June 22, 2009

Sindiket dagang anak berleluasa di India

Posted in 1 at 12:01 pm by Ahmad Salafi

Susunan Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my


Rubina (berbaju hitam) masih hidup di kawasan setinggan seperti kanak-kanak lain di India.

Fenomena didakwa berkait rapat faktor budaya yang anggap budak sebagai hadiah penghapus dosa

FILEM Slumdog Millionaire mengenai perjalanan hidup seorang kanak-kanak yang tinggal di kawasan setinggan di Mumbai, India, bukan setakat meraih lapan anugerah Oscar Februari lalu, tetapi turut mencetuskan pelbagai fenomena baru di negara asalnya.

Selain dipilih Filem Terbaik Anugerah Academy, pelakon filem berkenaan termasuk pelakon kanak-kanaknya yang juga rakyat tempatan menerima tempias populariti dan pelbagai cerita serta gosip mengenai mereka di seluruh dunia.
Terbaru, seorang pelakon kanak-kanaknya, Rubina Ali yang melakonkan watak heroin filem itu ketika kecil, dilaporkan cuba dijual bapanya kepada keluarga angkat kerana ingin bebas daripada kemiskinan di Mumbai. Bagaimanapun, laporan itu dinafikan keluarga Rubina.

Tabloid News of the World, Ahad lalu mendakwa, Rafiq Qureshi, bapa Rubina meletakkan harga sekurang-kurangnya 20 juta rupee (RM1.45 juta) sebagai pertukaran anak perempuannya berusia sembilan tahun itu.

Ekoran laporan berkenaan, polis di Mumbai kini melancarkan siasatan, termasuk menyoal bapa pelakon cilik berkenaan, selain memanggil Rubina dan Rafiq memberikan keterangan.

Rubina dan bapanya keluar dari balai polis selepas bapanya disoal siasat.

Tindakan polis itu juga dibuat selepas menerima aduan daripada ibu Rubina, Kushid yang mengetahui mengenai berita penjualan berkenaan daripada media massa.

Rubina yang melakonkan watak Latika ketika kecil tinggal bersama bapa dan ibu tirinya di kawasan setinggan di Mumbai selepas ibunya berpisah dengan bapanya.

Hakikatnya, kisah Rubina itu cuma secebis daripada realiti sebenar yang wujud di India membabitkan kanak-kanak di negara kedua terbesar jumlah rakyatnya di dunia itu.

India dianggarkan mempunyai 400 juta kanak-kanak daripada usia bayi hingga 18 tahun. Malangnya, lebih separuh daripada mereka hidup dihimpit kemiskinan.

Laporan Penyeludupan Manusia Amerika Syarikat pada Jun tahun lalu, menyebut kebanyakan kanak-kanak miskin di India berkemungkinan menjadi mangsa sindiket penyeludupan manusia.

Ini berkait rapat dengan kedudukan India yang biarpun menjadi antara 10 negara membangun paling cepat menikmati pertumbuhan, tetapi pendapatan rakyatnya masih rendah, manakala 26 peratus rakyatnya hidup di bawah garis kemiskinan.

Dalam kes penyeludupan kanak-kanak, kebanyakannya dijual keluarga atau menjadi mangsa penculikan oleh sindiket untuk diseludup menjadi buruh kasar bekerja sebagai di kilang, rumah orang kaya dan estet.

Selain buruh, ada juga kanak-kanak yang diseludup dilatih menjadi gerila, askar upah, pengemis dan lebih teruk lagi dijadikan pekerja seks.

Malah, laporan berkenaan menyatakan kanak-kanak dari Nepal turut diseludup ke India untuk bekerja sebagai buruh dan artis di pertunjukan sarkas di negara berkenaan.

Laporan berkenaan menyatakan beribu-ribu kanak-kanak India yang dijual oleh keluarga mereka kerana kemiskinan juga di seludup bersama wanita dan lelaki yang berhijrah ke Asia Barat, Eropah, Amerika Syarikat untuk menjadi pekerja seks, pembantu rumah dan buruh kasar.

Pertubuhan bukan kerajaan yang membela nasib kanak-kanak dan wanita di India menganggarkan masalah penyeludupan membabitkan 20 hingga 65 juta warga negara berkenaan setiap tahun.

Sementara itu, kajian oleh pertubuhan bukan kerajaan Shakti Vahini pada 2006, mendapati 378 daripada 593 daerah di India terbabit dengan kes penyeludupan manusia yang mana 10 peratus daripada kes berkenaan membabitkan penyeludupan antarabangsa dan selebihnya penyeludupan antara bandar.

Shakti Vahini melaporkan punca penyeludupan ialah kemiskinan dan faktor ekonomi. Selain itu, persekitaran hidup turut menyebabkan masalah penyeludupan ini berlaku, tambahan pula kesan kemelesetan ekonomi yang dirasai kebanyakan negara di dunia.

Di India juga dikatakan budaya menyebabkan kanak-kanak menjadi barang dagangan. Dalam sesetengah masyarakat di negara berkenaan, penjualan atau penyerahan kanak-kanak kepada kuil untuk menghapuskan dosa atau pemberian untuk menyucikan diri membuka ruang sindiket penyeludupan manusia menculik kanak-kanak berkenaan.

Sementara itu, penjualan wanita muda menjadi budaya dalam budaya masyarakat Bedia dan Bacchara, di Madhya Pradesh, daerah sempadan antara Uttar Pradesh dan Maharashtra, manakala dalam komuniti Rajnat di Rajasthan menjual kehormatan anak gadis adalah satu tradisi untuk memanjangkan usia.

Malah, ada daerah terpencil di India percaya dengan mitos bahawa perkahwinan dengan anak dara sunti sangat bernilai kerana mereka boleh menyembuhkan lelaki yang menghidap penyakit kelamin dan HIV/Aids.

Persoalannya, sampai bila kanak-kanak di India yang dibelenggu kemiskinan akan terus menjadi barang dagangan untuk memberikan kehidupan lebih selesa kepada ahli keluarga yang lain. Manusia tidak sepatutnya dilahirkan untuk menjadi barang dagangan seperti haiwan ternakan yang boleh membantu menyelesaikan masalah ekonomi keluarga.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: