June 22, 2009

Menanti penderma jantung

Posted in 1 at 3:51 pm by Ahmad Salafi


Chen (kiri) dan Tan memeriksa mesin jantung tiruan mereka.

Chen bergantung kepada jantung mekanikal sejak 145 hari lalu dan Tan selama 29 hari untuk teruskan hidup

MUHAMMAD Fikri Nor Azmi, Teh Hui Yee, Chen Winnie dan Tan Geek Koon, berbeza usia dan asal, bagaimanapun mereka mempunyai satu persamaan iaitu memerlukan jantung baru.

Bezanya, Mohd Fikri dan Teh Hui Yee sudah menerima jantung baru manakala Chen Winnie, 23, dan Tan Geek Koon, 40, masih menaruh harapan ada warga Malaysia yang prihatin dengan nasib mereka. Chen bergantung kepada jantung mekanikal sejak 145 hari lalu dan Tan pula selama 29 hari lalu.

Pengarah Klinikal, Program Transplan Jantung dan Paru-Paru Institut Jantung Negara (IJN), Dr Mohamed Ezani Md Taib, berkata dengan tahap kesihatan Chen dan Tan yang semakin merosot, kedua-duanya diletakkan dalam senarai teratas penerima jantung di IJN.

“Jantung mekanikal mereka hanya boleh bertahan dua tahun saja. Kalau Fikri perlu menunggu enam bulan, Hui Yee selama setahun sehari, besar harapan saya Chen dan Tan juga memperoleh jantung baru daripada penderma dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Jantung mekanikal atau peranti bantuan ventrikular (Ventricular assist device – VAD) hanya boleh bertahan selama dua tahun. Malah, ada kalanya, ketahanan VAD lebih tinggi berbanding pesakit itu sendiri.

Hui Yee (kiri) menunjukan kepada Chen dan Tan album lagu rakamannya setelah sihat.

Ia bukan menggantikan jantung, sebaliknya berfungsi dengan jantung sebenar pesakit bagi mengepam darah ke seluruh badan. Ia terdiri daripada pam, sistem kawalan dan bekalan tenaga. Ada jantung mekanikal yang bergantung pada bateri untuk bekalan tenaga dan ada yang menggunakan sistem tekanan udara (pneumatic). Bekalan tenaga dan sistem kawalan terletak di luar badan manakala pam ada di dalam atau di luar badan.

Ada jantung mekanikal digunakan untuk masa singkat seperti di kalangan pesakit yang pulih daripada serangan jantung atau pembedahan jantung. Bagi kes Chen dan Tan, mereka menggunakan jantung mekanikal untuk satu tempoh yang lama (sehingga bertemu penderma jantung yang sesuai) berikutan masalah kegagalan jantung yang kongestif.

Sistem jantung mekanikal direka sama ada membantu ventrikal kiri (LVAD) atau ventrikal kanan (RVAD) atau kedua-duanya sekali (BiVAD). Pilihannya bergantung kepada keadaan pesakit. LVAD biasanya digunakan apabila penolakan arterial pulmonari tinggi dan pada masa sama bantuan ventrikal kanan menjadi sangat penting.

Jantung mekanikal jangka panjang digunakan untuk memastikan pesakit terus menikmati hidup berkualiti sementara menanti pemindahan jantung (bridge to transplant).

Dalam sistem jantung mekanikal, aliran darah dari ventrikular akan ke pam. LVAD akan membantu menerima darah dari ventrikular kiri dan menghantarnya ke aorta – arteri besar yang membawa darah daripada jantung ke seluruh badan. RVAD menerima darah dari ventrikular kanan dan menghantar ke arteri pulmanori – arteri yang membawa darah dari jantung ke paru-paru.

Bagaimanapun, sekali lagi diingatkan ia hanya bertahan dua tahun saja. Beratnya 10 kilogram dan perlu dibawa ke mana saja. Pesakit yang menggunakan jantung mekanikal sukar mandi dan biasanya mereka mengambil masa yang panjang untuk berbuat demikian. Air hanya boleh dijirus pada bahagian pinggang ke bawah, bahagian atas pula hanya dilap kerana jantung mekanikal ada arus elektrik.

Kisah satu: Chen Winnie

“Saya seperti tidak percaya benda yang berdegup dalam dada saya adalah jantung mekanikal. Ia kini sebahagian daripada diri saya sekarang. Saya membawanya ke mana saja. Tanpanya, saya tak tahu, mungkin jantung saya berhenti berfungsi secara tiba-tiba. Saya harap, penderitaan ini akan berakhir dan saya menerima jantung baru,” katanya.

Chen didiagnos dengan dilated cardiomayopathy (keadaan serius yang melemahkan otot jantung, tidak boleh mengepam darah dengan sempurna) pada Februari lalu.

Ketika diberitahu mengenai penyakitnya, Chen sangat negatif. Dia menyalahkan Tuhan dan tidak berhenti menangis. Bagaimanapun, selepas mengetahui kisah Hui Yee, Chen mula reda dengan penyakitnya.

Kisah Chen bermula setahun lalu apabila dia dikesan dengan masalah injap jantung ketika rutin pemeriksaan jantung di Hospital Ipoh (HI). Dia dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) kemudian didiagnos dengan masalah kegagalan fungsi jantung peringkat akhir.

“Saya menangis ketika doktor beritahu, saya memerlukan pemindahan jantung. Ironinya sebelum ini saya juga sudah mendaftar sebagai penderma organ,” katanya.

Chen menyifatkan jantung mekanikal adalah peluang keduanya untuk hidup namun peluang itu bersifat sementara dan sangat berharap pada jantung baru.

“Sekali anda menolong orang lain, mungkin satu hari nanti, anak saya atau cucu saya akan menolong anda pula,” katanya.

Kisah dua: Tan Geek Koon

BAYINYA baru berusia tiga bulan. Bagaimanapun, hati Tan sebak mengingatkan anak keempatnya itu kerana tidak boleh membelainya seperti ibu lain kerana dia terpaksa dipindahkan ke IJN. Tan didiagnos dengan postpartum cardiomyopathy atau masalah lemah jantung ketika dalam pantang.

Masalah Tan bermula apabila dia sukar untuk bernafas apabila berbaring. Justeru, Tan hanya boleh lena jika dia duduk. Kemudian, doktor mengesahkan dia mengalami kegagalan fungsi jantung tahap serius yang hanya boleh sembuh melalui pemindahan organ.

Tan berkata, tiada yang lain diinginkan Tan sempena Tahun Baru ini melainkan jantung baru bagi meneruskan kehidupan.

“Saya mahu melihat anak-anak membesar di hadapan mata dan menjalankan tugas sebagai ibu,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: