June 22, 2009

Sental, bilas kanta lengkap setiap hari

Posted in 1 at 3:54 pm by Ahmad Salafi


Kakitangan Mandarin Opto-Medic Sdn Bhd menggunakan alat ‘Haag Streit – Slit Lamps’ untuk menguji tahap penglihatan mata.

Tabiat pencucian disyorkan mampu kurangkan risiko jangkitan selain pastikan mata sihat

PENGGUNAAN kanta lekap memang cukup popular sama ada sebagai keperluan atau aksesori. Penggunanya mencecah ratusan juta di seluruh dunia terutama di Amerika Syarikat yang melebihi 38 juta manakala di Jepun lebih 13 juta.

Pemakaian kanta lekap dalam masa yang lama akan menyebabkan masalah seperti mata merah, pandangan yang kabur, rasa sakit dan sensitif pada cahaya. Malah, tanpa pemakaian lensa yang betul, ia mungkin mengakibatkan pengguna berdepan dengan risiko jangkitan mata setiap hari.

Satu kajian yang dijalankan baru-baru ini menunjukkan 65 peratus pengguna kanta lekap di seluruh Asia tidak mengikut arahan penjagaan yang diberikan. Alasan lazim yang diberi ialah gaya hidup yang terlalu sibuk.

Pakar perubatan oftomalogi percaya, sebab sebenar kegagalan mengamalkan tabiat pemakaian lensa yang betul adalah sikap tidak peka terhadap potensi risiko jangkitan selain malas dan terlalu mengambil mudah dengan kaedah penjagaan mata.

Pakar Oftomalogi, Dr Chung Kah Meng, berkata kebanyakan pengguna kanta lekap mengendalikan kanta mereka dengan cara yang boleh mendatangkan risiko jangkitan serius pada mata.

“Kanta lekap adalah peralatan perubatan yang berkesan dan selamat, selagi arahan penggunaannya dipatuhi. Pengguna perlu mengetahui bahawa teknik sental dan bilas yang dinyatakan dalam kempen kesihatan mata adalah tabiat pencucian yang disyorkan untuk kanta lekap kerana ia mampu mengurangkan risiko jangkitan dengan ketara selain memastikan mata yang sihat,” katanya.

Beliau berkata, rutin menyental dan membilas secara harian, mampu menghapuskan sehingga 99 peratus mikrob termasuk bakteria dan kulat daripada kanta lekap.

Biasanya rutin membersih dan membilas kanta lekap mengambil masa kurang seminit namun, masa sesingkat itu ada kalanya cukup membebankan bagi sesetengah orang.

Dr Chung berkata, kebanyakan orang melawat doktor gigi setiap enam bulan untuk memastikan kesihatan dan kecantikan gigi serta gusi tetapi tidak berbuat demikian untuk memastikan kesihatan mata.

“Sepatutnya kita melakukan perkara sama untuk mata, iaitu mendapat pemeriksaan menyeluruh sebaik-baiknya setiap enam bulan atau setahun sekali,” katanya.

Katanya, pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati, terutama untuk pengguna kanta lekap serta mereka yang keluarganya mempunyai sejarah penyakit mata dan faktor risiko lain.

Menyedari sesetengah pengguna tidak peka pada kesihatan mata, baru-baru ini AMO (Advanced Medical Optics) melancarkan Kempen Kesedaran Kesihatan Mata COMPLETE untuk meningkatkan kesedaran pengguna kanta lekap terhadap kesihatan mata.

Panduan untuk pengguna kanta lekap:

1) Gosok dan sental kanta lekap anda sehingga bersih: Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, cecair cucian ‘tanpa sental’ semakin popular, tetapi kebanyakan pakar mata hari ini menyarankan penggunaan kembali teknik ‘sental dan bilas’.

2) Penting untuk anda membersihkan kanta lekap setiap kali menyentuhnya. Jika menggunakan cecair kanta lekap serba guna, titiskan beberapa titik cecair itu di telapak tangan anda sebelum meletakkan kanta lekap di tangan, kemudian sental selama 10 saat (bersamaan dengan masa yang diambil untuk menghantar pesanan ringkas) pada kedua-dua belah kanta lekap itu. Cara sentalan adalah gerakan ke depan dan belakang, atas dan bawah.

3) Bilas dengan cecair serba guna selama lima saat pada setiap belah kanta lekap sebelum menyimpannya dalam bekas yang diisi cecair serba guna yang baru dan rendamkan untuk sekurang-kurangnya enam jam bagi memastikan cecair itu dapat membasmi kuman, membersih dan memastikan segala protein yang terbentuk dapat dihilangkan.

4) Sentiasa cuci kanta lekap anda dengan cecair yang betul, jangan gunakan air paip. Air paip mungkin mengandungi mikro-organisma yang boleh mengakibatkan jangkitan mata. Sehubungan itu, kanta lekap tidak boleh bercampur dengan air paip. Bagaimanapun, satu kajian baru-baru ini menunjukkan lebih satu daripada lima pengguna kanta lekap tidak tahu mengenai bahaya itu.

5) Elakkan penggunaan kanta lekap dalam kolam renang dan ketika mandi. Kira-kira 70 peratus pengguna mengakui menggunakan kanta lekap ketika mandi. Risiko air paip atau air yang sudah dirawat terkena pada kanta lekap, menjadi semakin ketara apabila anda berada di persekitaran basah. Selain itu, anda perlu ingat mengenai bahaya bahan kimia yang digunakan dalam air kolam renang serta risiko kehilangan kanta lekap.

6) Jangan biarkan bekas kanta lekap menjadi punca jangkitan. Cuci bekas kanta lekap setiap hari dengan cecair serba guna dan menggantikan bekas itu setiap bulan atau tiga bulan sekali. Anggaplah bekas kanta lekap anda mempunyai tarikh luput. Kebanyakan pengguna kanta lekap tidak mengendahkan dua perkara itu, malah ada juga yang tidak pernah mencuci bekas kanta lekap mereka. Pengguna kanta lekap juga perlu mengelak “menambahkan” cecair baru tanpa mengosong serta membersihkan bekas itu terlebih dahulu. Cecair yang telah digunakan mungkin mengandungi bakteria berbahaya, yang boleh mengakibatkan jangkitan.

7) Kanta lekap bukan satu produk kosmetik semata-mata, kerana ia sebenarnya adalah alat perubatan yang sensitif justeru anda perlu menumpukan lebih perhatian terhadap keselamatan mata.

Langkah-langkah untuk membersih dan membilas

Langkah 1: Cuci tangan anda setiap kali menyentuh kanta lekap atau bekasnya. Lebih elok menggunakan sabun atau pembasmi kuman yang sesuai (tanpa pelembap, tanpa sisa) dan keringkan tangan menggunakan kertas tisu bebas gegebu atau kain.

Langkah 2: Keluarkan kanta lekap anda secara berhati-hati menggunakan tangan yang telah dicuci dan dikeringkan.

Langkah 3: Letakkan kanta lekap anda di tengah tapak tangan. Bersih dan basmi kuman kanta lekap itu menggunakan tiga atau empat titik cecair cucian serba guna pada permukaan kanta lekap. Gunakan jari telunjuk anda untuk menyental dengan lembut menggunakan cecair berkenaan.

Langkah 4: Bilas kanta lekap anda menggunakan cecair berkenaan untuk menghilang sebarang habuk yang tertanggal.

Langkah 5: Simpan kanta lekap anda dalam bekas kanta lekap yang bersih dan penuhkan bekas berkenaan dengan cecair serba guna. Cucilah bekas kanta lekap anda dengan kerap dan sentiasa gantikan dengan cecair serba guna yang baru.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: