July 1, 2009

Teknik tekan dan uli untuk buang angin

Posted in 1 at 8:31 am by Ahmad Salafi

Oleh MERAN ABU BAKAR

Botol- botol bulat disusun di atas belakang bagi rawatan bekam angin.



DIURUT memang enak rasanya. Ringan rasa seluruh badan. Malah ada sesetengah orang boleh jadi ketagih. Tidak mengurut sebulan sekali, badan akan rasa lenguh-lenguh dan tidak bermaya.

Agaknya apa yang menariknya setelah diurut? Apalagi tubuh akan menjadi segar setelah urat-urat dibetulkan dan pengaliran darah berjalan dengan lancar. Kesannya di malam hari, tidur akan menjadi nyenyak hingga ke subuh.

Kini pelbagai jenis urutan boleh diperoleh di negara ini. Jika dahulu, urutan tradisional Melayu yang menjadi monopoli di negara ini. Itu pun hanya boleh diperoleh di kampung dan dilakukan oleh ‘orang lama’. Mereka belajar ilmu mengurut yang biasanya diperturunkan daripada nenek moyang. Nawaitunya untuk merawat anak cucu kot-kot ada yang terseliuh suatu hari nanti.

Kini, urutan tradisional Melayu telah mendapat saingan terutama daripada urutan Indonesia dan terbaru, urutan tradisional Cina.

Pengurus Healing Touch, Mohd. Azmi Mohd. Zain berkata, pusat rawatan miliknya yang dibuka November tahun lalu menyediakan rawatan tradisional Cina yang dipanggil urutan tui-na, memandangkan telah banyak wujud pusat rawatan tradisional Melayu dan Indonesia.

Pusat rawatan terapi ini mempunyai empat orang terapis terlatih, tiga wanita dan seorang lelaki. Sebelum datang bekerja di Malaysia, mereka telah mendapat latihan rawatan terapi dari sebuah kolej di China.

Mohd. Azmi berkata, tekanan hidup dan stres yang dihadapi oleh masyarakat bandar membuatkannya terpanggil untuk membuka pusat rawatan ini.

”Selain tekanan di tempat kerja, masyarakat bandar perlu mengharungi tekanan mengharungi kesesakan jalan raya. Itu belum lagi dengan tekanan semasa di rumah dan sebagainya,” katanya yang ditemui di Healing Touch baru-baru ini.

Tambahnya, pusat rawatan yang berkonsep keluarga ini, iaitu untuk lelaki dan wanita menyediakan rawatan urutan, refleksologi, bekam, resdung, skrub badan, spa kaki, qua-sa (buang angin cara kerukan menggunakan jed dan tanduk lembu atau kerbau) dan sebagainya.

”Masalah yang sering dihadapi oleh pelanggan tidak kira lelaki atau wanita ialah banyak angin. Masalah angin yang tidak dirawat boleh menyebabkan pelbagai masalah lain seperti letih lesu, sakit kepala, sakit-sakit badan dan sendi, senak perut, lenguh, rasa bisa di belakang dan banyak lagi.

”Punca banyak angin ini juga adalah pelbagai. Sebaiknya pakai stokin semasa tidur. Tapak kaki yang terdedah memudahkan angin masuk ke dalam badan. Semasa berjalan di dalam rumah seeloknya memakai selipar kerana lantai jubin sejuk dan boleh memudaratkan kesihatan. Pemakanan juga menjadi salah satu penyebab banyak angin.

”Urutan tradisional Cina yang dijalankan di sini dapat membantu mengeluarkan angin di dalam badan dan tubuh menjadi segar selepas rawatan,” ujar Mohd. Azmi lagi.

Beliau menambah, terapis di Healing Touch telah diajar mengenai sistem tubuh manusia dan akan mengetahui sama ada seseorang pelanggan itu mempunyai masalah angin apabila mengurut pelanggan.

”Perbezaan urutan tui-na daripada jenis urutan lain ialah pelanggan boleh memilih minyak yang disukai seperti minyak essential, aromaterapi, lavender, halia atau anti selulit untuk digunakan semasa berurut.

”Cara urutan juga berbeza kerana terapis banyak menggunakan teknik menekan poin bagi mencari poin angin atau ‘menguli’ otot-otot supaya angin dapat keluar dan tidak berkumpul di dalam badan,” jelasnya.

Selain khidmat urutan, teknik berbekam yang dijalankan di sini juga berbeza. Kebiasaannya kulit pelanggan yang akan dibekam dihiris sedikit bagi mengeluarkan darah kotor.

Namun berbeza di Healing Touch kerana teknik bekam angin digunakan untuk merawat pelanggan. Oleh itu, hirisan tidak akan dilakukan kerana pusat ini amat mementingkan aspek kebersihan.

Healing Touch yang dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 11 malam menyediakan lima buah kerusi bagi urutan refleksologi dan empat buah katil untuk urutan pada satu masa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: