June 22, 2009

Ibu tumpang haram di China

Posted in 1 at 11:59 am by Ahmad Salafi


Seorang ibu tumpang yang mendakwa menjadi mangsa kekejaman pihak berkuasa.

Ramai wanita bujang jual bayi pada harga RM52,000 seorang

IBU tumpang bukan lagi sekadar jalan penyelesaian kepada pasangan suami isteri yang mempunyai masalah kesuburan tetapi kini boleh disifatkan sebagai satu industri yang menguntungkan bagi sesetengah masyarakat di kebanyakan negara.

China yang semakin ramai memiliki pasangan bermasalah untuk mendapatkan anak menyaksikan meningkatnya permintaan menggunakan khidmat ibu tumpang bagi memiliki zuriat sendiri.
Jika beberapa tahun dulu, pihak berkuasa negara itu sekadar menutup mata terhadap aktiviti ibu tumpang yang jelas melanggar undang-undang China yang cukup tegas terhadap dasar kelahiran bayi, kini mereka dilaporkan mula bertindak sehingga menggunakan paksaan supaya ibu tumpang haram menggugurkan kandungan.

Tiga ibu tumpang muda yang pertama kali terbabit dalam aktiviti berkenaan mendedahkan bahawa pihak berkuasa di bandaraya selatan China, Guangzhou membuat serbuan terhadap pangsapuri yang menjadi tempat persembunyian mereka.

Dalam kejadian Februari lalu, ketiga-tiga wanita muda yang belum berkahwin itu mendakwa pegawai keselamatan dan perancangan keluarga daerah yang menjalankan operasi membawa mereka ke dalam sebuah van menuju ke sebuah hospital daerah di mana mereka ditempatkan di wad bersalin.

Seorang ibu tumpang dirawat di wad bersalin Hospital Taihe selepas mendakwa dipaksa menggugurkan kandungannya.

“Saya hanya sekadar mampu menangis dan tidak mahu menggugurkan kandungan,” kata seorang daripada wanita terbabit yang dikenali sebagai Xiao Hong yang pada ketika itu mengandungkan pasangan kembar berusia empat bulan.

“Tetapi mereka terus mengheret saya dan menyuntik jarum ke perut,” kata wanita berusia 20 tahun itu mengimbas semula apa yang berlaku akhir Februari lalu.

Wanita yang enggan mendedahkan nama sebenarnya itu juga mendakwa beliau dipaksa menurunkan cap jarinya pada sehelai borang untuk membolehkan pengguguran dilakukan terhadap kandungannya itu.

Seorang mangsa lain mendakwa beliau dipaksa beberapa pegawai untuk mengambil pil sebelum pembedahan dilakukan bagi menggugurkan kandungan yang berusia tiga bulan ketika itu, semasa beliau dalam keadaan tidak sedar.

Wad hospital bersalin menjadi tempat pegawai perancangan keluarga membawa tiga gadis yang menjadi ibu tumpang untuk menggugurkan kandungan mereka.

“Saya benar-benar takut,” kata wanita berusia 23 tahun dari sebuah kampung di wilayah Sichuan itu.

Bagaimanapun berlainan pula dengan dakwaan pihak berkuasa yang mengambil tindakan terhadap ketiga-tiga wanita itu.

Akhbar Guangzhou Daily memetik seorang pegawai perancang keluarga daerah berkata mereka mengambil tindakan sedemikian kerana wanita terbabit belum berkahwin dan menjadi ibu tumpang secara haram. Malah pegawai itu mendakwa ketiga-tiga wanita terbabit ‘bersetuju’ untuk menjalani ‘kaedah perubatan’ mengikut undang-undang.

Tindakan pihak berkuasa itu mendapat tentangan ketua agensi ibu tumpang yang mendakwa ia secara terang-terangan adalah satu perbuatan jenayah oleh pihak berkuasa.

Lu Jinfeng, pengasas laman web ‘Ibu Tumpang China’ (www.aa69.com) yang beroperasi sejak lebih lima tahun tanpa berhadapan dengan sebarang masalah seperti ini turut menyifatkan perbuatan memaksa wanita berkenaan menjalani pengguguran adalah satu tindakan haram yang melanggar hak asasi kemanusiaan.

