July 1, 2009

Terkejut tangan tiba-tiba kaku

Posted in 1 at 8:33 am by Ahmad Salafi

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto Asmaruddin Jamaluddin

SITI Narini mengesat air mata ketika menceritakan kisah hidupnya.



PERTAMA kali bersua muka, penulis yakin wanita ini akan berkongsi banyak cerita. Dengan senyuman yang tidak pernah lekang di bibir, Siti Narini Jaafar, 57 menyambut mesra penulis dan jurugambar. Suaranya masih jelas walaupun berkerusi roda.

Kehadiran kami memang dinanti- nantikan kerana pada ketika ini, Siti Narini mahu suara hatinya menjadi contoh kepada pesakit kencing manis yang lain.

Pada saat dia jatuh sakit, suami dan keluarga yang lain menemaninya tanpa anak tunggalnya yang berada di Sarawak.

Walaupun sedih kerana berjauhan dengan anaknya, dia akur terpaksa memberi restu kepada anaknya meneruskan pelajaran.

Bekas petugas Pembantu Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini, ternyata mempunyai semangat yang tinggi dan tidak mudah mengaku kalah.

Dulu dia tidak pernah kenal erti penat dan berehat di rumah, terlalu sibuk dengan perniagaan Tupperware.

Sering menjadi juru cakap di atas pentas, siapa sangka wanita berjiwa kental ini kini tidak mampu berjalan.

Sehingga ada yang menganggapnya terkena buatan orang tetapi dia yakin segalanya ketentuan Tuhan.

Tiga bulan lalu, Siti Narini disahkan mengidap kencing manis atau diabetes tahap serius yang melibatkan saraf hingga boleh menjejaskan fungsi anggota badan.

Keadaan ini menyebabkan dia tidak boleh berjalan.

Pada ketika itu, dia sedar bahawa mustahak menjaga kesihatan walaupun mahal.

Atas bantuan anak saudaranya yang membiayai kos perubatan, Siti Narini menjalani rawatan di Columbia Asia Extended Care Hospital, Shah Alam, Selangor.

Sebelum ini, dia tidak boleh bergerak langsung. Lebih mengejutkan lagi, pada awalnya, tangan tiba-tiba menjadi kaku keras.

“Saya bukan orang yang mudah putus asa, daripada dulu lagi. Walau apa pun orang bercakap, saya akan terus berusaha. Dengan rawatan yang ada di hospital ini, saya yakin akan pulih. Kini, saya sedar saya mampu sembuh walaupun tidak sepenuhnya tetapi akan ada,” katanya ketika ditemui di rumah saudaranya yang terletak di Klang, Selangor.

Ada perubahan

Ternyata dia membuktikan kesungguhan tersebut, dulunya dia sukar makan sendiri, kini boleh memegang sudu tanpa bantuan orang.

Dengan adanya latihan senaman yang dijalankan di hospital berkenaan, Siti Narini yakin dia mampu berjalan. Itulah impiannya.

Jika dulu dia memulakan perniagaan daripada bawah hingga mencapai tahap tinggi dalam Tupperware, dia yakin impian untuk dia berjalan akan tercapai.

Sambil menitiskan air mata, Siti Narini tahu perubahan kesihatan yang dialaminya kerana dorongan dan pengorbanan suami dan anaknya.

“Ketika saya masih sihat dulu dan aktif berniaga hingga saya hanya mampu duduk di atas kerusi roda ini, merekalah yang memberi saya banyak semangat,” jelasnya sambil mengesat air mata.

Dulu merekalah segalanya. Namun satu pengalaman baru yang dia peroleh di hospital tersebut.

Kakitangan termasuk doktor dan jururawat sudah seperti keluarga sendiri.

“Saya boleh gambarkan duduk di hospital tersebut seperti permaisuri. Nak makan, nak minum hingga membersihkan diri, kakitangan yang akan tolong buat.

Saya sebenarnya terharu dan gembira dengan layanan hospital yang tidak sedikit pun memberi tekanan,” katanya tersenyum.

Siapa tahu berkat doa keluarga, teman rapat dan semua orang yang dikenalinya, Siti Narini mampu berjalan suatu hari nanti.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: