June 23, 2009

Mencari pasangan terpuji

Posted in 1 at 12:15 pm by Ahmad Salafi

SOALAN: TEMAN saya seorang kerani di sebuah kolej swasta ingin mengahwini seorang yang pernah menjadi pelakon yang pernah menggugurkan kandungan. Tidak jelas kenapa ia berhenti menjadi pelakon. Adakah hasratnya itu bertentangan dengan ajaran Islam. Bakal isteri mesti dicari daripada golongan yang beragama, berakhlak mulia juga terpelajar demi menjamin masa depan keluarga.

Suriani, Klang, Selangor.

Jawapan:

MEREKA yang terlibat dengan perbuatan tidak bermoral, iaitu zina kebanyakannya berpunca dari runtuhan nafsu, untuk enjoy, suka-suka atau berseronok-seronok sementara masih muda dan bukan berniat untuk berkahwin. Pengaruh luaran juga memainkan peranan utama terutamanya teman-teman. Bagi perempuan, mereka mungkin menjadi cair dengan pujuk rayu lelaki, yang menabur ribuan janji, terutamanya janji cinta juga untuk mengambilnya sebagai isteri. Tanda kesetiaan ialah pengorbanan dengan menyerahkan diri. Sukar untuk meluluskan diri daripada kemelut seperti ini apabila seseorang itu terutamanya pihak perempuan telah terlanjur jauh dengan pasangannya.

Tidak kurang mereka yang bercinta dengan memaparkan warna warni kasih sayang, cinta sejati yang akan berakhir dengan pernikahan, namun apabila si perempuan mengandung, hatinya berubah, lebih-lebih lagi sekiranya hubungan itu telah begitu lama dan ada perempuan lain, lalu sedikit demi sedikit si lelaki menyisihkan diri dan akhirnya sukar dihubungi atau hilang langsung. Khayalan indah yang menyelubungi hidup diri selama ini menjadi impian ngeri.

Apabila seorang perempuan itu berada dalam keadaan seperti ini iaitu telah terlanjur, ia tidak ubah seumpama terjebak. Hendak lari meninggalkan pasangannya, harapan untuk dikahwini oleh lelaki berkenaan masih ada, apatah lagi sekiranya janji-janji manis masih tetap ditabur. Hendak mencari pasangan lain terasa diri telah ternoda. Orang yang pernah melakukan perbuatan seperti ini amat sukar baginya untuk surut ke belakang, kecuali mereka yang mempunyai keazaman, ketabahan dan berupaya menundukkan nafsunya dengan bertaubat nasuha.

Orang yang berakal dan dapat menggunakan akalnya untuk berfikir waras, berupaya membezakan antara perbuatan baik dan buruk tidak akan rela untuk melakukan perzinahan, apatah lagi menggugurkan kandungannya. Tidak ada perempuan yang rela atau berkeinginan hendak menjadi pelacur, biar betapa jahat seseorang itu. Tidak ada orang yang rela menjadi perempuan simpanan, biar betapa banyak wang atau permata ditabur. Tidak ada perempuan yang sudi menagih kasih dengan merelakan diri untuk ditiduri oleh lelaki yang bukan suaminya.

Perbuatan terlarang menurut agama seperti yang disebut di atas, juga hina menurut pandangan mata dan fikiran waras manusia selalunya terjadi kerana keadaan yang mendatang, menyebabkan seseorang itu seolah-olah terjebak, tidak dapat meluluskan diri daripada kehidupan yang terkutuk, di samping tidak berupaya menahan runtunan nafsu. Kerana itulah maka Islam melarang umatnya daripada menghampiri zina. Iaitu menjadikan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh menyebabkan berlakunya perzinahan seperti berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang diistilahkan sebagai berkhalwat melakukan sesuatu kegiatan yang boleh merangsang nafsu dan sebagainya. andainya gejala-gejala yang merangsang nafsu untuk melakukan zina itu dapat dihindarkan, insya-Allah zina akan dapat dielakkan.

Islam menyuruh seseorang itu mencari pasangan hidup yang mempunyai sifat-sifat terpuji. Andainya ia seorang lelaki, ia perlu mencari pasangannya terdiri daripada orang yang baik-baik, boleh melahirkan anak yang banyak, kerana Rasulullah saw berbangga dengan bilangan umatnya yang banyak di hari kiamat kelak, pengasih dan ada rasa tanggungjawab pada suami, pada diri sendiri, anak-anak yang bakal dilahirkan, kasih kepada keluarga lelaki yang dikahwini dan tahu menghormati teman-teman suaminya.

Rasulullah saw ada menyatakan bahawa seorang perempuan itu dikahwini kerana empat sebab, kerana harta, kecantikan, kerana keturunannya juga kerana agama. Dalam masalah ini baginda menyuruh seseorang itu mengutamakan keperluan agama yang dimiliki, berbanding dengan faktor-faktor lain yang dijelaskan.

Memperkatakan tentang agama, ini bukan bererti seseorang itu langsung tidak perlu mengambil kira kecantikan paras pasangan yang bakal dikahwini. Kecantikan adalah sesuatu yang nisbi. Seseorang perempuan itu mungkin dipandang cantik oleh seseorang, tetapi tidak cantik menurut mata orang lain. Seseorang itu juga perlu memandang cermin diri sendiri. Andainya ia mempunyai wajah yang tidak cantik dan ingin mengahwini pasangan yang cantik, ia mungkin akan menghadapi masalah. Kerana itulah dikatakan bahawa apa yang disebut sebagai cantik, yang dirujuk pada diri manusia itu adalah sesuatu yang bersifat subjektif.

Agama yang dimiliki oleh seseorang akan mempertahankan kecantikan yang dimiliki, kerana kecantikan fizikal dimiliki akan pudar sedikit demi sedikit dimamah usia. Biarpun kecantikan telah luluh, tetapi sekiranya seseorang itu mempunyai rasa tanggungjawab keluarga, kecantikan yang sebenar akan tetap wujud bagi menjamin keharmonian rumahtangga.

Harta yang dimiliki oleh seseorang akan diberkati Allah sekiranya ia dikendalikan dengan betul oleh pasangan suami isteri, terutamanya oleh isteri di mana sebahagian besarnya tanggungjawab rumah tangga terletak di bawah kelolaannya. Rasa tanggungjawab selalunya lahir daripada isteri yang baik dan isteri yang baik itu lahir daripada isteri yang mempunyai latar belakang agama.

Agama juga berupaya memelihara nasab atau keturunan seseorang. Tanpa agama ataupun iman, nasab atau martabat tinggi boleh menyebabkan seseorang itu angkuh dan sombong, merasa diri lebih tinggi berbanding dengan orang lain yang tidak setaraf dengannya, termasuklah suami yang dikahwini sekiranya ia tidak mempunyai keturunan yang sama, padahal tinggi atau rendahnya martabat seseorang itu di sisi Allah ialah bergantung kepada sifat taqwa yang dimiliki.

Dalam urusan hendak mengahwini seseorang, baginda Rasulullah menjelaskan bahawa lelaki yang hendak meminang seorang perempuan, ia hendaklah melihat menyelidiki latar belakangnya, yang menjadikan daya tarikan untuk mengahwininya.

Andainya seseorang lelaki itu mengahwini seorang perempuan kerana hartanya, Allah akan menjadikannya fakir. barang siapa berkahwin kerana keturunannya, Allah akan membinasakannya. Tetapi barang siapa berkahwin dengan tujuan agar dapat menundukkan pandangannya, membentengi nafsu ataupun untuk menyambung tali persaudaraan, maka Allah akan memberi keberkatannya kepadanya dengan perempuan itu.

Asas-asas perkahwinan menurut Islam adalah jelas, di mana seseorang itu perlu meneliti bakal pasangannya, membolehkan seseorang itu tertarik untuk berkahwin dengan pasangan tersebut. Merujuk kepada teman saudara, minat atau keinginannya untuk berkahwin dengan perempuan berkenaan berlaku kerana rasa simpati atau belas menginsafi latar belakang perempuan berkenaan.

Tidak ada unsur-unsur syubahat atau tanggungan dosa dalam masalah yang saudara kemukakan berkaitan hasrat teman saudara itu. Begitu juga dengan dosa-dosa berzina yang pernah dilakukan oleh perempuan berkenaan termasuk perbuatan menggugurkan anak. Mengenai syarat-syarat seperti yang saudara tanyakan, saudara perlu merujuk hukum asal yang diperlukan seperti yang tersebut jelas dalam kitab-kitab fiqah, iaitu adanya pasangan lelaki dan perempuan, ada lafaz yang mengandungi ijab dan kabul, ada wali dan dua saksi.

Biarpun demikian, teman saudara perlu mempunyai kekuatan dan keikhlasan. Tidak salah mengahwini perempuan yang pernah menggugurkan kandungannya, malah teman saudara itu sebenarnya telah melakukan sesuatu yang baik, cuba menyelamatkan wanita berkenaan daripada terus menerus hidup tidak menentu. Seperti yang dijelaskan, wanita yang pernah terlibat dengan perbuatan-perbuatan seperti ini, berlaku bukan semestinya di atas kerelaannya sendiri, tetapi apabila ia terlibat, sukar baginya untuk melepaskan diri daripada belenggu yang mengikat dan mengancam pada hal lelaki yang terlibat enggan hendak mengahwininya, ataupun hilang begitu sahaja, lesap tidak dapat dikesan.

Selain daripada ada rasa ikhlas dan kekuatan diri, biarkan segala rahsia yang pernah berlaku pada wanita tersebut menjadi rahsia diri dan dikuburkan untuk selama-lamanya biarpun untuk pengetahuan orang yang kita kasihi, ayah dan ibu, adik beradik juga teman-teman. Tidak mudah bagi seseorang ibu atau bapa untuk menerima anaknya yang masih bujang mengahwini perempuan yang pernah menggugurkan kandungannya.

Teman saudara perlu memahami bahawa dirinya adalah pembimbing kepada perempuan berkenaan. Pembimbing perlu lebih berilmu dan ampunya ketahanan diri. Dalam masa yang sama wanita berkenaan perlu menyedari pengorbanan yang dilakukan oleh teman saudara, bertaubat nasuha dan menginsafi diri kerana diketemukan oleh Allah dengan manusia yang ingin membimbingnya ke jalan yang diredhai.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: