June 22, 2009

Persoalan Agama: Taubat nasuha bersihkan dosa, solat ditinggal wajib qada

Posted in 1 at 11:43 am by Ahmad Salafi

SAYA seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun dan bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. Sebelum menduduki SPM, saya nak selesaikan beberapa perkara kerana bimbang perbuatan saya boleh mempengaruhi keputusan saya kelak. Saya sudah lama tidak menunaikan solat wajib sejak berumur 9 tahun lagi dan sering berbohong kepada ibu bapa jika mereka bertanyakan saya sudah solat atau belum. Saya ingin kembali ke pangkal jalan tapi apakah saya perlu qada’ solat wajib yang sudah lama saya tinggalkan selama ini? Masalah kedua ialah; sebelum ini saya banyak mencuri barang di kedai runcit. Apa yang harus saya lakukan bagi menebus kesilapan saya? Perlukah saya membayarnya secara senyap-senyap seperti cara saya mengambil barang mereka.

Mahu bertaubat,
Selangor

TAHNIAH atas kesedaran yang timbul dalam diri. Rasulullah memberitahu kita bahawa seseorang yang bertaubat daripada dosanya seolah-olah seorang yang tidak ada dosa sama sekali (Riwayat Ibn Majah no 4391 )

Allah berfirman dalam surah al-Zumar ayat 53 bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-Ku yang sudah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia juga Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Cuma Islam meletakkan syarat yang tertentu bagi seseorang yang telah melakukan dosa bagi membaiki dirinya. Sekiranya dia benar dalam niatnya, maka di situlah ditetapkan syarat bagi memastikan ketulenan pengakuannya. al-Imam al-Ghazali pula membandingkan pelaku dosa itu diumpamakan oleh seperti orang yang sakit. Maka sudah tentulah dia perlu menjalani rawatan yang tertentu untuk menjaga dirinya agar tidak ditimpa penyakit itu lagi.

Rawatan komprehensif ini dikenali sebagai taubat nasuha yang bermula dengan penyesalan terhadap dosa, meninggalkan dosa itu dan berazam untuk tidak melakukannya lagi. Jika ia berkaitan dengan hak manusia maka dia hendaklah mengembalikan hak orang itu semula. Sebagai contohnya dalam kes saudari, pernah berlaku pencurian hak milik orang lain, maka saudari hendaklah mengembalikan harta miliknya sedapat mungkin.

Bagaimanapun kalangan ulama Islam, contohnya al-Samarqandi dalam tafsirnya terhadap ayat di atas menjelaskan, jika pengembalian hak kepada pemilik asal akan mengakibatkan suatu mudarat yang baru, maka dia hendaklah mendiamkan dirinya tanpa memberitahu pemilik asal. Apa yang perlu dia lakukan adalah dia hendaklah melakukan kebaikan-kebaikan seperti sedekah lalu niatkan pahalanya untuk pemilik asal. Saudari juga hendaklah memperbanyakkan solat sunat, zikrullah dan hendaklah saudari mendoakan untuknya agar mendapat keampunan Allah, keberkatan rezeki dan sebagainya.

Jadi dalam konteks pengalaman saudari saya menasihati agar saudari bertaubat kepada Allah SWT dan jangan beritahu kepada ayah ibu dosa yang lalu. Manakala dalam kes kecurian itu saya mencadangkan agar saudari mengembalikan haknya secara senyap-senyap. Tetapi jika akan membawa saudari kepada komplikasi yang tidak disangka, memadailah saudari mengikuti cadangan al-Samarqandi di atas.

Berbuat baik menerusi pelbagai jenisnya disifatkan Allah dalam ayat ke 114 surah Hud: “Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.

Berkaitan dengan pengabaian solat pula, saya menasihatkan saudari agar menghitung jumlah solat yang ditinggalkan. Kemudian cubalah qada sedikit demi sedikit. Contohnya saudari hendaklah sekali lagi solat selepas Zuhur. Solat Zuhur yang dikerjakan dengan niat ia adalah untuk solat Zuhur yang pernah ditinggalkan. Cubalah saudari lakukan dengan penambahan sedikit demi sedikit dan jika berpeluang bolehlah dikerjakan lebih dari itu.

Saudari harus ingat Nabi pernah bersabda yang bermaksud: Dan hutang terhadap Allah lebih perlu diutamakan berbanding dengan hutang manusia. (Riwayat al-Tabarani dalam al-Mukjam al-Kabir no 12195, al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra no 8012 )

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: