June 22, 2009

Legenda Danau Kubang

Posted in 1 at 11:54 am by Ahmad Salafi


SUNGAI yang dikatakan menjadi laluan persinggahan Hang Tuah dan Tun Teja.

Hang Tuah dipercayai memberi sirih penawar kepada Tun Teja supaya melupakannya demi Sultan Melaka

KIRA-KIRA 400 tahun dulu, ketika zaman kegemilangan kesultanan Melayu Melaka, hulubalang tersohor, Laksamana Hang Tuah memang diakui antara rakyat yang cukup taat setia kepada Sultan, sanggup melakukan apa saja kerana berpegang kepada prinsip iaitu tidak sesekali menderhaka.

Satu daripada tugasan yang berjaya dilaksanakan Hang Tuah ialah membawa pulang Tun Teja dari Pahang untuk diserahkan kepada Sultan Melaka.
Misi besar itu sebenarnya lebih kepada sifat perasaan kasih sayang, cinta antara Tun Teja dan Hang Tuah, jauh berbeza daripada tugasan sebelum ini mempertahankan negara serta banyak terbabit dengan peperangan melawan lanun dan penceroboh.

Menyingkap sejarah ringkas perjalanan Hang Tuah ke Pahang suatu ketika dulu, rombongan Melaka itu berperahu menyusuri sungai Muar menuju ke Pahang kerana sungai itulah yang menghubungkan Pahang dengan Negeri Sembilan.

Sungai Muar yang berakhir di Ulu Bendol akan bertembung dengan Sungai Serting yang menghala ke arah Sungai Pahang tetapi mesti melalui satu kawasan yang dinamakan penarikan, iaitu tempat menarik perahu.

POKOK sirih ditanam sebagai simbolik hubungan Hang Tuah dan Tun Teja yang berjaya dipisahkan.

Tempat penarikan itu terletak di persimpangan Sungai Jempol, lokasi paling hampir dengan Sungai Pahang. Itu cerita ringkasnya, tetapi yang ditekankan di sini ialah tempat persinggahan Hang Tuah ketika dalam perjalanan pulang ke Melaka.

Selepas berjaya membawa Tun Teja keluar dari Pahang, rombongan Hang Tuah pernah singgah bermalam di satu kawasan iaitu Danau Kubang, terletak kira-kira tiga kilometer dari pekan Gemas, Negeri Sembilan.

Di situlah Hang Tuah dikatakan memetik daun sirih untuk diberi makan kepada Tun Teja supaya melupakan perasaan sayangnya kepada hulubalang Melaka itu, sebaliknya bersedia untuk dibawa ke istana Sultan Melaka.

Tempat perkhemahan rombongan Hang Tuah di tebing sungai di Danau Kubang itu, kini dijadikan tapak perkhemahan pengakap sekolah berdekatan sejak 10 tahun lalu.

KAWASAN perkhemahan Taman Rekreasi Danau Kubang, Negeri Sembilan.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kebajikan (JKKK) Kampung Londah, Abdul Shukor Bachik, 65, mendakwa berdasarkan cerita lisan turun temurun penduduk di situ, kawasan tebing sungai Muar itu memang banyak pokok sirih.

“Hang Tuah memberikan sirih ‘penawar hati’ kepada Tun Teja supaya kasih sayangnya pada hulubalang Melaka itu berkurang. Memang tujuan asal misi Hang Tuah ke Pahang ialah mempersembahkan Tun Teja kepada Sultan.

“Cerita lisan mengatakan, ketika bertemu Tun Teja di Pahang, Hang Tuah memberikan ‘sirih pengasih’ kepada Tun Teja dan berjaya memujuk puteri itu mengikutnya ke Melaka. Di sinilah (Danau Kubang), kasih Tun Teja berubah selepas memakan sirih penawar.

“Daun sirih ini banyak gunanya. Orang dulu menggunakan sirih sebagai tangkal, pembuka kata untuk majlis rasmi, sirih pengasih dan sirih penawar,” katanya.

Sebagai memperingati tempat bersejarah itu, penduduk setempat dengan kerjasama Pejabat Daerah Gemas menjadikan kawasan itu sebagai tapak perkhemahan aktiviti kokurikulum sekolah terutama pengakap.

Selain itu, mereka turut menanam pokok sirih sebagai simbolik peristiwa berkenaan yang mengaitkan pemberian sirih kepada Tun Teja.

Tidak jauh dari kawasan itu, pernah wujud satu kampung berhampiran Kuala Merencheh yang terletak berhampiran kawasan pertemuan Sungai Muar dan Sungai Merencheh.

Abdul Shukor berkata, penduduk kampung di situ berpindah ke kawasan pekan selepas diserang komunis yang bertindak kejam terhadap penduduk kampung yang enggan memberikan kerjasama kepada pergerakan mereka.

“Komunis pernah membakar sebuah rumah termasuk tiga beranak di dalamnya kerana mereka enggan memberikan bekalan makanan. Ahli keluarga dan penduduk yang hidup melarikan diri ke pekan. Tapak rumah itu serta pokok tanaman seperti manggis masih ada di situ,” katanya.

Penolong Pegawai Daerah Gemas, Mohd Khairul Zami Khairuddin, berkata kawasan tapak perkhemahan Danau Kubang itu dilengkapi pelbagai kemudahan bertujuan menggalakkan lebih ramai generasi muda mengadakan aktiviti berfaedah di kawasan berkenaan.

Selain berkhemah, antara aktiviti lain yang sering diadakan di situ ialah berkayak, berakit, memancing dan menangkap ikan menggunakan tangan atau popular sebagai ‘mengocah’ di kalangan penduduk.

Pada masa sama, peserta program juga ditekankan mengenai maklumat bersejarah di situ bertujuan menyedarkan bahawa kawasan itu pernah menjadi laluan penting melalui jalan air suatu ketika dulu serta kepentingan memelihara alam semula jadi.

Info

Asal Danau Kubang

  • Danau ialah lubuk
  • Kubang ialah tempat rusa berkubang
  • Londah ialah istilah setempat merujuk kepada laluan kumpulan gajah.
  • Kawasan itu adalah laluan utama kumpulan gajah dari Johor menuju ke Pahang.
  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: