June 22, 2009

Jual beli bayi amalan biasa di Tajikistan

Posted in 1 at 12:15 pm by Ahmad Salafi


Wanita Tajikistan dibebani tugas menjaga anak apabila suami bekerja.

Peringkat awal hanya bayi luar nikah dijual, kini wanita biasa yang menghadapi masalah ekonomi turut berbuat demikian

MAHBUBA, 50, sudah mempunyai empat anak lelaki tetapi beliau teramat inginkan seorang anak perempuan.

Berikutan prosedur pengambilan anak angkat yang amat rumit di Tajikistan, beliau mengambil keputusan memilih jalan paling mudah – membeli bayi.

“Sebaik mendengar ada seorang wanita di hospital bersalin mahu menjual anak perempuannya yang baru lahir, saya segera ke sana,” kata Mahbuba dari Dushanbe, ibu negara Tajikistan.

“Wanita itu memberitahu dia sudah mempunyai lima anak dan tidak mampu menyara seorang lagi. Saya membayarnya AS$100 (RM350),” katanya.

Itu adalah langkah yang dilakukan Mahbuba 10 tahun lalu, tetapi perbuatan membeli atau menjual bayi masih menjadi perkara biasa di Tajikistan dan semuanya bermula sejak di wad hospital bersalin lagi.

Sesetengah ibu meninggalkan bayi mereka hanya beberapa hari selepas dilahirkan dan membiarkan nasib anaknya ditentukan kakitangan dan pentadbiran hospital.

Seorang jururawat muda Tajikistan menceritakan bagaimana beliau menyaksikan doktor membantu seorang wanita yang kematian bayi mendapatkan ‘ganti’ seorang lagi bayi dari sebuah hospital lain.

“Bagaimanapun, saya tidak pasti sama ada ia membabitkan wang. Mereka cuma mahu menolong,” katanya.

Namun di Tajikistan perbuatan itu walaupun bertujuan baik mungkin menyebabkan pelakunya dikenakan hukuman penjara lapan tahun.

Tahun lalu, 13 kes dilaporkan tetapi jumlah mereka yang terbabit dengan perdagangan bayi dipercayai lebih tinggi.

Di daerah Tursunzoda, 60 kilometer ke barat Dushanbe, dua jururawat berusia lewat 40-an dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan menjual seorang bayi lelaki dengan harga AS$200 (RM700). Mereka mungkin berdepan hukuman dua tahun penjara.

Kedua-dua jururawat itu sudah bekerja di hospital selama lebih 20 tahun.

“Kalaulah saya tahu, saya tentu tidak melakukannya. Saya memberi bayi itu makan dan menjaganya selama sebulan. Mereka memberi saya wang tetapi saya tidak meminta. Mereka masukkan juga ke dalam poket saya,” kata seorang daripada jururawat itu sambil mengesat air mata.

Ketua Jabatan Pencegahan Perdagangan Manusia, Kementerian Dalam Negeri Tajikistan, Azimjon Ibragimov, berkata masalah penjualan bayi dan kanak-kanak masih wujud di negara itu dan tidak ramai mengetahui implikasinya dari segi perundangan.

“Mereka yang membeli bayi biasanya adalah pasangan yang tidak mempunyai anak dan berikutan prosedur pengambilan anak angkat amat rumit, mereka mendapati lebih mudah untuk membeli bayi. Namun kebanyakan mereka tidak mengetahui kesan perbuatan mereka dari segi undang-undang,” katanya.

Malah, ibu yang mengetahui akibat kesalahan itu juga tidak mempunyai pilihan kecuali menyingkirkan bayi yang ‘tidak dikehendaki’ dengan menjualnya.

Banyak kes membabitkan ibu muda melahirkan anak luar nikah dan di Tajikistan yang konservatif, mempunyai anak luar nikah boleh menyebabkan keluarga malu besar.

Bayi luar nikah yang dilahirkan terpaksa diserahkan kepada orang lain, namun kini wanita biasa juga turut menjual bayi mereka.

Kebanyakan bapa di negara itu terpaksa bekerja di luar negara dan meninggalkan tanggungjawab menjaga anak kepada wanita.

“Masalah utama yang menyebabkan wanita menderita ialah suami meninggalkan mereka untuk bekerja di luar negara. Ada antaranya mengirim nafkah tetapi ada yang terus tidak mempedulikan anak dan isteri yang ditinggalkan,” kata Muhabbat Pirnazarova yang mengetuai sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

Menjual beli bayi adalah hakikat kehidupan di Tajikistan. Keadaan ekonomi negara itu menyebabkan sesetengah ibu tidak mempunyai pilihan.

Bagi pasangan yang tidak mempunyai anak, prosedur pengambilan anak angkat secara sah yang sukar menyebabkan mereka terpaksa melakukan apa saja untuk mendapatkan anak.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: