June 23, 2009

Alternatif kepada transfusi darah

Posted in 1 at 9:41 am by Ahmad Salafi

TRansfusi darah merupakan satu kaedah berkesan untuk menyelamatkan nyawa pesakit. – Gambar hiasan



TRANSFUSI darah atau biasanya disebut ramai sebagai pemindahan darah adalah proses memindahkan darah atau produk komponen darah seperti plasma mahupun sel darah merah daripada seorang individu ke individu yang lain. Dalam proses ini, darah atau komponen darah akan terus disalurkan ke sistem aliran darah pesakit bagi menggantikan darah yang hilang.

Seseorang itu akan mengalami kehilangan darah yang banyak apabila berhadapan dengan kecederaan yang teruk, kemalangan ataupun ketika melakukan pembedahan. Sepatutnya, transfusi darah merupakan satu kaedah berkesan untuk menyelamatkan nyawa pesakit.

Bagaimanapun kini, ia juga boleh mendatangkan banyak risiko khususnya jika menerima darah tercemar yang akhirnya mengakibatkan kehilangan nyawa.

Keadaan itu langsung meninggalkan satu kebimbangan pada diri masyarakat untuk melakukan transfusi darah.

Cuma, tidak ramai yang tahu bahawa dalam dunia perubatan telah dicipta kaedah alternatif selain memasukkan darah orang lain ke tubuh pesakit. Hakikatnya, pesakit sebenarnya boleh menggunakan cecair lain bagi menggantikan penggunaan darah.

Ketua Jabatan Anestesiologi dan Perubatan Rawatan Intensif, Klinikum Ludwigdhafen, Jerman, Prof. Joachim Boldt, berkata, kaedah alternatif sebenarnya sudah lama diperkenalkan dalam dunia perubatan, tetapi mungkin tidak ramai masyarakat menyedarinya.

Malah di Jerman, penggunaan kaedah alternatif ini bukan lagi satu perkara asing. Pakar-pakar perubatan di negara itu telah mempunyai pengalaman kira-kira 40 tahun dalam menggantikan darah menggunakan kaedah lain yang lebih selamat seperti penggunaan beberapa cecair yang dicipta sebagai penggantian kepada penggunaan darah.

”Lagipun, mana-mana negara di dunia ini sekarang sedang mengalami masalah kekurangan bekalan darah. Malah, pernah berlaku di hospital tempat saya berkhidmat, kami terpaksa membatalkan jadual pembedahan kerana tidak mempunyai bekalan darah yang mencukupi.

”Pada masa yang sama, kita juga semakin didedahkan dengan kesan negatif pemindahan darah apabila kadang-kala darah yang diterima tidak selamat seperti dicemari dengan virus HIV, Hepatitis B dan C atau jangkitan virus lain yang boleh memudaratkan pesakit.

”Justeru, kini kami mencuba menggunakan kaedah alternatif terhadap pesakit selagi boleh termasuk untuk kanak-kanak, warga emas dan wanita hamil,” katanya ketika ditemui pada Seminar Kaedah Alternatif Tranfusi Darah anjuran Fresenius Kabi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Prof. Boldt, kaedah alternatif bukan bermaksud dunia perubatan memperkenalkan produk yang berfungsi sama seperti sel darah merah atau sel darah putih. Sebabnya, setakat ini tiada produk yang dibangunkan berfungsi sama seperti darah manusia.

Kaedah alternatif yang dimaksudkan adalah penggunaan cecair sebagai pengganti darah seperti beberapa jenis cecair dalam kategori Crystalloids dan Colloids.

Jelasnya, cecair gantian itu akan digunakan untuk mengembalikan isipadu bendalir dalam tubuh pada tahap optimum.

Ia berfungsi mempertingkatkan jumlah plasma darah sehingga sistem tubuh boleh merawat Hypovolemia, iaitu satu tahap apabila jumlah isipadu darah dalam tubuh berkurangan menyebabkan bekalan oksigen dalam darah yang disalurkan ke organ-organ tubuh juga turut mengalami penyusutan.

Cecair gantian perlu sesuai tubuh pesakit

Naib Pengerusi, Jabatan Anestesiologi, Pusat Perubatan Universiti Duke, Amerika Syarikat, Prof. Tong-Joo Gan pula memberitahu, terjadinya kekurangan bendalir dalam tubuh manusia khususnya kehilangan darah adalah satu perkara yang biasa berlaku khususnya ketika pembedahan.

Jadi, perlu bagi doktor menggantikan darah yang hilang itu sama ada dengan pemindahan darah yang tentunya mempunyai risiko. Apatah lagi, pendekatan menggunakan pemindahan darah di sesetengah negara seperti Amerika Syarikat sebenarnya memerlukan perbelanjaan yang besar kerana darah di negara itu amat mahal.

Kata beliau, satu langkah yang tidak memerlukan pesakit menerima pemindahan darah adalah mengalihkan perhatian kepada cecair gantian.

Apa yang penting, sesetengah pesakit sememangnya memerlukan cairan untuk menggantikan kehilangan darah yang berlaku dalam usaha mengekalkan tekanan dan aliran darah agar semua komponen tubuh dapat berfungsi dengan baik.

”Cuma mustahaknya, pesakit perlu diberikan dengan jumlah dan jenis cecair yang sesuai untuk tubuh dan keadaannya. Sebabnya, cairan yang terdapat dalam tubuh manusia terbahagi kepada dua iaitu yang mengalir di dalam sel dan cairan yang mengalir di luar sel.

”Cairan di luar sel juga mempunyai bahagian-bahagian yang berbeza. Oleh itu, jika doktor ingin mensasarkan cecair tersebut dalam bahagian yang berlainan maka perlu bagi mereka menggunakan cecair yang tepat atau betul,” kata Prof. Gan.

Namun tambah beliau, perlu diketahui bahawa tidak semua keadaan boleh menggunakan kaedah alternatif tersebut. Sesetengah situasi, pesakit masih memerlukan pemindahan darah dalam usaha menyelamatkan atau mengubatinya.

Sementara itu, Pensyarah dan Pakar Perunding Anestesia, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Datuk Dr. Wang Chew Yin berkata, Malaysia sebenarnya sudah lama menggunakan cecair sebagai kaedah alternatif seperti beberapa jenis Crystalloids dan Colloids.

Tetapi, pemberian itu khusus kepada mereka yang mengalami kehilangan darah yang banyak seperti kecederaan teruk atau pembedahan.

Malah kata beliau, negara juga sudah mengurangkan transfusi melibatkan darah sebaliknya mengambil pendekatan baru ini dalam usaha mengurangkan jangkitan virus yang tidak diingini.

Tambah beliau, kebiasaan jika pesakit melakukan pembedahan atau mengalami kecederaan teruk sehingga kehilangan darah, tetapi masih boleh bertahan, doktor tidak akan terus memberi darah atau melakukan transfusi darah sebaliknya pesakit akan diberikan cecair gantian untuk mengawal jumlah isipadu darah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: