June 23, 2009

Furuu’ Al Massa il buah tangan terbaru Abu Hassan

Posted in 1 at 9:51 am by Ahmad Salafi

BENARLAH bagai dikata menerusi pepatah berbahasa Inggeris, Don’t judge a book by it’s cover.

Pada deretan kemas buku-buku agama koleksi peribadi Datuk Abu Hassan Din al-hafiz yang diletakkan di rak kayu sebelah meja komputer pada salah sebuah ruang tamu rumah banglo dua tingkat itu, selain koleksi buku-buku Arab, rupa-rupanya terselit sebuah kitab lama yang bukan sebarangan kitab.

Akui Hassan, kitab berwarna kuning dalam bahasa Melayu klasik yang ditulis dengan tulisan Jawi lama itu, tidak lebih seperti kitab-kitab lain yang pernah dibaca sebelum ini.

Lantaran itulah, kitab itu sudah lama terperap sebagai sebahagian daripada koleksi khazanah ilmu malah jarang sekali dibuka untuk tujuan rujukan. Tidak hairanlah, jika dikatakan empunya milik kitab lama ini juga tidak mengetahui bila dan di mana ia diperoleh.

“Tetapi entah macam mana, bila hendak merujuk tentang satu masalah, saya dapati permasalahan yang cuba dicari itu tidak ada di dalam kitab-kitab Arab dan tanpa disengajakan, tangan saya tercapai dan terbuka kitab Furuu’ Al Massa il ini. Kebetulan pula di dalamnya ada mengenai masalah yang saya cari itu.

“Sejak itu, minat membuat rujukan berkaitan masalah fikah mula berubah iaitu kalau dahulu lebih kepada kitab-kitab bahasa Arab, kini beralih kepada kitab-kitab hasil ulama nusantara terutamanya buku Furuu’ Al Massa il yang telah diterjemahkan oleh Sheikh Daud bin Abdullah Fatani, seorang ulama Melayu yang tersohor suatu masa dahulu.

“Semakin lama saya tatap buku ini, saya dapati ia mempunyai satu khazanah ilmu yang amat bernilai walaupun ia hanya sebuah kitab lama yang telah dialihbahasakan daripada kitab asalnya yang berbahasa Arab.

“Saya dapati isi kandungannya amat padat sekali, walaupun ia ditulis beratus tahun yang lalu. Tambah pula isu perbahasannya masih relevan membicarakan permasalahan semasa yang timbul pada hari ini,” jelas Abu Hassan mengenai kerja penulisan terbarunya itu.

Menurut beliau lagi, kitab itu merupakan sebuah karya terjemahan dalam bentuk soal jawab yang menyentuh soal-soal syariat yang merangkumi aspek-aspek ibadat, munakahat, muamalat dan jinayat, cuma bezanya ia ditulis dengan menggunakan bahasa Jawi lama yang hanya boleh difahami segelintir orang tertentu sahaja.

“Akhirnya dengan kehendak Allah jua, terdetik persoalan di hati saya, kenapa kitab yang seindah ini, disimpan hanya untuk menjadi tatapan dan rujukan golongan tertentu sahaja.

“Alangkah baiknya sekiranya kitab yang bermutu seperti ini dapat dimanfaat oleh generasi masa kini, khazanah ilmu yang terkandung di dalamnya dapat dikongsi dan ditatapi bersama.

“Maka timbullah keinginan serta membulatkan tekad saya untuk menyusun semula atau memodenkan kitab tersebut dengan gaya bahasa masa kini untuk memudahkan generasi hari ini membaca dan memahaminya, khususnya bagi mereka yang sentiasa dahagakan ilmu.

“Cuma persoalannya, oleh kerana penulisnya telah lama kembali ke rahmatullah, kepada siapakah sepatutnya saya memohon untuk mendapatkan kebenaran dan keizinan bagi menyalin semula kitab tersebut, sedangkan penulis asalnya dan berkemungkinan para warisnya bukan dari negara ini?,” cerita beliau lagi.

Kepada Allah diserahkan segalanya, Abu Hassan segera melaksanakan beberapa kali solat sunat Istikharah dan akhirnya terbukalah hati beliau untuk meneruskan cita-cita, menyalin semula serta memodenkan kitab ini dalam susunan bahasa yang mudah difahami tanpa terlebih dahulu mendapat restu dan keizinan daripada para warisnya. Apa yang beliau harapkan, sekiranya usaha ini ada ganjarannya, maka ganjarannya akan turut dikongsi bersama oleh penulis asalnya.

Kata Abu Hassan, hanya dengan cara ini sahaja beliau berkeyakinan akan dapat dimanfaatkan oleh generasi masa kini yang berminat untuk mendalam urusan agama mereka.

Akhirnya pada hari Rabu tanggal 23 Julai 2003 bersamaan 23 Jamadilawal 1424, tangan Abu Hassan mula mengetuk kekunci komputer bagi mencoret semula tinta pujangga yang hampir pudar ditelan masa, sekali gus bererti beliau mengambil masa selama hampir dua tahun untuk menyalin semula kitab tersebut.

“Jangka masa yang begitu lama adalah disebabkan kesibukan tugas harian saya, di samping kesukaran untuk memahami susunan bahasanya.

“Untuk menyelami ke dasar maksud dan mafhumnya, terkadang satu soalan dan jawapannya mengambil masa sehari suntuk untuk memahaminya, malah ada yang terpaksa saya tinggalkan terus kerana tidak dapat hendak memahami maksud soalan maupun jawapannya.

“Di sesetengah tempat pula, ada yang saya terpaksa tokok tambah sedikit penjelasan dan huraian dengan menggunakan huruf condong agar ia lebih jelas dan mudah difahami. Ada sesetengah soalan dan jawapannya pula terpaksa diubah atau dirombak supaya apa yang dibicarakan itu tersusun kemas,” kata Abu Hassan tentang buku yang dijangka berada di pasaran pada Julai ini. Insya-Allah.

Jelas Abu Hassan lagi, di awal penyiapan kitab ini, beliau tidak memikirkan sangat tentang penerbit untuk kitab ini. Yang penting, beliau mahukan kandungannya itu dikongsi umat Islam. Namun apabila buku tersebut hampir siap iaitu sekitar 2005, beliau mula memikirkan tentang penerbit.

Kebetulan pula kerjasama di antara beliau dengan sebuah syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. sudah lama bermula, atas platform penerbitan cakera padat.

Siapa sangka usaha terbaru beliau itu telah menarik minat Telaga Biru, lantas persetujuan kerjasama termeterai. Kini, ia sudah berada di peringkat akhir penyiapan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: