June 22, 2009

Mengenali oksidentalisme Melayu

Posted in 1 at 3:59 pm by Ahmad Salafi

Sejarah intelektual kaji imej Eropah, Barat di alam Nusantara

PADA 2003, dalam usaha memperkenalkan wacana oksidentalisme (kajian mengenai kebaratan) di Malaysia, saya menyebut Prof Syed Hussein Alatas sebagai seorang oksidentalis yang terbilang. Seterusnya, dalam beberapa penulisan saya, istilah ‘oksidental’ dan ‘oksidentalis’ digunakan tanpa ragu-ragu. Lantas saya diingatkan supaya berhati-hati dalam kegunaan kedua-dua istilah itu kerana ada beberapa konotasi yang tidak disenangi oleh cendekiawan dan beberapa rakan di universiti.

Saya ditegur oleh beberapa cendekiawan dan akademik bahawa istilah dan maksud ‘oksidentalis’ dan ‘oksidentalisme’ kurang sesuai digunakan dalam konteks masyarakat Melayu. Jika kita melabelkan seseorang seperti Syed Hussein Alatas itu ‘oksidentalis’, maka nilainya sama juga dengan seorang ‘orientalis’ � begitulah isyarat mereka kepada saya.

Jadi, apakah masalah dengan istilah dan maksud ‘oksidentalisme’? Itulah persoalan yang berlegar dalam akal budi saya. Tetapi apa yang penting ialah kita mencetuskan perspektif bukan Barat terhadap wilayah dan tamadun oksiden, sejarah dunia dan sejarah negara dan alam Melayu. Gugusan ilmu mengenai alam bukan Barat umumnya diterbitkan di Eropah � diacuankan sebagai sejarah, geografi, manusia dan masyarakat, kepercayaan dan agama dan bahasa. Gugusan dan wacana yang lahir dari sudut dan gugusan ilmu yang dibentuk itu digelar sebagai orientalisme dan mereka yang mengkaji fenomena yang membentuk imaginasi Eropah mengenai dirinya sendiri dan diri manusia yang bukan berkulit putih dengan segala konotasi yang ada, digelar sebagai orientalis.

Di Malaysia, apabila disebut istilah yang berlawanan dengannya, maka ada suatu kebimbangan intelektual dan emosi. Akan tetapi, kedua-dua gagasan perspektif itu adalah kembar kepada satu wacana yang sama yang melihat ilmu dan dunia secara bertentangan. Bagaimanapun oksidentalisme, sebagai satu konsep dan amalan intelektual dan gaya pemikiran, tidak akan sama dengan orientalisme � misalnya, konteks sejarah dan pengalaman Eropah dan alam Melayu adalah berbeza.

Buku yang memperkenalkan sarjana, pemikir dan aktivis Palestin, yang juga seorang profesor dalam Kesusasteraan Perbandingan di University of Columbia, Edward W Said, dan mempolemik satu idea besar, terbitan 1977 Orientalism, boleh juga diberi tajuk Occidentalism Di kalangan negara Asia, Jepun, Iran dan Turki sudah lama dikenali sebagai negara yang mengkaji, dan membentuk ilmu dan imej terhadap Barat.

Kritikan cendekiawan dan pemimpin pendapat yang dikatakan sebagai anti-Barat menarik perhatian dunia. Oksidentalisme adalah satu pergerakan intelektual dan politik di kalangan elit Jepun, Turki dan Iran. Ini terserlah, misalnya melalui gabungan gagasan perhubungan Jepun dan Turki dari kira-kira 1900 hingga Perang Dunia Kedua. Kedua-duanya, Turki dan Jepun, bermula lewat abad ke-19, mencabar dan menafikan kerangka orientalisme yang meletakkan negara Asia pada tahap yang tidak seimbang dengan tamadun Eropah. Masyarakat bukan Eropah misalnya dianggap sebagai mundur, statik dan tidak mempunyai sejarah. Kita juga perlu ingat bahawa pembabitan Jepun dalam Perang Dunia Kedua dan penaklukan Jepun ke atas Malaya adalah untuk mengikis sisa oksiden (tamadun orang putih) yang pernah wujud di bumi Asia (termasuk Tanah Melayu).

Gerakan di Jepun yang mencetuskan kebencian dasar Jepun ke atas Barat ialah Mazhab Falsafah Kyoto (Kyoto School of Philosophy) � yang sebenarnya terdiri daripada cendekiawan dan pemikir yang menganggap diri mereka sebagai ‘murid setia’ kepada tamadun Eropah. Lamunan cinta mereka kepada Eropah akhirnya bertukar kepada kebencian.

Tetapi itu bukan ungkapan oksidentalisme daripada kalangan cendekiawan di Malaysia dan kita juga hendaklah menangkis mana-mana usaha yang berbuat demikian atas nama oksidentalisme, seperti yang disarankan oleh Ian Buruma dan Avishai Margalit dalam buku Occidentalisme: The West in the Eyes of its Enemies (Penguin Press: 2004).

Hujah Buruma dan Margalit itu amat berpengaruh. Takrif mereka memberi kesan kepada golongan cendekiawan Malaysia sehinggakan istilah ‘oksidentalisme’ itu difahami dan diterima dengan nada yang amat apologetik sekali. Jika ini terus berlaku, ia akan hanya merugikan usaha mencetuskan dan mencipta ilmu, perspektif, kefahaman dan tafsiran kita terhadap Eropah, wilayah Oksiden, serta identiti dan sejarah negara kita sendiri.

Lihat saja pergelutan intelektual dan emosi di sebalik penggunaan istilah ‘pendatang,’ serta penonjolan pelbagai kaum dan golongan yang amat terserlah dalam pelbagai naratif sejarah Malaysia sejak dua dekad kebelakangan ini. Wacana orientalisme/oksidentalisme banyak merangka permasalahan sejarah dan persejarahan serta identiti kita.

Jika usaha kita dalam mengkaji, memahami dan mentafsir Eropah dan Barat itu terbantut akibat daripada sikap apologetik dan apa yang disebut oleh Syed Hussein sebagai fikiran tertawan, bagaimanakah dapat kita memahami masyarakat sendiri dan menangani isu sejarah dan persejarahan alam Melayu dan negara bangsa?

Apakah kita perlu menunggu karya Leonard Andaya, Leaves of the Same Tree (University of Hawaii Press, 2008) atau The Malays oleh Anthony Milner (Blackwell, 2008) bagi menceritakan mengenai diri kita dari dalam luar dan dari luar dalam?

Walaupun korpus atau gugusan ilmu yang dapat dikenal pasti sebagai okdsidentalisme Melayu belum menyerlah, wacananya dalam pelbagai bentuk boleh dikenal pasti dan istilah ‘orang putih’ misalnya adalah tanda sosial dan budaya yang merujuk kepada identiti Eropah dan Melayu.

Dalam sejarah intelektual Melayu sejak 200 tahun kebelakangan ini, ada beberapa bentuk oksidentalisme Melayu, yakni, bagaimana orang Melayu mengenal pasti, mengkaji, dan membentuk imej dan ilmu mengenai Eropah dan Barat, dan seterusnya membentuk satu gugusan wacana.

Berbeza takrif dan konsep yang dibawa oleh Buruma dan Margalit, seseorang oksidentalis ialah sesiapa saja yang mengkaji, membicara dan membentuk imej, perspektif dan ilmu mengenai Eropah dan Barat, yakni wilayah oksiden, lalu mencetus kesedaran terhadap Barat melalui naratif dan wacana. Kefahaman ini penting dalam kita mengenali diri dalam pertembungan dengan Barat.

Kita dapat lihat beberapa bentuk Oksidentalisme Melayu, misalnya melalui beberapa karya (bukan fiksyen) oleh Abdullah Munsyi dan Tun Dr Mahathir Mohamad, serta penulisan Syed Sheikh al-Hadi dalam al-Imam (1906-1908).

Saya khuatir bahawa pemikiran besar Syed Hussein yang merentasi ruang dan zaman, tidak diberi perhatian dan apresiasi yang sewajarnya. Malah, Syed Hussein, dalam banyak hal, mendahului mendiang sarjana Palestin, Edward W Said. Beliau menggariskan kerangka pemikiran dan kaedah bagi kajian oksidentalisme lalu membolehkan kita memahami Barat dan mencabar kesarjanaan yang tersedia wujud.

Namun, tradisi intelektual beliau dipinggirkan. Karya beliau tidak diterbitkan semula oleh penerbitan tempatan. Apabila beliau mula menulis pada awal 1950-an, beliau menulis kepada masyarakat khalayak sains sosial Tanah Melayu/Malaysia yang belum lagi wujud. Beliau menerokai tradisi kritikan dan analisis mengenai budaya dan pemikiran Melayu, dan berupaya melihat sejarah Eropah dan dunia dari sudut alam Melayu

Buku Orientalism (1978) oleh Edward W Said menjadi terkenal, selain daripada kandungan dan hujahnya juga kerana bagaimana buku itu diterbitkan, dipasarkan, diiklankan, dijual, diedarkan, diulas, dinilai, dan dibaca berkali-kali. Universiti di Eropah dan Amerika Utara menggunakan Orientalism dan beberapa lagi buku beliau termasuk Culture and Imperialism (1993). Buku beliau masih popular dan ada di kedai buku di Malaysia.

Ini bukan halnya dengan buku oleh Syed Hussein. Beberapa karyanya termasuk The Myth of the Lazy Native (1977) dan Intellectuals in Developing Societies (1977) dan Thomas Stamford Raffles: Schemer or Reformer? (1972) sudah tidak lagi dibaca, didebat dan diulas walaupun oleh segelintir sarjana pasca kolonial di Malaysia. Karya beliau sudah tidak diterbitkan lagi oleh penerbit tempatan dan tidak didapati di kedai buku, kecuali buku The Myth yang diterbitkan semula oleh Routledge beberapa tahun lalu. Ia juga diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan tajuk Mitos Pribumi Malas.

Selain beberapa inisiatif dalam bentuk kajian dan organisasi dalam universiti ke arah memperluaskan wacana oksidentalisme, juga perlu diasaskan kursi sempena Syed Hussein Alatas bagi meneruskan keaslian falsafah di sebalik kajian sains sosial di Malaysia. Perspektif oksidentalisme dapat mencetuskan tradisi ilmu yang baru lalu boleh membantu kita menangani ruang-ruang kekusutan dalam sejarah dan politik negara.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: