June 22, 2009

Sengal berpanjangan sindrom kemurungan

Posted in 1 at 1:07 pm by Ahmad Salafi

82 peratus pesakit tidak dapat rawatan sepatutnya

KEMURUNGAN adalah penyakit zaman moden dan ia dialami di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan ada kira-kira 121 juta penduduk dunia yang mengalami kemurungan. Malah, kemurungan sebenarnya penyakit keempat di dunia yang paling berpotensi menyebabkan ketidakupayaan individu.

Kemurungan ada kalanya tidak membawa petanda simptom tipikal seperti mengasingkan diri, hilang selera makan atau gangguan tidur. Sebaliknya, ada juga yang mengalami masalah sengal pada tubuh yang berpanjangan. Ada juga yang mengalami kesakitan yang tidak dapat dijelaskan.

Namun, hanya 10 peratus daripada mereka mendapat rawatan sempurna. Selebihnya, terus mengalami kemurungan disebabkan diagnosis yang tidak tepat. Lebih teruk, bukan saja pesakit, malah ada juga doktor yang tidak menyedari kesakitan yang dialami ada kaitan dengan kemurungan.

Presiden Persekutuan Psikiatri dan Kesihatan Mental Asean, (AFPMH), Prof Dr Mohamad Hussain Habil, berkata kesakitan yang berhubung kait dengan kemurungan tetapi tidak didiagnosis dengan tepat menyebabkan penderitaan berpanjangan pada pesakit. Malah kos perubatan meningkat kerana

pesakit terpaksa mendapatkan rawatan daripada seorang doktor kepada seorang doktor tanpa mengetahui dan mengatasi punca sebenar masalah itu.

“Kualiti hidup pesakit semakin merosot dan perasaan ingin membunuh diri kerap terlintas dalam ingatan,” katanya.

Prof Hussain berkata, penyelidikan mendapati 82 peratus daripada pesakit kemurungan tidak mendapat rawatan yang sepatutnya daripada doktor, sementara 18 peratus menerima ubat antikemurungan. Daripada jumlah ini, hanya 10 peratus dirawat dengan sempurna.

Menjelang 2020, kemurungan dijangka menjadi penyakit kedua yang menyebabkan ketidakupayaan manusia. Kajian ‘The Malaysian Burden of Disease and Injury’ (2000) melaporkan kemurungan akan muncul sebagai penyebab utama ketidakupayaan di kalangan wanita Malaysia, dengan kira-kira 12.7 peratus.

Kemurungan juga tidak mengenal mangsa. Sesiapa saja boleh mengalami kemurungan, tidak kira usia, jantina atau bangsa. Kanak-kanak berusia lima tahun juga boleh mengalami kemurungan tetapi simptom mereka berbeza daripada orang dewasa.

Bagaimanapun, mengikut kajian, kejadian kemurungan di kalangan wanita adalah lebih tinggi daripada lelaki dengan nisbah 2:1.

Pengerusi Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Yen Teck Hoe, berkata satu daripada sebab wanita lebih kerap berdepan dengan kemurungan ialah perubahan peringkat hormon yang dialami.

Ia menjelaskan kenapa kemurungan berlaku ketika wanita datang bulan, hamil, selepas bersalin dan putus haid. Biasanya wanita akan menunjukkan tanda kemurungan seperti putus asa dan rasa tidak berupaya sementara lelaki bersikap berang atau cepat marah.

Dr Yen menjelaskan, penyelidikan mendapati kemurungan disebabkan oleh ketidakseimbangan dua bahan kimia dalam otak dan badan iaitu serotonin dan noradrenalin. Walau bagaimanapun, penyakit kemurungan boleh diwarisi.

“Sekiranya ada sejarah kemurungan dalam keluarga, anda mungkin akan mendapat kemurungan. Ia juga dicetuskan oleh tekanan daripada masalah kehidupan, misalnya perceraian, kematian orang tersayang, kehilangan pekerjaan dan masalah kewangan. Penyakit serius, kronik atau pembedahan boleh mencetuskan kemurungan. Ada kalanya punca kemurungan tidak diketahui puncanya,” katanya.

Kemurungan juga sering berlaku di kalangan pesakit kronik misalnya barah, masalah jantung, angin ahmar atau Parkinson. Malah di kalangan segelintir pesakit, kemurungan memburukkan lagi masalah kesihatan.

Walaupun kemurungan diketahui sejak dulu lagi dan diterima sebagai penyakit zaman moden, cabaran sebenar dalam mengenai pasti kesakitan dan kemurungan ialah mengatasi stigma yang berkait rapat dengan diagnosis dan rawatan penyakit berkenaan.

Prof Hussain berkata, pesakit enggan mendapatkan rawatan kerana mereka bimbang akan dipulaukan. Mereka juga takut dipandang rendah di tempat kerja atau terlepas peluang kehidupan sekiranya didapati mengalami kemurungan.

“Mereka yang menghidap masalah ini masih dianggap sebagai mempunyai masalah emosi atau kurang keazaman. Oleh itu, mereka rasa malu dan fikir boleh memperbaiki keadaan yang dihadapi jika mereka berusaha bersungguh-sungguh,” katanya.

Kata Prof Hussain, kemurungan bukan kelemahan peribadi tetapi penyakit yang menjejaskan otak yang memerlukan rawatan perubatan dengan segera.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: