June 23, 2009

Aktif dengan THR baru

Posted in 1 at 12:19 pm by Ahmad Salafi

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto Hayat Sueet

X-ray berhubung keadaan sendi tiruan melalui proses THR yang lama.



MENGALAMI masalah sendi pinggul boleh menyebabkan aktiviti harian terganggu sekali gus menyukarkan individu terbabit menjalani kehidupan yang normal mahupun aktif.

Ia merupakan radang pada sendi atau tisu sendi pinggul.

Masalah ini mengehadkan pergerakan rutin harian seperti berjalan, menaiki tangga, mendaki dan pelbagai aktiviti harian lain.

Terdapat pelbagai faktor yang mengakibatkan fungsi sendi pinggul terjejas termasuk umur, kecederaan atau penyakit-penyakit tertentu.

Selain rawatan rutin seperti mengurangkan berat badan, pengubahsuaian aktiviti, terapi fizikal dan ubat-ubatan, bidang perubatan telah mencipta kaedah pembedahan gantian tulang pinggul secara keseluruhan yang juga dikenali sebagai total hip replacement (THR).

Teknik THR mula diperkenalkan seawal tahun 1920 di Eropah. Ia merupakan kaedah paling biasa dilakukan untuk membantu mereka yang menghadapi masalah pada tulang pinggul.

Malaysia telah menggunakan kaedah ini 40 tahun lalu buat pertama kali.

Banyak kajian mengenai teknik perubatan itu telah dilakukan oleh Sir John Charley yang digelar ‘bapa’ perkembangan THR.

Pakar Perunding Bedah Ortopedik, Unit Rekonstruktif Sendi dan Ketumbuhan, Pusat Perubatan Tropicana (PPT), Dr. K. Sivananthan, berkata, THR hanya akan dilakukan jika rawatan konvensional seperti ubat-ubatan dan fisioterapi gagal membantu menangani masalah yang dihidapi pada tulang pinggul.

“THR merupakan satu prosedur pembedahan menggantikan tulang rawan dan tulang sendi yang berpenyakit dengan bahan-bahan tiruan yang diperbuat daripada logam dan plastik.

Ia bertujuan membantu pesakit menjalani kehidupan normal tanpa sebarang gangguan atau rasa sakit pada sendi ketika berjalan dan melakukan aktiviti harian,” katanya ketika ditemui di PPT, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Bagi membantu pesakit sendi pinggul melakukan pelbagai aktiviti untuk jangka masa panjang selepas pembedahan, Dr. Sivananthan telah memperkenalkan tulang sendi untuk THR terbaru, hip resurfacing.

Kaedah pembedahan baru ini mengurangkan kehausan sendi.

Terdapat banyak perbezaan dengan yang lama hingga menyukarkan pergerakan seperti tidak digalakkan berlari dan mencangkung.

“Kaedah terbaru ini menggantikan yang lama dengan barangan mekanikal baru. Kebiasaannya, jenis pengganti sendi yang lama akan mengorbankan banyak tulang dan menyebabkan sendi tiruan tersebut cepat haus,” jelasnya.

Tambah beliau, secara anatomi, sendi pinggul terdiri daripada bola dan soket sendi. Soket berbentuk seperti cawan ini merupakan tulang pelvis yang juga dikenali sebagai acetabulum yang dihubungkan dengan penghujung tulang paha berbentuk seperti bola.

THR merupakan satu prosedur pembedahan menggantikan bola dan soket ini dengan bola logam yang dimasukkan ke dalam tulang paha.

Plastik tiruan digunakan untuk menggantikan soket berbentuk cawan ini.

Bola tiruan dan batang logam ini dikenali sebagai prostesis.

“Semasa pembedahan menggunakan alat sendi tiruan yang lama, pakar bedah akan membuat pemotongan kira-kira empat hingga enam inci panjang bagi membolehkan ia dimasukkan ke dalam sendi.

Pakar bedah akan mengeluarkan soket dan bola ini daripada paha pesakit dan menggantikannya dengan peralatan implan yang diperbuat daripada besi, plastik atau kombinasi kedua-duanya,” jelasnya.

Kini, Dr. Sivananthan memberitahu, penggunaan alat sendi yang baru lebih fleksibel kerana ia mudah bergerak dan tidak lari daripada kedudukan asalnya.

Bahkan, tulang pesakit tidak perlu ditebuk terlalu dalam hingga menyebabkan kesan nyilu yang berpanjangan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: