June 22, 2009

Khatan tak ganggu perkembangan fisiologi kanak-kanak

Posted in 1 at 3:40 pm by Ahmad Salafi


Khatan ke atas kanak-kanak perempuan biasanya ketika masih bayi atau pada peringkat usia kanak-kanak.

Bertujuan jaga kebersihan, lindungi diri daripada penyakit kelamin

WAJIBKAH kanak-kanak perempuan dikhitankan? Ramai ibu bapa hari ini memilih untuk tidak mengkhitankan anak perempuan mereka dengan alasan ia bukan perkara wajib dalam Islam, selain beranggapan boleh merosakkan fisiologi.

Apatah lagi, di sesetengah negara Islam berkhitan bagi kanak-kanak perempuan dilihat sebagai satu kekejaman.

Sebenarnya dari sudut perubatan, berkhitan tidak mencacat atau mengganggu perkembangan fisiologi kanak-kanak perempuan kerana apa yang dilakukan hanya melukakan sedikit bahagian klitoris.

Pegawai Perubatan, Hospital Pusrawi Sdn Bhd, Dr Fadzilah Mohamad, berkata luka yang sedikit di bahagian klitoris tidak menjejaskan fisiologi kanak-kanak terbabit, sebaliknya fisiologi mereka terjejas jika teknik khitan itu salah.

Beliau berkata, misalnya seperti di Sudan, seluruh klitoris, labia dan minora itu dipotong.

“Khitan ala Firaun (seperti yang diamalkan di Arab Saudi) pula dilakukan dalam keadaan paling radikal (infibulasi) seperti memotong seluruh klitoris, labia minora dan majora. Khitan yang paling kejam (introsisi) berlaku di kalangan suku kaum di Australia apabila pemotongan dilakukan sampai ke liang vagina,” katanya.

Di Malaysia, mengkhitan kanak-kanak perempuan terutama yang beragama Islam dibuat mengikut prinsip yang berlandaskan perubatan Islam.

“Ibnu Taimiyyah pernah ditanya “Apakah wanita itu dikhitankan atau tidak?” beliau menjawab “Ya, wanita itu dikhitankan dan khitannya adalah dengan memotong daging yang paling atas mirip dengan balung ayam jantan (daging di sebelah atas faraj – klitoris),” katanya.

Dr Fadzilah berkata, ada sebuah hadis daripada Anas bin Malik mengatakan bahawa Rasulullah SAW menegur Ummu ‘Athiah Radhiallahu ‘anha dengan bersabda, maksudnya, “Apabila engkau mengkhatan maka khatanlah (dengan memotong sebahagian al-bazhr) dan jangan engkau berlebih-lebihan (dalam memotong), kerana yang demikian itu menjernihkan air muka perempuan dan mendatangkan kesukaan kepada suami (boleh menambah kelazatan bersetubuh).” (Hadis riwayat ath-Thabrani).

Beliau berkata, khitan kanak-kanak perempuan hanya dilakukan doktor perempuan, iaitu dengan melukakan bahagian klitoris untuk mengeluarkan setitis darah.

Dr Fadzilah berkata, luka yang sedikit akan cepat sembuh dan tiada komplikasi penyakit.

“Apabila mengkhitankan kanak-kanak perempuan, ia tentu menyakitkan sebab pisau digunakan untuk memotong tempat paling sensitif, walaupun potongan hanya kecil dan tidak dalam. Namun, sakit yang dialami hanya seketika tapi pahala dan manfaatnya banyak sekali.

“Ramai juga kanak-kanak tidak menangis ketika berkhitan, mungkin berkat doa ibu bapa mereka,” katanya.

Jika kanak-kanak lelaki dikhatankan pada usia tujuh tahun ke atas, khitan ke atas kanak-kanak perempuan biasanya ketika masih bayi atau pada peringkat usia kanak-kanak. Malah, sunat dikhitankan anak pada hari ketujuh kelahirannya, andai tidak dapat pada hari ketujuh, sunat dikhitan pada hari ke-40.

“Kebanyakan kanak-kanak perempuan yang saya khitankan biasanya seawal usia dua hari sehingga kurang dari dua tahun. Pada pendapat saya, usia bayi (kurang setahun) adalah usia yang paling baik untuk dikhitankan kerana kulit yang nipis selain luka cepat sembuh.

“Kanak-kanak pada usia antara dua hingga empat tahun terlalu aktif dan memerlukan lebih pembantu untuk memegang mereka ketika berkhitan. Kanak-kanak yang lebih besar, iaitu hampir remaja tentu berasa malu dan ketika itu kulit agak tebal memerlukan potongan yang agak dalam untuk mengeluarkan setitis darah.

“Jadi, walaupun ia perlu dilukakan sedikit tetapi cukup menyakitkan. Kemudian, ubat akan diletakkan bagi membantu mengurangkan kesakitan,” katanya.

Dr Fadzilah berkata, kecenderungan ibu bapa hari ini untuk tidak mengkhitankan anak perempuan mereka mungkin kerana mereka kurang memahami konsepnya dalam Islam.

“Kita sedia maklum, tujuan berkhatan pada kanak-kanak lelaki untuk menghilangkan najis yang terdapat pada kulit penutup kepala zakar manakala kanak-kanak perempuan untuk menstabilkan syahwatnya,” katanya.

INFO: Khatan kanak-kanak

Dari sudut Islam

  • Luka yang kecil di bahagian klitoris yang sembuh dengan cepat sudah pasti tiada komplikasi penyakit dan banyak hikmahnya dari sudut agama.
  • Berkhitan adalah tuntutan fitrah dan satu syiar Islam
  • Sebagai menyempurnakan tuntutan syarak yang berasaskan kepada sunnah Nabi Ibrahim AS.
  • Untuk membezakan antara orang Islam dengan penganut agama lain. Namun, sekarang ini orang bukan Islam ada juga yang sudah mula berkhitan.
  • Sebagai suatu ikrar kesetiaan penghambaan terhadap Allah SAW dengan patuh segala perintah-Nya dan tunduk di bawah hukum dan kekuasaan-Nya.

    Dari sudut kesihatan

  • Untuk membersihkan kemaluan, memperelokkan, mencantikkan bentuknya dan menambahkan kelazatan ketika hubungan kelamin.
  • Mengawasi kesihatan tenaga batin serta memelihara diri daripada mengalami penyakit kelamin, kanser dan lain-lain penyakit.
  • Advertisements

    Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: