July 5, 2009

Perubahan IFF

Posted in 1 at 2:22 pm by Ahmad Salafi

Oleh ROSMAWATI MION

HITAM turut menjadi pilihan pereka Indonesia, Ghea Panggabean untuk diketengahkan dalam rekaannya yang nyata sopan dan menutup aurat.



FESTIVAL Busana Muslim (IFF) sekali lagi kembali mewarnai industri fesyen Muslimah rantau ini dengan Jakarta destinasi pertamanya. Berbeza dengan sebelumnya, festival yang memasuki tahun ketiga ini menyuntik perubahan dan pembaharuan yang secara tidak langsung mampu memberi kesan positif terhadap rekaan busana Muslim di masa hadapan.

Bermula dengan peragaan di Jakarta yang berlangsung pada akhir Mei lalu, IFF siri ketujuh ini tidak lagi hanya memandang kepada gaya semata-mata, tetapi turut memberi penekanan serius terhadap konsep penutupan aurat mengikut landasan Islam yang sebenar.

Justeru, IFF kali ini mengetengahkan koleksi busana yang lebih menutup aurat. Maksudnya, rekaan yang ditampilkan tidak banyak mendedahkan aurat diri seseorang wanita tidak kira kulit tubuh mahupun rambut. Mungkin, ia sedikit berbeza berbanding pertunjukan fesyen IFF dalam siri-siri terdahulu.

Menurut Pengasas yang juga Pengerusi IFF, Datuk Raja Rezza Shah, perubahan itu dipamerkan hasil maklum balas yang diterima selepas setiap penganjuran IFF tidak kira di Kuala Lumpur, Dubai mahupun Jakarta.

Katanya, apa yang dibangkitkan rata-rata menyentuh tentang pakaian yang ditonjolkan sepanjang IFF, dikatakan tidak sepenuhnya menutup aurat.

”Sebab itu, kali ini kita mengutarakan tema less is more. Maksudnya, tidak banyak kulit tubuh didedahkan, sebaliknya rekaan yang ditampilkan lebih menutup aurat.

”Dan, perubahan ini adalah salah satu usaha kami dalam mempertingkatkan lagi IFF dari semasa ke semasa agar ia menepati cita rasa semua pihak terutamanya warga Muslim di seluruh dunia,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sememangnya, sudah tiba masanya bagi pihak penganjur, Nusantara Gems Sdn. Bhd. melakukan perubahan tersebut dalam usaha memastikan kehadiran IFF terus relevan dengan ciri-ciri pemakaian Muslimah yang sebenar.

Malah, ia juga dilihat sebagai satu langkah positif dalam menggerakkan Kuala Lumpur sebagai hab busana muslim di rantau ini.

Dan, pertunjukan fesyen siri ketiga untuk Jakarta adalah satu permulaan yang ditunggu-tunggu. Lebih 300 rekaan busana Muslim daripada 20 pereka hebat dua buah negara, Malaysia dan Indonesia diperagakan sepanjang dua hari berlangsungnya acara tersebut.

Pereka tempatan yang mengambil bahagian adalah Datuk Tom Abang Saufi, Khoon Hooi, Melinda Looi dan jenama busana Muslim seperti Hajaba, Atim Agoy, Jarumas dan Khadani manakala pereka dari Indonesia antaranya Sebastian Gunawan, Ghea Panggabean, Itang Yunaz, Ida Royani dan Defrico Audy.

Apa yang nyata, rata-rata pereka dilihat selesa dengan perubahan tersebut apabila masing-masing tidak lari menyimpang daripada tema atau pembaharuan yang cuba diketengahkan IFF kali ini, iaitu menampilkan rekaan yang lebih menutup aurat.

Garapan dunia busana Muslim kali ini diperlihatkan dalam sentuhan gaya tempatan dan kontemporari. Malah, sesetengah pereka cuba menyuntik gaya moden yang berinspirasikan udara Timur Tengah yang sememangnya mempunyai tarikan keanggunan tersendiri.

Turut menggarapkan cetusan inspirasi Timur Tengah adalah pereka terkenal negara, Tom Abang Saufi yang menyerlahkan himpunan busana Muslim dengan tema Lure Arabia. Mengambil ilham daripada gaya Abaya atau jubah yang sering digayakan wanita Arab, cuma ia dipermodenkan.

Menggunakan fabrik lembut seperti sifon dan sutera, Tom mengajak wanita muslim menggayakan rona lembut yang memikat, bukan hanya terikat dengan warna hitam semata-mata, iaitu rona wajib buat Abaya wanita Arab. Bagaimanapun, warna hitam masih diterapkan dalam sesetengah rekaannya, tetapi ia kelihatan menonjol dengan adanya hiasan menawan menghiasi leher jubah.

Rezza memberitahu, IFF yang dinaungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ini diasaskan tiga tahun lalu dilihat dapat menjadi pemangkin bagi mengembangkan lagi aliran tradisional dan kontemporari dalam rekaan busana Muslim.

Lebih membanggakan, idea yang dicetuskan pereka dalam IFF semakin diterima ramai tidak kira di Malaysia ataupun luar negara. Diharapkan IFF terus mendapat sokongan teguh daripada semua pihak sehingga akhirnya berjaya meletakkan Kuala Lumpur-Jakarta-Dubai sebagaimana kota fesyen Paris-New York-Milan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: