June 22, 2009

Gigi ganti kornea

Posted in 1 at 3:55 pm by Ahmad Salafi


Dr Then (kanan) memerhatikan mata Dunya selepas berjaya dalam pembedahan Osteo-Odonto Keratoprosthesis – gigi di dalam mata di PPUKM.

Pesakit buta kornea, Dunya Enchana mampu melihat semula selepas jalani pembedahan gigi di dalam mata

BUTA kornea adalah penyakit yang sukar diubati. Ia bukan saja membataskan pergerakan malah mungkin menyekat pandangan apabila mata tidak mampu berfungsi dengan baik.

Namun, nasib malang mereka yang buta kornea mampu diubah dengan kepakaran terkini sekumpulan pakar Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

April lalu, pakar PPUKM berjaya mengembalikan semula penglihatan bekas anggota polis, Lans Koperal Dunya Enchana yang buta kedua-dua matanya kerana disimbah asid pada Mei 2006. Walaupun mata kirinya terpaksa dikeluarkan kerana rosak namun mata kanannya mampu berfungsi semula selepas menjalani pembedahan Osteo-Odonto Keratoprosthesis (OOKP) atau gigi di dalam mata.

Secara saintifiknya, pembedahan OOKP dilakukan bagi mengubati pesakit buta kornea. Ia dijalankan dalam dua peringkat. Pada setiap peringkat, pesakit perlu menjalani proses kuarantin selama tiga hingga empat bulan sebelum peringkat seterusnya dilaksanakan.

Bagaimanapun, hanya pesakit yang mengalami masalah buta pada kedua-dua mata akibat kecederaan kornea yang diindikasikan boleh menjalani pembedahan itu. Sebelum menjalani kedua-dua proses, pesakit perlu diberi kaunseling berkenaan proses pembedahan dan keadaan kesihatan pesakit terutama gigi mereka perlu dipantau kerana ia adalah anggota utama digunakan dalam rawatan.

Pakar Perunding Bedah Mulut dan Maksilofasial PPUKM, Profesor Madya Dr Roszalina Rosli mengakui pembedahan OOKP berisiko tinggi. Malah, mereka berdepan dengan 25 peratus risiko kegagalan sepanjang dua peringkat pembedahan itu dilakukan.

Namun, dengan kerjasama dan sokongan Pakar Perunding Oftalmologi, Dr Then Kong Yong dan seorang Pakar Perunding Bedah Mulut dan Maksilofasial, Profesor Madya Dr Roslan Abdul Rahman, mereka berjaya memastikan kejayaan pembedahan yang pertama kali dilaksanakan di negara ini.

“Peringkat pertama proses rawatan ini dijalankan pada Januari lalu. Proses ini memerlukan cabutan gigi kanin atau gigi taring pesakit yang kemudian dibentuk bagi memasukkan silinder optik,” katanya.

Pada peringkat ini, bahagian kornea serta tisu parut pada mata yang dipilih akan dibuang manakala mukosa mulut pada dalam pipi diambil mengikut saiz yang sesuai dan dipindahkan ke mata.

Kompleks gigi tulang silinder kemudian diimplan pada kawasan bawah kelopak mata sebelah kiri. Gigi berkenaan diletak pada mata kiri terlebih dulu bagi mewujudkan pembekalan darah baru sebelum dipindahkan ke mata kanan pada peringkat kedua.

Selepas tiga bulan, gigi diimplan pada mata kiri, April lalu peringkat kedua diteruskan dengan menebuk mukosa mulut yang dipindah pada luar mata untuk memasukkan kompleks gigi itu ke dalam mata kanan.

Lebih hebat, selesai proses itu dijalankan pesakit akan dapat melihat semula melalui cahaya yang akan masuk melalui silinder itu. Namun, pesakit harus meneruskan proses kaunseling dan rawatan susulan bagi memastikan tiada kompilasi berlaku selepas proses pembedahan.

“Kita masih memantau keadaan pesakit walaupun kini pesakit mampu melihat dengan penglihatan 6/60. Namun, pesakit disarankan menggunakan cermin mata bagi menambah baik penglihatannya tanpa bergantung kepada ahli keluarga,” katanya.

Dr Roszalina berkata, sekiranya pesakit menghadapi sebarang masalah, pakar akan menjalankan operasi yang sama sekali lagi dengan menggunakan gigi lain yang berada dalam keadaan yang baik. Bagaimanapun, mengikut kes di negara lain sebelum ini tiada masalah berlaku selepas proses pembedahan tamat.

Kos pembedahan adalah berbeza. Oleh kerana Dunya bekas kakitangan kerajaan, kos kanta berjumlah RM2,000. PPUKM belum menetapkan sebarang kos pembedahan namun Singapura menetapkan bayaran RM50,000 pada proses pembedahan yang dijalankan mereka.

Dr Roszalina berkata, mereka yang mempunyai masalah buta kornea dan ingin mendapat rawatan seperti Dunya perlu bertemu doktor di kawasan berhampiran bagi mendapat khidmat nasihat sebelum dirujuk kepada PPUKM untuk proses lanjutan.

Malaysia adalah negara kedua di Asia Tenggara yang melaksanakan pembedahan OOKP selepas Singapura yang menjalankan operasi sama pada 2004. Lebih membanggakan, Malaysia menjadi antara pelopor dunia yang berjaya melakukan operasi itu kerana mengikut statistik hanya 10 hingga 15 kumpulan pakar saja berjaya melakukannya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: