June 22, 2009
Melecur perlu rawatan segera
Mangsa terbakar perlu dibawa segera ke hospital elak komplikasi.
Cedera terbakar antara punca utama kematian dan ketidakupayaan anggota yang serius di Malaysia
RAMAI antara kita kurang menitikberatkan kesan terbakar atau melecur biarpun pada hakikatnya ia boleh menyebabkan seseorang itu menderita sepanjang hayat, terutama jika berlaku pada bahagian muka.
Berikutan itu, tiada istilah kebakaran kecil dalam usaha mengubati mangsa kebakaran kerana tanpa rawatan segera dan betul kesan kebakaran itu, sebaliknya ia boleh memudaratkan.
Tidak dinafikan, teknologi perubatan hari ini memungkinkan mangsa mendapatkan kembali bentuk asal anggota badan yang terbakar. Namun, jika proses pemulihan awal sejurus selepas terbakar tidak dibuat dengan betul, ia hanya menyukarkan petugas perubatan merawati pesakit.
Di Malaysia, walaupun tiada data terkini mengenai kebakaran, secara umumnya, cedera akibat terbakar adalah antara punca utama kematian dan ketidakupayaan anggota yang serius.
Pakar Bedah Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Tan Hock Lim, berkata tiada satu pun kes kebakaran boleh disifatkan sebagai kes kebakaran kecil kerana jika mangsa itu perempuan kebakaran di muka akan meninggalkan parut sepanjang hayat.
Kulit melepuh akibat terbakar. |
“Impak kebakaran kepada masyarakat adalah kesan sepanjang hayat,” katanya.
Justeru, mengurus mangsa kebakaran harus dibuat sebaik mungkin. Tanpa pengurusan yang baik, tisu yang tercedera boleh melekat sesama yang akan menyebabkan sukar dipisahkan. Trauma yang begini menyukarkan petugas perubatan menjalankan proses pemulihan.
Secara umum, kebakaran pada anggota badan boleh disebabkan kepanasan kering (api) kepanasan basah (seperti stim atau cecair panas), radiasi, cahaya matahari, elektrik dan bahan kimia. Kebakaran pada salur pernafasan pula boleh disebabkan dengan menyedut udara panas, stim atau pada kanak-kanak ada kalanya disebabkan penderaan.
Jika pembedahan diperlukan, ada dua jenis pembedahan yang boleh membantu menggantikan tisu yang hilang atau menutup parut. Dermabrasion (bagi memperbaiki atau meminimumkan parut, mengembalikan fungsi), manakala skin graft – memindahkan kulit baru ke bahagian terbakar.
Presiden Pertubuhan Kebakaran Australia New Zealand (ANZBA), Prof Peter K M Maitz pula menyifatkan kesan akibat kebakaran adalah masalah sejagat kerana berlaku hampir di merata dunia.
Beliau turut merujuk masalah itu kepada Australia yang mana kebakaran di negara itu berlaku hampir setiap tahun.
Bagi kes kebakaran besar, kebanyakan pesakit meninggal dunia atau berhadapan dengan komplikasi serius ketika waktu kritikal. Ini disebabkan setiap kali pesakit dihantar ke hospital mereka kurang stabil dan usaha pemulihan awal sebaik terbakar agak kurang.
Keadaan sedemikian, katanya, disifatkan masalah yang serius di Australia. Berdasarkan pengalaman di negara itu kerana bentuk muka buminya yang besar, amat jarang bagi mangsa kebakaran menerima rawatan dalam tempoh 12 jam terbakar. Jika terlalu lewat dibawa ke hospital, proses rawatan dan memulihkan anggota yang melecur itu juga sukar.
Mengenal gejala kebakaran
1) Melepuh
2) Rasa sakit (tahap kesakitan itu tidak berkaitan dengan tahap kebakaran dialami kerana ada kebakaran yang serius, sebaliknya mungkin menyebabkan kurang berasa sakit
3) Kulit tertanggal
4) Kulit kemerahan
5) Bengkak.
Gejala kebakaran pada laluan pernafasan
1) Bibir terbakar
2) Kepala, muka atau leher yang terbakar
3) Bernafas tercungap-cungap
4) Suara bertukar
5) Sukar bernafas
6) Keluar lendir gelap berkarbon.
Sumber : Medicalplus.com
TIP: Kendali kesan kebakaran
Leave a Reply