Media tempatan juga menyifatkan tindakan tegas Beijing itu sebagai amaran akan bertindak tegas terhadap industri ibu tumpang di masa depan berikutan ada yang menyifatkan keuntungan daripada aktiviti perniagaan itu lebih lumayan berbanding perniagaan dadah.

“Bila anda melihat laporan seumpama ini ia seperti satu pengajaran kepada umum, satu tanda bahawa kerajaan akan melakukan sesuatu,” kata Siu Yat-ming, seorang pakar isu perancangan keluarga China dari Universiti Baptist, Hong Kong.

“Mereka mula menyedari keadaan ini, semakin banyak agensi (ibu tumpang) membuat keuntungan seperti sebuah industri terancang,” kata Siu.

Rangkaian ibu tumpang haram ini membabitkan ejen, hospital dan doktor yang sejak beberapa tahun lalu memberi khidmat kepada pasangan China yang berhadapan dengan masalah kesuburan tetapi tidak mempunyai masalah kewangan untuk menyewa ibu tumpang bagi bayi mereka.

Ibu tumpang biasanya ditempatkan di lokasi rahsia seperti di rumah pangsa sepanjang tempoh kehamilan mereka untuk mengelak dikesan sementara prosedur rawatan kesuburan, pakar obstetrik dan kelahiran biasanya dijalankan secara rahsia oleh kakitangan perubatan di hospital atau klinik awam yang mempunyai kaitan dengan ejen terbabit.

“Di bawah undang-undang sivil China, ibu tumpang adalah dilarang. Ini menyebabkan perkhidmatan perantaraan (ibu tumpang) ini masih lagi dijalankan secara haram,” kata Zhang Minan, seorang profesor undang-undang di Universiti Sun Yat-sen, Guangzhou yang juga pakar dalam isu berkenaan.

“Tetapi walaupun kes ini sudah wujud mereka tidak mungkin dapat menjadikan ia secara umum atau secara sah. Anda tidak boleh menjadikan amalan ini secara sah,” katanya yang merujuk kepada peraturan perancangan kelahiran ketat China yang mengehadkan pasangan hanya memiliki seorang anak sejak lewat 1970-an.

China yang semakin terdedah dengan gaya kehidupan moden turut menyaksikan semakin meningkatnya kadar pasangan yang tidak subur iaitu hampir menyamai kadar yang dialami penduduk di Amerika Syarikat, kira-kira satu dalam enam pasangan.

Ini menyebabkan semakin banyak agensi ibu tumpang merekrut gadis yang biasanya dari luar bandar yang hidup dalam kemiskinan untuk menjadi ibu tumpang kepada bakal ibu bapa.

Walaupun jumlah sebenar tidak dapat dipastikan tetapi laporan terkini Southern Metropolis Weekly menganggarkan kira-kira 25,000 bayi hasil ibu tumpang, dilahirkan setakat ini di China, berdasarkan kajian terhadap laman web agensi yang menjalankan aktiviti berkenaan.

Beratus-ratus agensi ibu tumpang di China disenaraikan secara terbuka dalam enjin pencarian China seperti Baidu yang menawarkan perkhidmatan mereka kepada bakal pelanggan selain turut menyediakan halaman bual.

Bakal ibu tumpang biasanya direkrut secara terbuka dan dibayar antara 50,000 (RM26,000) hingga 100,000 yuan (RM52,000) bagi setiap kandungan menjadikan ia sebagai satu tarikan profesion kepada gadis-gadis miskin dari luar bandar di negara itu yang hanya mempunyai pendapatan isi rumah sekitar AS$600 (RM2,135) setahun.

Bilangan kelahiran ibu tumbang di China disifatkan masih lagi kecil berbanding keseluruhan kadar kelahiran di negara itu tetapi masa depan bagi industri ibu tumpang untuk diterima dengan lebih sah dan selamat masih sukar berikutan penguatkuasaan yang terlalu melampau.

Tidak hairan apabila ada pihak yang menyifatkan langkah pihak berkuasa China yang memaksa pengguguran itu sebagai perlu untuk menghalang negara terbabit menjadikan aktiviti menyewakan rahim sebagai sesuatu yang biasa.

Bagi mereka belum tiba masanya China untuk menurut jejak negara lain seperti India misalnya yang sudah mula menjadi tumpuan utama pasangan yang tidak subur atau gay untuk mendapatkan khidmat ibu tumpang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: