June 23, 2009

Epidemik senyap membunuh pemimpin tanpa sedar

Posted in 1 at 12:15 pm by Ahmad Salafi

Oleh NURUL ANUAR KARI
kesihatan@utusan.com.my

DIABETES yang tidak dikawal mampu menjejaskan kesemua organ dan tisu badan, menyebabkan banyak kes kematian akibat serangan jantung dan juga strok.



BILA menggunakan perkataan pemimpin, ia merangkumi dari sekecil-kecil tahap kepimpinan sehinggalah kepada kepimpinan utama dunia. Ada pemimpin negara, masyarakat, pasukan, syarikat dan juga pemimpin keluarga. Dengan perubahan zaman, ramai juga pemimpin yang terdiri daripada wanita, termasuklah di rumah.

Apa yang ingin dikongsi minggu ini adalah kesan sejenis penyakit yang mencacatkan dan membunuh penghidapnya tanpa disedari, tidak mengira remaja belasan tahun mahupun para pemimpin negara. Mungkin ramai yang sedar negara kehilangan beberapa pemimpin atau wakil rakyat yang menyebabkan pilihan raya kecil agak kerap diadakan kebelakangan ini.

Kebanyakan daripada mereka dilaporkan meninggal dunia akibat penyakit jantung, strok mahupun penyakit kardiovaskular lain yang semuanya dikelaskan sebagai pembunuh utama dunia. Namun, adakah mereka sememangnya menghidap penyakit jantung atau mungkinkah sesuatu yang hadir secara senyap dan membunuh tanpa disedari kewujudannya?

Epidemik senyap

Seperti yang dinyatakan minggu lalu, merokok atau terdedah kepada asap rokok banyak meningkatkan risiko strok dan penyakit kardiovaskular (CVD). Bagaimanapun, terdapat satu lagi faktor kesihatan yang bukan sahaja membawa kepada masalah CVD, malahan merosakkan organ dan tisu badan tanpa disedari.

Presiden Persatuan Metabolik dan Endokrin Malaysia (MEMS) , Profesor Dr. Nor Azmi Kamaruddin mendedahkan ramai ahli politik yang sebenarnya meninggal dunia akibat diabetes tetapi dilaporkan sebagai serangan jantung mahupun strok.

“Diabetes kini menjadi epidemik senyap di Malaysia, sukar dikesan tetapi melakukan paling banyak kerosakan yang membunuh golongan muda sehinggalah kepada para pemimpin negara.

“Kadar kematian pesakit diabetes banyak dikaitkan dengan CVD, iaitu pembunuh utama dunia. Namun kaitan dengan CVD ini kurang diberi perhatian memandangkan diabetes lebih lazim dikaitkan dengan masalah kaki diabetik,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ketua Unit Diabetes dan Endokrin, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) menegaskan hampir separuh daripada pesakit baru Sindrom Koronari Akut (lelaki dan wanita) menghidap diabetes, sebahagian darinya baru dikesan.

Tambahnya, hampir 70 peratus yang mengalami serangan jantung kali pertama pula dikesan menghidap diabetes atau pra-diabetes yang belum didiagnosis.

Kes kematian akibat serangan jantung dan strok di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) dilihat semakin menurun sejak 1980-an lagi. Bagaimanapun, Malaysia pula mencatatkan peningkatan dari 23 peratus pada 1994 kepada hampir 31 peratus pada 2001 yang dikaitkan dengan peningkatan mendadak penghidap diabetes.

Kajian di kalangan penghidap diabetes mendapati sekitar 65 hingga 80 peratus pesakit menemui ajal akibat penyakit jantung atau strok. Lebih separuh daripada pesakit yang baru didiagnosis dengan diabetes turut dikesan mempunyai masalah awal CVD.

Pesakit yang dikesan menghidap diabetes pada usia lebih muda juga mungkin lebih pendek jangka hayatnya (sekitar 15 tahun). Selain CVD, diabetes juga meningkatkan risiko kerosakan buah pinggang, mata, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, kanser dan bermacam lagi.

Nombor satu

Persekutuan Diabetes Antarabangsa menganggarkan enam peratus (240 juta) penduduk dunia dewasa menghidap diabetes pada 2007. Jumlah ini dijangka meningkat kepada tujuh peratus (380 juta) menjelang 2025 dengan bilangan pesakit tertinggi di India, China dan AS.

Dr. Nor Azmi mendedahkan walaupun tiga negara besar tersebut mempunyai bilangan penghidap tertinggi, ketiga-tiganya bukan pendahulu negara paling banyak kes diabetes.

“Negara pulau Nauru merupakan paling tinggi peratusan penghidap diabetes dengan 94.5 peratus daripada 13,000 penduduknya mempunyai berat badan berlebihan atau obes, dan hampir 30 peratus rakyatnya (dewasa) menghidap diabetes.

“Ini diikuti Amiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Bahrain. Malang bagi kita, Malaysia juga berada dalam kumpulan 10 negara tertinggi diabetes dan berada di nombor lapan berdasarkan peratusan terkini yang dicatatkan pada 2006,” jelasnya.

Lebih membimbangkan katanya, negara mengalami peningkatan 80 peratus kes diabetes antara 1996 hingga 2006 berbanding AS dengan hanya 20 peratus antara 1998 hingga 2007.

Malaysia yang didakwa beliau mempunyai kadar pengambilan gula tertinggi per kapita kini berdepan dengan satu kematian setiap 30 minit akibat diabetes dan satu kes baru dikesan setiap tujuh minit.

Dalam satu tinjauan bersama 2,000 pesakit diabetes, 68 peratus daripada mereka tidak mengetahui adanya kaitan penyakit itu dengan masalah jantung. Dengan 2 juta penghidap diabetes, 2 juta lagi pra-diabetes dan ditambah dengan masalah tekanan darah tinggi serta kolesterol tinggi, kejadian CVD di negara ini sudah hampir pasti terus meningkat kelak.

“Usaha menangani diabetes dan obesiti mungkin mengambil sehingga 20 tahun untuk menunjukkan kesan.

“Ini kerana tindakan yang diambil memerlukan peralihan satu generasi untuk menunjukkan hasil positif,” ujar Dr. Nor Azmi.

Walaupun program pencegahan akan menelan belanja yang besar, beliau menegaskan kesan jika kita tidak mengambil sebarang tindakan jauh lebih membebankan kelak.

Memelihara pemimpin

Dalam menerima rawatan, terdapat sebilangan pesakit yang melalui tempoh penafian (tidak dapat menerima kenyataan) yang menyebabkan mereka enggan atau menangguhkan rawatan.

Dr. Nor Azmi menjelaskan ada yang mengambil sehingga tiga atau lima tahun sebelum mengambil tindakan mengawal diabetes.

“Penekanan amat penting untuk usaha pengawalan paras gula secepat mungkin selepas pesakit disahkan menghidap diabetes.

“Jika ditangguhkan sehingga lima tahun lamanya, bermacam komplikasi akan menyusul yang akan menyukarkan lagi kawalan diabetes dan juga menjejaskan lagi kualiti hidup pesakit,” katanya.

Menurut beliau, terdapat mentaliti masyarakat yang menganggap diabetes sesuatu yang remeh dan mungkin tidak mengancam nyawa. Hakikatnya, penyakit ini tidak memaafkan sesiapa yang mengambil mudah situasi yang dihadapi. Untuk itu, pakar perubatan kini berusaha keras mencari cara terbaik untuk pesakit mengawal paras gula mereka secepat mungkin.

Dr. Nor Azmi menyarankan pesakit diabetes untuk berjumpa doktor pakar sekali setahun dan doktor perubatan setiap tiga bulan untuk pemantauan kawalan diabetes dan komplikasinya.

“Pesakit sendiri perlu menjaga tahap gula darah dan juga tahap kesihatan diri mereka cukup mengenali diri untuk tahu bila menghadapi masalah kesihatan.

“Doktor juga perlu meluang secukup masa untuk pesakit supaya rawatan yang diberi bertepatan dan memberi kesan terbaik untuk kawalan diabetes dan kesihatan umum pesakit,” tegasnya.

Dari segi pencegahan, Dr. Nor Azmi menyarankan ujian saringan terpilih dengan menyaring mereka yang mempunyai faktor risiko diabetes.

“Jika tiada faktor risiko, saringan mungkin sesuai dimulakan selepas umur 40 tahun, sekali setiap tahun atau setiap tiga tahun.

“Penghidap diabetes juga tidak semestinya gemuk atau obes memandangkan sekitar 40 peratus penghidap diabetes yang sederhana mempunyai berat badan yang normal,” jelasnya.

Namun, beliau mengakui diabetes mempunyai kaitan dengan berat badan dengan peningkatan risiko diabetes antara 4.5 hingga sembilan peratus bagi setiap kilogram peningkatan berat badan (melebihi berat badan normal).

Tambahnya, bukan hanya gula; lemak serta karbohidrat (seperti dari nasi) juga menyumbang kepada risiko diabetes.

“Sekitar 20 tahun lalu, satu burger keju mempunyai 333 kalori, tetapi burger sama kini mempunyai 590 kalori.

“Oleh itu, jika anda ingin membeli makanan segera (serta makanan banyak lemak, gula dan garam), ingatlah bahawa Malaysia kini di nombor lapan negara dengan peratusan tertinggi diabetes,” katanya.

Beliau menyarankan langkah pencegahan untuk diabetes dan mana-mana penyakit kronik lain dimulakan dari peringkat awal perkembangan anak-anak dengan pemahaman pentingnya aktiviti fizikal dan juga kawalan pemakanan. Kanak-kanak yang bakal mewarisi negara perlu dilindungi daripada menjadi generasi pewaris penyakit kronik seperti diabetes, CVD dan banyak lagi.

Tidak kira jika anda pemimpin dunia, negara, masyarakat, syarikat ataupun pemimpin keluarga, ingatlah mereka yang dipimpin bergantung kepada anda dan nyawa sebagai pemimpin tidak seharusnya diambil mudah. Tentukan tahap kesihatan diri, ketahui batasan kemampuan diri dan pastikan diri mampu menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin selama mungkin.

Jangan dibiarkan mereka yang dipimpin, dalam keluarga, masyarakat mahupun negara terbiar tanpa panduan dan tauladan di waktu-waktu paling memerlukan. Bagi Dr. Nor Azmi, kepimpinan itu melalui tauladan, mulakan dengan sesuatu yang ringkas seperti mengurangkan penggunaan lif dan membanyakkan penggunaan tangga. Bersama, pemimpin dan yang dipimpin dapat mengekalkan kesihatan dan hayat untuk terus berbakti kepada negara.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: