

Lebih membimbangkan, barah yang kerap kali dikaitkan sebagai penyakit bawaan genetik, kini perlu dilihat sebagai ancaman kepada semua orang.

WHO melaporkan lebih 70 peratus kematian disebabkan barah berlaku di negara membangun dan negara berpendapatan rendah. Kebanyakan kematian dikaitkan dengan penggunaan tembakau yang merangkumi 1.5 juta kes setahun.

Kematian di seluruh dunia akibat barah dijangka meningkat hingga 45 peratus dari 2007 hingga 2030. Selain faktor urbanisasi yang mempengaruhi gaya hidup masyarakat dunia, peningkatan itu juga dikaitkan dengan peningkatan bilangan warga tua.

Ada pelbagai jenis barah namun barah paru-paru lebih banyak membunuh berbanding barah lain. Barah paru-paru pula berlaku di seluruh dunia dan trend ini dijangka berterusan selagi tiada usaha global yang bersungguh-sungguh bagi menangani ancamannya, termasuk industri tembakau.

Namun, selain barah paru-paru, penduduk negara membangun juga berdepan risiko barah prostat dan payu dara biarpun barah yang disifatkan pembunuh utama adalah barah hati, perut dan pangkal rahim.

Sebenarnya hampir 40 peratus kes barah boleh dicegah termasuk berhenti merokok atau menjauhi perokok. Barah yang dikesan pada peringkat awal juga mampu diatasi menerusi pembedahan serta rawatan radioterapi atau kemoterapi.

Kegagalan membendung peningkatan kes barah dikaitkan juga kegagalan mengawal kehidupan, misalnya merokok, tidak bersenam, tidak mengawal pemakanan, pencemaran udara, radiasi selain jangkitan seperti hepatitis B.

INFO: Faktor Risiko Barah

  • Penggunaan tembakau – bertanggungjawab pada 1.8 juta kematian setiap tahun.
  • Terlalu gemuk, obes dan tidak aktif secara fizikal – bertanggungjawab pada 274,000 kes kematian setiap tahun.
  • Penggunaan alkohol berlebihan – menyebabkan 351,000 kematian setiap tahun.
  • Jangkitan virus human papilloma melalui hubungan kelamin – menyebabkan 235,000 kematian setahun

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: